Kisah Para Rasul 20

20
Paulus melalui Makedonia dan Yunani
1Setelah kota itu aman semula, Paulus memanggil para murid Yesus dan menasihatkan mereka, kemudian memohon diri lalu bertolak ke Makedonia. 2Dia menjelajahi seluruh Makedonia sambil memberikan nasihat kepada orang di situ. Kemudian dia tiba di Yunani dan 3tinggal di sana selama tiga bulan. Apabila dia hendak belayar ke Siria, dia mendengar bahawa orang Yahudi berpakat hendak membunuhnya. Oleh itu, dia membuat keputusan hendak berangkat melalui Makedonia. 4Dia diiringi hingga ke Asia oleh Sopater anak Purrus orang Beria, oleh Aristarkhus dan Sekundus orang Tesalonika, oleh Gayus orang Derbe, Timotius, dan dua orang dari Asia, Tikhikus dan Trofimus. 5Mereka berjalan dahulu, menantikan kami di Troas. 6Kami belayar dari Filipi selepas Perayaan Roti Tidak Beragi, lalu menemui mereka di Troas lima hari kemudian. Kami tinggal di situ selama tujuh hari.
Paulus di Troas
7Pada hari pertama minggu itu, kami berkumpul untuk memecah-mecahkan roti. Paulus yang akan belayar esoknya bercakap dengan orang di situ sampai tengah malam. 8Di dalam bilik atas, tempat kami berhimpun itu, ada beberapa pelita. 9Seorang pemuda bernama Eutikhus duduk di jendela. Dia tertidur sementara Paulus masih bercakap. Oleh sebab lena tidurnya, pemuda itu jatuh dari tingkat ketiga itu sampai ke bawah. Orang mengangkatnya dan mendapatinya sudah mati. 10Paulus turun lalu merebahkan diri ke atas pemuda itu serta memeluknya sambil berkata, “Jangan bimbang, kerana ada lagi nyawanya.” 11Selepas itu dia naik, membahagikan roti, makan lalu bertutur sampai dinihari. Kemudian dia pun berangkat. 12Pemuda itu didapati hidup dan dibawa pulang ke rumahnya. Mereka semua amat terhibur.
Dari Troas ke Miletus
13Kami berjalan dahulu naik ke kapal lalu belayar ke Asos untuk menyambut Paulus di sana; demikianlah yang telah dirancangnya, kerana dia sendiri hendak berjalan kaki. 14Setelah menyambutnya di Asos, kami mengiringinya ke Metilene. 15Kami belayar dari sana: Esoknya kami bertentangan dengan Pulau Khios; lusanya kami singgah di Samos; dan tulatnya kami sampai di Miletus. 16Paulus telah membuat keputusan untuk belayar melalui Efesus, supaya jangan berlarutan di Asia; dia hendak cepat, dengan harapan sampai di Yerusalem pada Perayaan Pentakosta.
Perpisahan dengan para tua-tua jemaah di Efesus
17Dari Miletus Paulus menyuruh orang pergi ke Efesus memanggil tua-tua jemaah di situ. 18Apabila mereka datang menemuinya, Paulus berkata, “Kamu semua tahu cara hidupku sejak aku bersamamu, dari hari pertama aku datang ke Asia. 19Aku telah memperhambakan diri kepada Tuhan dengan sehabis-habis rendah hati dan dengan air mata. Sudah beberapa cubaan menimpa diriku akibat pakatan orang Yahudi. 20Aku tidak pernah menyembunyikan daripadamu sesuatu yang berfaedah kepadamu. Aku menyatakan segalanya kepadamu dan mengajarmu baik di khalayak ramai mahupun di rumah masing-masing, 21sambil memberikan kesaksian kepada orang Yahudi dan orang Yunani tentang pertaubatan kepada Allah dan iman akan Tuhan Yesus. 22Sekarang aku pergi ke Yerusalem mentaati perintah Roh Kudus sedangkan aku tidak tahu apa yang akan berlaku kepadaku. 23Yang kuketahui hanyalah ini: Dari kota ke kota Roh Kudus telah memberikan kesaksian kepadaku dan berkata bahawa penjara dan penderitaan ada lagi menantikan aku. 24#2Tim 4:7.Tetapi sekali-kali aku tidak mengendahkan soal nyawaku, asalkan aku dapat menyempurnakan tanggungjawab dan tugas yang kuterima daripada Tuhan Yesus iaitu memberikan kesaksian akan Injil tentang kasih kurnia Allah.
25Sekarang ingatlah. Aku tahu bahawa kamu tidak akan memandang mukaku lagi, setelah sekian lama aku bersamamu dan mengkhabarkan kerajaan Allah. 26Oleh itu, pada hari ini aku bersaksi bahawa aku tidak bersalah terhadap penumpahan darah manusia. 27Aku telah menyatakan kepadamu seluruh kehendak Allah dengan sepenuh kerelaan. 28Jagalah dirimu dan semua kawanan kerana kamulah yang telah diamanahkan Roh Kudus untuk menjadi penyelia bagi menggembalakan jemaah Allah yang telah ditebus-Nya dengan darah-Nya sendiri. 29Aku tahu bahawa sepeninggalanku nanti, beberapa serigala garang akan masuk menyerang jemaah ini; 30malah dari antara kamu sendiri akan bangkit beberapa orang yang memesongkan ajaran yang benar dan berusaha menarik para murid untuk mengikut mereka. 31Oleh itu, berjaga-jagalah, serta ingatlah bagaimana selama tiga tahun aku tidak berhenti-henti siang malam menasihatkan setiap orang dengan air mataku.
32Sekarang aku menyerahkan kamu kepada Allah dan kepada perkhabaran tentang kasih kurnia Allah, yang berkuasa meneguhkan imanmu dan memberimu warisan yang diperuntukkan bagi seluruh umat yang telah disucikan. 33Aku tidak pernah ingin memiliki emas perak atau pakaian orang. 34Kamu tahu bahawa kedua-dua belah tanganku ini telah bekerja untuk mencukupkan sara hidupku dan orang yang bersamaku. 35Dalam semua perkara aku telah menunjukkan teladan kepadamu iaitu bagaimana kamu juga patut bekerja demikian untuk menolong orang yang lemah; dan ingatlah firman Tuhan Yesus, ‘Memberi itu lebih berkatnya daripada menerima.’ ”
36Setelah berkata demikian, Paulus berlutut dan berdoa-doa bersama semua yang hadir. 37Semuanya menangis seraya memeluk dan mencium Paulus. 38Mereka berdukacita terutamanya kerana dia berkata bahawa mereka tidak akan memandang mukanya lagi. Kemudian mereka menghantarkannya ke kapal.

Terpilih Sekarang Ini:

Kisah Para Rasul 20: AVB

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk