Pengkhutbah 10
10
1Bangkai lalat menyebabkan minyak pembuat minyak urap berbau busuk;
begitu juga sedikit kebodohan lebih besar kesannya daripada hikmah dan kehormatan.
2Hati orang bijaksana memimpin ke arah yang betul
tetapi hati orang bodoh menjurus ke jalan yang salah.
3Perjalanan orang bodoh pun kurang akal budinya hinggakan
ternyata kebodohannya kepada semua orang.
4Jika meluap kemarahan pihak berkuasa terhadap kamu, janganlah meninggalkan tempatmu,
kerana kesabaran menenteramkan kesalahan besar.
5Ada nahas yang kulihat di bawah matahari sebagaimana kesilapan yang berpunca daripada seorang penguasa: 6kalangan bodoh mengisi tempat tinggi sedangkan mereka yang kaya memenuhi tempat yang rendah. 7Kulihat ada abdi yang menunggang kuda manakala para pembesar berjalan kaki seperti kalangan abdi.
8 # Mzm 7:15; Ams 26:27; Sir 27:26,27. Sesiapa yang menggali lubang akan jatuh ke dalamnya,
dan sesiapa menembusi tembok akan dipagut ular.
9Sesiapa yang memecahkan batu luka kerana batu
dan sesiapa yang membelah kayu akan terancam oleh bahaya daripada kayu itu.
10Mata kapak yang tumpul dan tidak diasah akan memerlukan penggunanya mengeluarkan tenaga yang banyak
tetapi hikmah membantu keberhasilan usaha.
11Jika ular memagut sebelum mantera dibunyikan,
tiadalah kelebihan bagi si pawang ular itu.
12Kata-kata orang bijaksana penuh kurnia
walhal bibir orang bodoh menelan diri orang itu sendiri.
13Permulaan cakapnya pun bodoh
dan penyudahnya hanya kegilaan yang durjana.
14Si bodoh mengeluarkan kata-kata yang berleret-leret,
meskipun tiada seorang manusia yang mengetahui apa akan berlaku
dan apa kelak terjadi sesudah dia tiada.
15Maka hanya kelesuan diperoleh si bodoh yang berpenat lelah,
kerana dia tidak akan tahu jalan menuju ke kota.
16Malangnya bumi yang rajanya keanak-anakan
manakala para pembesarnya berpesta ria biarpun hari masih pagi!
17Berbahagialah bumi yang rajanya daripada kalangan bangsawan
dan para pemimpinnya makan pada waktunya
demi memperoleh daya kekuatan dan bukan untuk mabuk-mabuk!
18Runtuh atap kerana kemalasan
dan bocor rumah kerana berat tulang.
19Makanan disediakan untuk dinikmati
dan air anggur untuk meriangkan hidup
dan wang yang memungkinkan semuanya dilakukan.
20Usah mengutuk raja sekalipun hanya dalam fikiran
dan di dalam bilik tidurmu, jangan mengutuk kalangan kaya
kerana mungkin burung yang berterbangan kelak mengadu hal itu,
dan para pemberi maklumat dapat memanjangkan kata-katamu.
Terpilih Sekarang Ini:
Pengkhutbah 10: AVB
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Alkitab Versi Borneo
Hak cipta © 2015 Borneo Sabda Limited