Kisah Para Rasul 14

14
Penganiayaan terhadap Paulus dan Barnabas
1Di Ikonium, Paulus dan Barnabas juga masuk ke saumaah#14:1 Saumaah: Tempat ibadat bani Israel. Juga dikenali sebagai rumah ibadat. dan kata-kata mereka begitu berkesan sehingga ramai orang Yahudi dan orang Yunani percaya kepada Yesus. 2Akan tetapi, orang Yahudi yang tidak mahu percaya kepada Yesus menghasut orang bangsa lain sehingga mereka marah dan menentang murid Yesus. 3Rasul-rasul itu tinggal lama di situ dan berkata-kata dengan berani tentang Tuhan. Tuhan pun menunjukkan kebenaran kata-kata mereka tentang kasih kurnia-Nya dengan memberi mereka kuasa melakukan pelbagai tanda dan mukjizat. 4Penduduk bandar itu terbahagi dua: sebahagian memihak kepada orang Yahudi dan yang sebahagian lagi kepada rasul-rasul itu.
5Kemudian orang Yahudi dan bangsa lain serta ketua-ketua mereka berpakat untuk menganiaya dan merejam rasul-rasul itu. 6Apabila rasul-rasul itu mendapat tahu tentang hal itu, mereka lari ke Listra dan Derbe, kota-kota di Likaonia, serta daerah sekitarnya. 7Di situ mereka menyampaikan Injil.
Di Listra dan Derbe
8Di Listra ada seorang lelaki yang lumpuh kakinya sejak lahir dan tidak pernah berjalan. 9Dia duduk mendengar kata-kata Paulus. Pada pandangan Paulus orang itu dapat disembuhkan kerana dia mempunyai iman. 10Oleh yang demikian Paulus merenungnya sambil bersuara lantang, “Bangunlah berdiri tegak!” Lalu orang itu melompat berdiri dan mula berjalan. 11Orang ramai melihat apa yang dilakukan oleh Paulus itu lalu berseru dalam bahasa Likaonia, “Lihatlah, tuhan-tuhan telah menjelma sebagai manusia dan turun ke dunia.” 12Dengan demikian Barnabas dipanggil mereka “Zeus” dan Paulus disebut “Hermes” kerana dia yang terutama bercakap. 13Imam Dewa Zeus, yang rumah berhalanya di luar kota, datang membawa lembu jantan dan kalungan bunga ke pintu gerbang untuk dijadikan korban persembahannya dan orang ramai kepada rasul-rasul itu.
14Apabila Barnabas dan Paulus mendengar apa yang hendak dilakukan oleh orang di situ, mereka mengoyak-ngoyakkan pakaian dan berlari ke tengah-tengah orang ramai sambil berseru, 15#Kel 20:11; Mzm 146:6.“Mengapa kamu berbuat begini? Kami manusia biasa seperti kamu sekalian! Kami datang membawa berita baik supaya kamu berhenti daripada pemujaan yang sia-sia ini dan datang kepada Allah yang hidup, yang menjadikan langit, bumi dan laut serta segala yang di dalamnya. 16Pada zaman silam, Allah membiarkan manusia mengikut jalan masing-masing. 17Namun demikian, Allah sentiasa memberikan kesaksian tentang diri-Nya dengan kebaikan yang dilakukan-Nya. Dia mengurniaimu hujan dari langit dan hasil dari bumi menurut musimnya. Dia memuaskan hatimu dengan makanan dan kegembiraan.” 18Sungguhpun rasul-rasul itu berkata begitu, sukar juga mereka menghalang orang ramai mempersembahkan korban kepada mereka.
19Setelah itu, beberapa orang Yahudi dari Antiokhia dan Ikonium mempengaruhi orang ramai sehingga berpihak kepada mereka. Mereka merejam Paulus, kemudian menyeretnya ke luar kota, dengan sangkaan dia sudah mati. 20Akan tetapi, apabila murid Yesus mengelilinginya, dia bangun lalu masuk semula ke dalam kota. Esoknya dia keluar pergi ke Derbe bersama Barnabas.
Kembali ke Antiokhia
21Setelah mengkhabarkan berita baik kepada semua penduduk dan membawa beberapa orang menjadi murid Yesus, kedua-duanya kembali ke Listra, ke Ikonium dan Antiokhia. 22Di sana mereka menguatkan hati para murid Yesus dan mengingatkan mereka supaya berpegang teguh pada kepercayaan mereka, katanya, “Memang tidak dapat dielakkan bahawa kita masuk ke dalam kerajaan Allah dengan menanggung banyak kesusahan.” 23Setelah menetapkan para tua-tua bagi setiap jemaah dan berdoa serta berpuasa, mereka menyerahkan tua-tua itu kepada Tuhan yang sudah pun dipercayai oleh mereka.
24Setelah melalui Pisidia, rasul-rasul itu sampai di Pamfilia. 25Mereka menyampaikan firman Allah di Perga, kemudian pergi ke Atalia. 26Dari sana mereka belayar ke Antiokhia, tempat mereka dahulunya diserahkan kepada anugerah Allah untuk tugas yang baru diselesaikan mereka.
27Setelah sampai di sana, mereka menghimpunkan jemaah lalu menceritakan segala yang telah dilakukan Allah melalui mereka dan bagaimana Allah telah membukakan pintu kepercayaan bagi orang bangsa asing. 28Mereka tinggal di situ beberapa lama bersama murid Yesus yang lain.

Terpilih Sekarang Ini:

Kisah Para Rasul 14: AVB

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk