Kejadian 30
30
1Apabila Rahel melihat betapa dia tetap tidak melahirkan anak untuk Yakub, dia pun mencemburui kakaknya. Maka berkatalah dia kepada Yakub, “Berilah aku anak. Kalau tidak, biarlah aku mati.”
2Naik marahlah Yakub kepada Rahel, katanya, “Adakah aku di tempat Allah, yang menghalang kamu daripada mengandung?”
3Kata Rahel, “Ini Bilha, hambaku. Kahwinilah dia, supaya anak yang dilahirkannya diletakkan di pangkuanku, sehingga aku juga dapat mempunyai anak melalui dia.” 4Maka diserahkannyalah Bilha, hambanya, kepada Yakub untuk menjadi isterinya. Yakub pun meniduri hamba itu. 5Bilha mengandung lalu melahirkan seorang anak untuk Yakub. 6Berkatalah Rahel, “Allah bertindak adil terhadapku dan memakbulkan doaku dan mengurniakan kepadaku seorang anak.” Oleh sebab itulah dia menamai anak itu Dan. 7Kemudian Bilha, hamba Rahel itu, mengandung lagi dan melahirkan anak yang kedua untuk Yakub. 8Rahel berkata, “Aku bergelut begitu hebat dengan kakakku, dan aku menang.” Maka dia menamai anak itu Naftali. 9Apabila Lea melihat bahawa dia telah berhenti melahirkan anak, dia pun membawa Zilpa, hambanya, lalu diserahkannya kepada Yakub untuk menjadi isterinya. 10Lalu Zilpa, hamba Lea itu, melahirkan seorang anak untuk Yakub. 11Kata Lea, “Sungguh beruntung!” Maka dinamainya anak itu Gad. 12Zilpa, hamba Lea itu, melahirkan anak yang kedua pula untuk Yakub. 13Lea berkata, “Betapa bahagianya aku! Tentunya segala kaum wanita akan menyebut bahawa aku berbahagia.” Maka dia menamai anak itu Asyer.
14Sewaktu Ruben pergi berjalan-jalan pada musim menuai gandum dia terjumpa akar mandragora di padang lalu dibawanya kepada Lea, ibunya. Kata Rahel kepada Lea, “Berilah aku sedikit akar mandragora milik anakmu itu.”
15Jawab Lea kepadanya, “Belum cukup lagikah kamu mengambil suamiku, sehingga kamu mahu mengambil pula akar mandragora anakku?”
Kata Rahel, “Baiklah, biarlah dia tidur denganmu malam ini sebagai ganti akar mandragora anakmu itu.”
16Petang harinya, ketika Yakub kembali dari ladang, keluarlah Lea menyambutnya dan berkata, “Kamu harus singgah kepadaku, kerana aku sudah menyewamu dengan akar mandragora anakku.” Maka Yakub menidurinya pada malam itu.
17Allah memakbulkan doa Lea lalu ia mengandung dan melahirkan anak yang kelima untuk Yakub. 18Kata Lea, “Allah telah memberiku upah, kerana aku sudah menyerahkan hambaku kepada suamiku.” Oleh sebab itu dia menamai anak itu Isakhar. 19Lea mengandung lagi dan melahirkan anak yang keenam untuk Yakub. 20Kemudian kata Lea, “Allah mengurniakan satu anugerah yang bagus kepadaku. Tentunya suamiku akan tinggal bersama-samaku kerana aku telah melahirkan enam orang anak untuknya.” Oleh sebab itu dia menamai anak itu Zebulon. 21Setelah itu, dia melahirkan seorang anak perempuan yang dinamainya Dina.
22Allah mengendahkan Rahel pula dan mendengar dan memakbulkan doanya lalu membuka rahimnya. 23Maka Rahel pun mengandung dan melahirkan seorang anak. Katanya, “Allah sudah menghapuskan aibku.” 24Dia menamai anak itu Yusuf, sambil berkata, “Semoga TUHAN menganugerahiku seorang lagi anak.”
Kawanan ternakan Yakub anak Ishak
25Setelah Rahel melahirkan Yusuf, Yakub berkata kepada Laban, “Izinkanlah aku pergi. Aku hendak pulang ke negeriku, ke tempat kelahiranku. 26Berikanlah kepadaku para isteri serta anakku, yang kudapat dengan bekerja bagi pak cik, dan biarkan aku pergi. Pak cik sendiri tahu bagaimana aku telah bekerja bagi pak cik.”
27Tetapi kata Laban kepadanya, “Jika kamu berkenan, tinggal sajalah di sini, kerana hasil daripada firasatku, ternyata betapa TUHAN memberkati aku kerana kamu.” 28Katanya lagi, “Sebutkan berapa banyak upahmu, dan aku akan memberikannya.”
29Jawab Yakub kepadanya, “Pak cik sendiri tahu bagaimana aku bekerja bagi pak cik dan bagaimana keadaan ternak pak cik di bawah kelolaanku. 30Sebelum kedatanganku, sedikit sahaja yang pak cik miliki, tetapi kini sudah bertambah-tambah menjadi banyak. TUHAN memberkati pak cik selama aku berada di sini. Sekarang, bila boleh aku bekerja bagi rumah tanggaku sendiri?”
31Tanya Laban, “Apa yang harus kuberikan kepadamu?” Jawab Yakub, “Pak cik tidak usah memberikan sesuatu pun kepadaku. Aku mahu kembali menggembalakan dan menjaga kawanan domba pak cik jika pak cik mengizinkan hal ini bagiku: 32Hari ini aku akan berjalan melalui seluruh kawanan domba pak cik dan memisahkan dari situ setiap anak domba yang berbintik-bintik dan berbelang-belang, setiap anak domba yang berwarna gelap, serta setiap kambing yang berbelang-belang dan berbintik-bintik. Itulah yang akan menjadi upahku. 33Pada kemudian hari kejujuranku akan terbukti apabila pak cik datang memeriksa upahku. Setiap kambing yang tidak berbintik-bintik atau berbelang-belang, dan setiap domba yang tidak berwarna gelap, akan dianggap sebagai curian.”
34Jawab Laban, “Boleh sahaja, aku bersetuju dengan apa yang kamu katakan itu.” 35Akan tetapi, pada hari itu Laban mengasingkan kambing-kambing jantan yang bercelorong-celoreng dan berbelang-belang, semua kambing betina yang berbintik-bintik dan berbelang-belang, iaitu semua yang ada warna putih pada badannya, serta semua domba yang berwarna gelap, lalu menyerahkan kesemuanya kepada anak-anaknya. 36Setelah itu, dia menentukan jarak sejauh tiga hari perjalanan antara dia dengan Yakub, sementara Yakub menggembalakan kawanan ternakan Laban yang lain.
37Lalu Yakub mengambil dahan-dahan segar daripada pokok hawar, pokok badam, dan pokok berangan. Dikupasnya sebahagian kulitnya hingga tampak belang-belang putih pada dahan-dahan itu. 38Kemudian dahan-dahan yang telah dikupasnya itu diletakkannya di dalam palung tempat air minuman, sehingga tepat berada di depan kawanan domba yang datang minum. Biasanya, haiwan ternakan itu saling bersenyawa ketika datang untuk minum. 39Maka, bersenyawalah segala haiwan itu berdekatan dengan dahan-dahan tadi sehingga lahirlah anak-anak domba yang bercelorong-celoreng, berbintik-bintik, dan berbelang-belang.
40Yakub memisahkan domba-domba itu, lalu menghadapkan muka kawanan domba yang selebihnya ke arah kawanan domba Laban yang bercelorong-celoreng dan yang berwarna gelap. Dia mengasingkan kawanan ternaknya sendiri dan tidak menempatkannya bersama-sama haiwan-haiwan milik Laban.
41Maka setiap kali kawanan domba yang kuat bersenyawa, Yakub meletakkan dahan-dahan itu di dalam palung, di hadapan mata haiwan-haiwan itu, sehingga mereka bersenyawa dekat dahan-dahan itu. 42Tetapi jika kawanan domba itu lemah, dahan-dahan itu tidak diletakkan di depannya. Dengan demikian, haiwan yang lemah menjadi milik Laban manakala yang kuat menjadi milik Yakub. 43Maka semakin bertambah-tambahlah kekayaan Yakub. Dia mempunyai banyak kawanan domba, unta, dan keldai, serta hamba lelaki dan perempuan.
Terpilih Sekarang Ini:
Kejadian 30: AVB
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Alkitab Versi Borneo
Hak cipta © 2015 Borneo Sabda Limited