Kejadian 27
27
Ishak memberkati Yakub
1Ketika Ishak sudah tua dan sudah kabur matanya sehingga tidak dapat melihat lagi, dia memanggil Esau, anak sulungnya. Katanya kepada Esau, “Anakku.”
Jawabnya, “Ya ayah, aku ada di sini.”
2Kata Ishak, “Dengar, aku ini sudah tua. Aku tidak tahu bila hari kematianku. 3Sekarang, ambillah senjatamu, tabung panahmu dan busurmu. Pergilah ke padang dan dapatkan daging rusa untukku. 4Masakkan aku makanan yang sedap, seperti yang kugemari dan bawalah kepadaku agar aku boleh memakannya supaya kumohonkan berkat untukmu sebelum aku mati.”
5Ribka mendengar apa yang dikatakan Ishak kepada Esau, anaknya. Kemudian ketika Esau pergi ke padang memburu seekor binatang untuk dibawa pulang, 6berkatalah Ribka kepada Yakub, anaknya, “Ketahuilah, telah kudengar ayahmu berkata kepada Esau, abangmu. Katanya, 7‘Bawalah daging rusa untukku dan buatkan bagiku makanan yang sedap agar dapat aku makannya dan mohon berkat bagimu di hadapan TUHAN sebelum aku mati.’ 8Maka sekarang, anakku, dengarlah kata-kataku dan lakukanlah apa yang kuperintahkan kepadamu. 9Pergilah ke tempat ternakan domba kita dan ambilkanlah aku dua ekor anak kambing yang baik dari sana. Aku akan mengolahnya menjadi makanan sedap kegemaran ayahmu. 10Kemudian kamu harus membawanya kepada ayahmu untuk dimakannya agar dia memohonkan berkat bagimu sebelum dia mati.”
11Kata Yakub kepada Ribka, ibunya, “Tetapi Esau abangku itu seorang yang berbulu, sedangkan aku berkulit licin. 12Jangan-jangan ayah akan meraba aku dan aku akan dianggapnya sebagai seorang penipu, sehingga aku malah mendatangkan kutukan dan bukannya berkat ke atas diriku.”
13Kata ibunya kepadanya, “Akulah yang menanggung kutukanmu itu, anakku. Dengarlah sahaja kata-kataku. Pergilah, dan bawakanlah aku anak kambing dua ekor itu.” 14Maka pergilah Yakub mengambil dua ekor anak kambing dan membawanya kepada ibunya. Lalu ibunya memasak makanan yang sedap kegemaran ayahnya. 15Setelah itu, Ribka mengambil pakaian terindah milik Esau, anak sulungnya, iaitu pakaian yang disimpannya di rumah, lalu memakaikannya kepada Yakub, anak bongsunya. 16Kemudian dibalutnya kedua-dua belah tangan Yakub serta bahagian lehernya yang licin dengan kulit anak kambing tadi. 17Selanjutnya diserahkannyalah makanan yang sedap dan roti yang telah dibuatnya itu kepada Yakub, anaknya.
18Yakub pun mendatangi ayahnya dan berkata, “Ayah.” Jawab Ishak, “Ya. Siapakah kamu, anakku?”
19Kata Yakub kepada ayahnya, “Aku Esau, anak ayah yang sulung. Aku sudah melakukan seperti yang ayah pesan kepadaku. Bangunlah dan duduklah, makanlah hasil buruanku, supaya ayah dapat memohonkan berkat untukku.”
20Kata Ishak kepada anaknya, “Bagaimanakah kamu mendapatkannya secepat itu, anakku?”
Jawabnya, “Sebab TUHAN, Allahmu, membuat aku berhasil.”
21Lalu kata Ishak kepada Yakub, “Marilah dekat-dekat, anakku. Aku mahu merabamu, sama ada kamu ini anakku Esau atau bukan.” 22Yakub pun mendekati Ishak, ayahnya. Lalu Ishak merabanya dan berkata, “Suaranya suara Yakub, tetapi tangannya tangan Esau.” 23Ishak tidak mengenali dia kerana kedua-dua belah tangannya berbulu seperti tangan Esau, abangnya. Jadi, Ishak hendak memohonkan berkat baginya. 24Akan tetapi, dia masih bertanya, “Sungguhkah kamu ini anakku Esau?”
Jawabnya, “Ya.”
25Kemudian kata Ishak, “Dekatkanlah hasil buruanmu itu kepadaku. Aku akan memakannya supaya kumohonkan berkat bagimu.” Yakub mendekatkan masakan itu kepada ayahnya, lalu Ishak memakannya. Yakub juga membawakan air anggur untuknya, lalu Ishak pun meminumnya. 26Setelah itu Ishak, ayahnya, berkata kepadanya, “Ke marilah dan ciumlah aku, anakku.” 27#Ibr 11:20.Yakub mendekati dan mencium ayahnya. Ishak mencium bau pakaiannya, lalu memohon berkat baginya, katanya,
“Sesungguhnya, bau anakku ini
seperti bau padang yang diberkati TUHAN.
28Kiranya Allah mengurniakan kepadamu embun dari langit,
tempat-tempat yang subur di bumi,
serta gandum dan air anggur yang berlimpahan.
29 # Kej 12:3. Semoga bangsa-bangsa takluk kepadamu,
dan suku-suku bangsa tunduk kepadamu.
Jadilah tuan atas saudara-saudaramu,
dan semoga anak-anak ibumu tunduk kepadamu.
Terkutuklah orang yang mengutuk kamu,
dan diberkatilah orang yang memberkatimu.”
30Setelah Ishak selesai memohonkan berkat bagi Yakub, dan baru sahaja Yakub keluar meninggalkan Ishak ayahnya, datanglah Esau abangnya daripada berburu. 31Dia juga memasak makanan yang sedap, lalu membawanya kepada ayahnya. Katanya kepada ayahnya, “Mari, ayah, makanlah hasil buruan anakmu, supaya ayah memohonkan berkat bagiku.”
32Tanya Ishak, ayahnya, kepadanya, “Siapakah kamu?”
Jawabnya, “Aku anakmu. Anak sulungmu, Esau.”
33Maka gementarlah Ishak kerana sangat terkejut. Katanya, “Siapakah gerangan dia, yang tadi mendapatkan daging rusa lalu membawanya kepadaku? Aku telah memakan semuanya sebelum kamu datang dan aku telah memohonkan berkat baginya. Ya, dialah orang yang diberkati!”
34Apabila Esau mendengar kata-kata ayahnya itu, dia menjerit dengan nyaring dan penuh kepiluan. Katanya kepada ayahnya, “Mohonkanlah berkat bagiku juga, ayah!”
35Kata ayahnya, “Adikmu mendatangi aku dengan tipu helah dan telah mengambil berkat yang menjadi bahagianmu.”
36 # Kej 25:29-34. Kata Esau, “Bukankah tepat dia dinamai Yakub? Dia telah memperdaya aku untuk kali keduanya. Dahulu hakku sebagai anak sulung diambilnya, dan lihatlah, sekarang diambilnya pula berkat yang menjadi bahagianku.” Katanya pula, “Tidakkah ayah menyimpan berkat lain untukku?”
37Jawab Ishak kepada Esau, “Sesungguhnya, telah kutetapkan dia menjadi tuanmu, dan semua saudaranya telah kuberikan kepadanya menjadi hambanya. Dengan gandum dan air anggur telah kutunjangi dia. Jadi, apa lagi yang dapat kulakukan untukmu, anakku?”
38 # Ibr 12:17. Kata Esau kepada ayahnya, “Hanya satu berkat itukah yang ada padamu, ayah? Mohonkanlah berkat bagiku juga, ayah!” Lalu menangislah Esau dengan suara yang nyaring.
39 # Ibr 11:20. Jawab Ishak, ayahnya, kepadanya,
“Sesungguhnya, tempat tinggalmu
akan jauh dari tempat-tempat subur di bumi
dan jauh dari embun langit di atas.
40 # Kej 36:8; 2Raj 8:20. Kamu akan hidup dengan pedangmu,
dan kamu akan menjadi hamba adikmu.
Tetapi akan terjadi kelak,
apabila kamu akan bebas daripada belenggu itu,
kamu akan melepaskan kuknya daripada tengkukmu.”
41Esau benci dan berdendam terhadap Yakub atas sebab berkat yang dipohonkan ayahnya untuk Yakub. Kata Esau kepada dirinya, “Akan tiba hari perkabungan ayahku dan pada waktu itulah aku akan membunuh Yakub, adikku.”
42 # Keb 10:10. Tetapi kata-kata Esau, anak sulungnya itu disampaikan seseorang kepada Ribka lalu disuruhnyalah orang memanggil Yakub, anak bongsunya. Berkatalah Ribka kepadanya, “Ketahuilah bahawa Esau abangmu menenangkan dirinya dengan rancangan untuk membunuhmu. 43Maka, wahai anakku, dengarlah kata-kataku. Larilah segera ke tempat Laban, saudaraku, di Haran. 44Tinggallah bersama-samanya selama beberapa waktu sehingga reda kemarahan 45serta amarah abangmu kepadamu dan dia lupa apa yang telah kamu lakukan terhadapnya. Nanti aku akan menyuruh orang untuk menjemputmu dari sana. Mengapakah aku harus kehilangan kamu berdua dalam satu hari?”
46Kemudian Ribka berkata kepada Ishak, “Aku sudah jemu hidup kerana para perempuan Het itu. Jika Yakub juga memperisteri seorang perempuan dari negeri ini iaitu perempuan Het seperti mereka itu, apa gunanya lagi aku hidup?”
Terpilih Sekarang Ini:
Kejadian 27: AVB
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Alkitab Versi Borneo
Hak cipta © 2015 Borneo Sabda Limited