Daniel 1

1
Di istana Babel
1 # 2Raj 24:1; 2Taw 36:5-7. Pada tahun ketiga dalam zaman pemerintahan Yoyakim, raja Yehuda, datanglah Nebukadnezar, raja Babel, ke Yerusalem lalu mengepung kota itu. 2#2Raj 20:17,18; 24:10-16; 2Taw 36:10; Yes 39:7,8.Tuhan menyerahkan Yoyakim, raja Yehuda, ke dalam tangannya berserta sebahagian daripada perkakas-perkakas Rumah Allah. Nebukadnezar membawa kesemua itu ke Tanah Sinear, ke kuil dewanya. Perkakas-perkakas itu dimasukkan ke dalam tempat perbendaharaan dewanya.
3Kemudian raja itu menyuruh Aspenas, ketua pegawai istananya, untuk membawa beberapa orang Israel daripada kalangan keturunan raja serta para bangsawan. 4Mereka itu haruslah orang muda yang sama sekali tidak ada cacat-cela, bagus perawakan, memahami segala kebijaksanaan, berpengetahuan luas, mengerti ilmu, dan yang berkemampuan untuk berkhidmat di dalam istana raja. Mereka harus diajar tulisan dan bahasa orang Kasdim. 5Raja menetapkan bagi mereka peruntukan hidangan harian daripada santapan dan minuman anggur diraja. Mereka harus dididik selama tiga tahun, dan setelah itu mereka akan berkhidmat kepada raja. 6Antara mereka ada beberapa orang Yehuda, iaitu Daniel, Hananya, Misael, dan Azarya. 7Ketua pegawai istana itu memberikan nama baru kepada mereka. Daniel dinamakannya Beltsazar, Hananya dinamakannya Sadrakh, Misael dinamakannya Mesakh, dan Azarya dinamakannya Abednego.
8Daniel bertekad untuk tidak menajiskan diri dengan santapan atau minuman anggur diraja. Oleh sebab itu dia meminta kepada ketua pegawai istana supaya diizinkan untuk tidak menajiskan diri. 9Allah membuat Daniel mendapat belas kasih dan sayang daripada ketua pegawai istana itu. 10Namun demikian, ketua pegawai istana berkata kepada Daniel, “Aku takut kepada Tuanku Raja, yang telah menentukan makanan dan minuman bagi kamu. Mengapa baginda harus melihat penampilanmu lebih buruk daripada para anak muda yang sebaya dengan kamu? Kamu ini membahayakan kepalaku di hadapan raja!”
11Kemudian Daniel berkata kepada penjaga yang telah ditugaskan oleh ketua pegawai istana untuk mengawasi Daniel, Hananya, Misael, dan Azarya, 12“Ujilah hamba-hambamu ini selama sepuluh hari. Berilah kami makan sayur dan minum air sahaja. 13Kemudian biarlah tuan mengamati perawakan kami berbanding dengan perawakan orang muda yang makan santapan diraja, dan selepas itu, perlakukanlah hamba-hambamu ini selaras dengan pengamatan tuan.”
14Penjaga itu bersetuju dengan permintaan mereka lalu menguji mereka selama sepuluh hari. 15Setelah sepuluh hari berlalu, tampaklah betapa perawakan mereka lebih baik dan tubuh mereka lebih gemuk daripada semua orang muda yang makan santapan diraja. 16Jadi, penjaga itu menyingkirkan makanan dan air anggur yang sepatutnya diminum mereka, dan sebaliknya memberikan sayur kepada mereka.
17Kepada keempat-empat orang muda itu Allah mengurniakan pengetahuan dan kemahiran tentang berbagai-bagai tulisan dan ilmu sementara Daniel sendiri dapat memahami berbagai-bagai penglihatan dan mimpi.
18Pada akhir tempoh yang ditetapkan raja untuk menghadapkan mereka, ketua pegawai istana membawa mereka kepada Nebukadnezar. 19Raja berbicara dengan mereka, dan antara semua orang itu tidak ada yang seperti Daniel, Hananya, Misael, dan Azarya. Maka mereka pun berkhidmat kepada raja. 20Dalam segala hal berkenaan hikmah dan pengertian yang ditanyakan raja kepada mereka, raja mendapati mereka sepuluh kali lebih handal daripada semua ahli ilmu ghaib dan ahli mantera di seluruh kerajaannya. 21Maka Daniel tinggal di sana sampai tahun yang pertama zaman pemerintahan Raja Kores.

Terpilih Sekarang Ini:

Daniel 1: AVB

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk