Kisah Para Rasul 18

18
Paulus di Korintus
1Seterusnya Paulus berangkat dari Atena ke Korintus. 2Apabila tiba di situ, dia bertemu dengan seorang Yahudi bernama Akwila, yang lahir di kota Pontus. Dia baru datang dari Itali dengan isterinya Priskila, kerana Klaudius telah menitahkan semua orang Yahudi keluar dari Roma. Paulus pergi menemui mereka 3lalu tinggal dan bekerja bersama mereka kerana mata pencarian mereka sama iaitu sebagai tukang khemah. 4Pada setiap hari Sabat, Paulus berhujah di saumaah#18:4 Saumaah: Tempat ibadat bani Israel. Juga dikenali sebagai rumah ibadat. untuk meyakinkan orang Yahudi dan juga orang Yunani menjadi murid Yesus.
5Setelah Silas dan Timotius sampai di situ dari Makedonia, Paulus menumpukan masa kepada usaha menyampaikan firman Allah serta memberikan kesaksian kepada orang Yahudi bahawa Yesus itulah Kristus. 6Akan tetapi, mereka menentang dan mencelanya; maka Paulus mengebaskan debu daripada pakaiannya lalu berkata, “Darahmu tertumpah ke atas kepalamu sendiri, aku tidak bertanggungjawab; aku bersih. Dari sekarang aku hendak pergi kepada orang bangsa asing.” 7Paulus pun berpindah ke rumah Titus Yustus, seorang yang menyembah Allah; rumahnya bersebelahan dengan saumaah. 8Krispus, ketua saumaah itu, serta seisi rumahnya, percaya kepada Tuhan Yesus; ramai lagi orang Korintus turut mendengar dan percaya lalu dibaptiskan.
9Pada suatu malam Tuhan berfirman kepada Paulus dalam satu penglihatan, “Jangan takut, berkata-katalah terus dan jangan berhenti, 10kerana Aku menyertaimu. Tiada seorang pun akan dapat mencederakanmu, kerana ramai orang di kota ini umat-Ku.” 11Paulus tinggal di situ setahun setengah sambil menyebarkan firman Allah kepada orang di situ.
12Semasa Galio menjadi pemerintah negeri Akhaya, orang Yahudi bangkit dengan sehati melawan Paulus lalu membawanya ke muka pengadilan. 13Mereka berkata, “Orang ini cuba mempengaruhi orang ramai supaya menyembah Allah dengan cara yang bercanggah dengan hukum Taurat.”
14Apabila Paulus hendak menjawab, Galio berkata, “Hai orang Yahudi, jika perkara ini tentang kesalahan atau jenayah, patutlah aku bersabar mendengarnya; 15tetapi jika pertikaianmu tentang perkataan, nama dan hukummu hendaklah kamu menyelesaikannya sendiri; aku tidak mahu mengadili perkara yang demikian.” 16Lalu Galio mengusir mereka keluar dari tempat pengadilan itu. 17Kemudian mereka menangkap Sostenes, ketua saumaah, lalu memukulnya di hadapan tempat pengadilan itu, tetapi Galio tidak menghiraukannya.
Paulus kembali ke Antiokhia
18 # Bil 6:18. Paulus tinggal dengan para murid Yesus di Korintus beberapa hari lagi. Selepas itu, dia meninggalkan mereka lalu belayar bersama Priskila dan Akwila ke Siria. Sebelum bertolak, Paulus mencukur rambutnya di Kengkrea sebagai menunaikan nazarnya. 19Apabila mereka sampai di Efesus, Paulus meninggalkan Priskila dan Akwila di situ. Dia masuk seorang ke saumaah lalu berbincang dengan orang Yahudi. 20Ketika mereka memintanya tinggal lebih lama lagi di sana, dia menolak permintaan itu 21lalu bermohon diri sambil berkata, “Dengan izin Allah, aku akan kembali bertemu denganmu.” Selepas itu, dia belayar meninggalkan Efesus.
22Setelah sampai di Kaisarea, dia naik memberi salam kepada jemaah, lalu turun ke Antiokhia. 23Di sana dia tinggal beberapa lama, kemudian berangkat melawat seluruh daerah Galatia dan Frigia serta mengukuhkan iman para murid Yesus di situ.
Apolos di Efesus
24Pada masa itu seorang Yahudi bernama Apolos, yang lahir di Aleksandria,#18:24 Nama lain: Iskandaria. pandai berpidato dan amat memahami Kitab Suci, datang ke Efesus. 25Dia telah diajar tentang jalan Tuhan, dan dengan bersungguh-sungguh dia berkata-kata dan mengajarkan perihal Yesus dengan betul, walaupun dia hanya mengetahui baptisan Yohanes. 26Dia mula bercakap dengan berani di saumaah. Priskila dan Akwila mendengar dia bercakap lalu membawanya ke tempat tinggal mereka dan menerangkan jalan Allah kepadanya dengan lebih betul lagi. 27Apabila dia hendak menyeberang ke Akhaya, para murid Yesus di Efesus membantunya dengan menulis surat kepada saudara-saudara seiman di Akhaya, supaya mereka menyambut Apolos. Setibanya di Akhaya, dia banyak menolong orang yang dengan kasih kurnia Allah telah beriman. 28Dengan wibawa yang penuh Apolos mengalahkan orang Yahudi dalam perbahasan di hadapan orang ramai. Dengan memetik ayat-ayat Kitab Suci, dia membuktikan bahawa Yesus itu Kristus.

Terpilih Sekarang Ini:

Kisah Para Rasul 18: AVB

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk