Keluaran 9

9
Azab kelima: penyakit sampar menyerang ternakan
1TUHAN berfirman kepada Musa, “Pergilah menghadap Firaun dan katakanlah kepadanya, ‘Beginilah firman TUHAN, Allah orang Ibrani, “Izinkanlah umat-Ku pergi, supaya mereka dapat beribadat kepada-Ku. 2Sebabnya jika engkau tidak mengizinkan mereka pergi dan masih menahan mereka, 3maka tangan TUHAN akan mendatangkan penyakit sampar yang sangat teruk kepada ternakan kamu di padang, iaitu kuda, keldai, unta, lembu, serta domba. 4Tetapi TUHAN akan membezakan ternakan orang Israel daripada ternakan warga Mesir. Tidak seekor pun daripada ternakan orang Israel akan mati.” ’ ” 5Kemudian TUHAN menetapkan waktunya, firman-Nya, “Hari esok TUHAN akan melaksanakan hal itu di negeri ini.”
6Keesokan harinya, TUHAN pun melaksanakan hal itu. Semua ternakan warga Mesir mati, tetapi tidak ada seekor pun ternakan orang Israel mati. 7Lalu Firaun menyuruh orang memeriksa hal itu, dan benarlah, tidak seekor pun ternakan orang Israel mati. Namun demikian, hati Firaun tetap keras. Dia masih tidak mengizinkan orang Israel pergi.
Azab keenam: bisul
8TUHAN berfirman kepada Musa dan Harun, “Ambillah segenggam penuh jelaga dari relau, lalu hendaklah Musa menghamburkannya ke udara di hadapan Firaun. 9Jelaga itu akan menjadi debu halus yang meliputi seluruh Tanah Mesir serta menjadi bisul yang pecah bernanah pada manusia dan haiwan di seluruh Tanah Mesir.” 10#Why 16:2.Maka mereka mengambil jelaga dari relau lalu berdiri di hadapan Firaun. Musa menghamburkan jelaga itu ke udara, lalu berjangkitlah penyakit bisul yang pecah bernanah pada manusia serta haiwan. 11Para ahli ilmu sihir tidak dapat berdiri lagi di hadapan Musa akibat bisul-bisul itu, kerana bisul itu juga menjangkiti para ahli ilmu sihir, seperti semua warga Mesir yang lain. 12Tetapi TUHAN mengeraskan hati Firaun sehingga dia tidak mahu mendengar kata kedua-duanya, sebagaimana yang telah TUHAN firmankan kepada Musa.
Azab ketujuh: hujan batu
13TUHAN berfirman kepada Musa, “Bangunlah pagi-pagi, dan berdirilah di hadapan Firaun dan katakanlah kepadanya, ‘Beginilah firman TUHAN, Allah orang Ibrani, “Izinkanlah umat-Ku pergi supaya mereka dapat beribadat kepada-Ku, 14kerana kali ini Aku akan melepaskan segala azab-Ku atas dirimu, atas para pegawaimu, serta atas rakyatmu, supaya engkau tahu bahawa tidak ada yang seperti Aku di seluruh bumi. 15Sekarang pun Aku boleh sahaja menghulurkan tangan-Ku untuk mengazab engkau dan rakyatmu dengan wabak penyakit sehingga engkau lenyap dari bumi. 16#Rm 9:17.Akan tetapi, untuk tujuan ini Aku membiarkan engkau hidup, iaitu supaya Aku dapat memperlihatkan kepadamu kuasa-Ku, dan supaya nama-Ku termasyhur di seluruh bumi. 17Meskipun demikian, engkau masih sahaja meninggikan diri terhadap umat-Ku dan tidak mengizinkan mereka pergi. 18Sesungguhnya esok, pada waktu seperti ini, Aku akan menurunkan hujan batu yang sangat kuat, yang belum pernah terjadi di Mesir sejak Mesir diwujudkan sampai sekarang ini. 19Sekarang, suruhlah orang mengandangkan ternakan kamu dan segala sesuatu yang kaumiliki di padang. Semua orang dan haiwan yang ada di padang dan tidak dibawa masuk ke rumah akan mati ditimpa oleh hujan batu itu.” ’ ” 20Maka beberapa orang daripada pegawai Firaun yang takut kepada firman TUHAN melarikan para hamba serta ternakan masing-masing ke rumah. 21Tetapi orang yang tidak mengendahkan firman TUHAN meninggalkan para hamba serta ternakan mereka di padang.
22Firman TUHAN kepada Musa, “Hulurkanlah tanganmu ke langit supaya hujan batu turun di seluruh Tanah Mesir dan melanda manusia, haiwan, serta segala tumbuhan di padang, di Tanah Mesir.” 23Musa pun menghulurkan tongkatnya ke langit, lalu TUHAN mendatangkan guruh dan hujan batu, serta menurunkan api pula ke bumi. TUHAN menghujani Tanah Mesir dengan hujan batu. 24#Why 8:7; 16:21.Hujan batu turun dan api sambar-menyambar di tengah-tengah hujan batu itu dengan sangat hebatnya. Belum pernah terjadi hal sebegitu di seluruh Tanah Mesir sejak Mesir menjadi sebuah negara. 25Hujan batu itu membinasakan segala sesuatu yang ada di padang di seluruh Tanah Mesir, baik manusia mahupun haiwan. Maka rosaklah dan binasalah segala tumbuhan serta pokok akibat hujan batu itu. 26Hanya di Tanah Gosyen, iaitu tempat tinggal orang Israel, hujan batu tidak turun.
27Maka Firaun menyuruh agar Musa dan Harun dipanggil. Lalu katanya kepada mereka, “Kali ini aku telah berdosa. TUHAN itulah yang benar, sedangkan aku dan rakyatku bersalah. 28Berdoalah kepada TUHAN. Cukuplah sudah guruh yang luar biasa dan hujan batu ini. Aku akan mengizinkan kamu pergi. Tidak usah lagi kamu tinggal di sini.”
29Kata Musa kepadanya, “Apabila aku sudah keluar dari kota ini, aku akan menadahkan tanganku kepada TUHAN. Guruh akan berhenti dan hujan batu tidak akan turun lagi, supaya engkau tahu bahawa bumi ini milik TUHAN. 30Akan tetapi, aku tahu bahawa sesungguhnya engkau dan para pegawaimu belum juga takut kepada TUHAN Allah.”
31Pada masa itu musnah segala tumbuhan rami dan barli, kerana barli sedang berbulir dan rami sedang berbunga. 32Tetapi gandum dan sekoi yang belum tumbuh itu tidak musnah.
33Musa keluar dari kota itu meninggalkan Firaun, lalu dia menadahkan tangannya kepada TUHAN. Maka berhentilah guruh dan hujan batu, dan hujan tidak lagi mencurah-curah ke atas bumi. 34Namun begitu, apabila Firaun melihat bahawa hujan, hujan batu, dan guruh sudah berhenti, dia kembali berbuat dosa dan mengeraskan hatinya. Begitu jugalah para pegawainya. 35Hati Firaun tetap keras dan dia tidak mengizinkan orang Israel pergi, sebagaimana yang telah difirmankan oleh TUHAN dengan perantaraan Musa.

Terpilih Sekarang Ini:

Keluaran 9: AVB

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk