Kejadian 43

43
Saudara Yusuf berkunjung lagi ke Mesir
1Begitu hebat bencana kebuluran melanda bumi itu. 2Maka setelah gandum yang dibawa mereka dari Mesir habis dimakan, ayah mereka berkata kepada mereka, “Pergilah lagi dan beli sedikit lagi bahan makanan untuk kita.”
3Tetapi Yehuda berkata kepadanya, “Orang itu bersungguh-sungguh mengingatkan kami, ‘Kamu tidak boleh melihat mukaku lagi, kecuali ada adikmu bersama-samamu.’ 4Jika ayah mengizinkan adik kami pergi bersama-sama kami, barulah kami akan pergi membeli bahan makanan untuk ayah. 5Tetapi jika ayah tidak mengizinkannya, kami tidak akan pergi, kerana orang itu telah berkata kepada kami, ‘Kamu tidak boleh melihat mukaku lagi, kecuali ada adikmu bersama-samamu.’ ”
6Lalu kata Israel, “Mengapakah kamu menyusahkan aku dengan memberitahu orang itu bahawa kamu masih ada seorang lagi adik?”
7Jawab mereka, “Orang itu bertanya dengan terperinci mengenai kami dan tentang sanak saudara kita. Dia bertanya, ‘Masih hidupkah ayahmu? Masih ada lagikah saudaramu?’ Maka kami menjawab seperti yang kami katakan itu. Bagaimana kami tahu kemudiannya dia akan berkata, ‘Bawalah adikmu ke mari’?”
8Lalu kata Yehuda pula kepada Israel, ayahnya, “Izinkanlah anak itu pergi bersama-samaku. Kami akan segera pergi supaya kita, iaitu kami, ayah dan anak-anak kami, dapat terus hidup dan tidak mati. 9Akulah yang menjamin keselamatannya. Ayah boleh menuntutnya daripada tanganku. Jika aku tidak membawanya kembali kepada ayah dan menyerahkannya kepada ayah, maka seumur hiduplah aku akan menanggung dosa terhadap ayah. 10Jika kita tidak berlengah, tentunya sekarang ini pun kami sudah pulang untuk kali kedua.”
11Lalu berkatalah Israel, ayah mereka, kepada mereka, “Jika memang perlu begitu, lakukanlah sebegini: Bawalah hasil terbaik negeri ini di dalam karung-karung kamu, dan bawalah kepada orang itu persembahan berupa sedikit balsam, sedikit madu, rempah-rempah, damar wangi, buah pistasio, dan buah badam. 12Selain itu, bawalah wang sebanyak dua kali ganda dan wang yang dahulu dikembalikan di mulut karungmu masing-masing haruslah kamu bawa kembali. Mungkin terjadi kekeliruan pada masa itu. 13Bawalah adikmu juga dan segeralah kembali kepada orang itu. 14Kiranya Allah Yang Maha Kuasa menganugerahi aku belas kasihan di hadapan orang itu semoga dia melepaskan saudaramu yang lain itu dan juga Benyamin. Bagi diriku, sekiranya aku harus kehilangan anak-anakku, biarlah aku mengalami kehilangan itu.”
15Lalu mereka menyiapkan segala barang persembahan itu berserta wang sebanyak dua kali ganda dan bersama-sama Benyamin, pergilah mereka ke Mesir. Sesampainya di sana, berdirilah mereka di hadapan Yusuf. 16Ketika Yusuf melihat Benyamin ada bersama-sama mereka, berkatalah dia kepada pengawas rumah tangganya, “Bawalah para lelaki itu ke dalam rumah. Sembelihlah seekor haiwan dan sediakanlah makanan, kerana mereka itu akan makan bersama-samaku pada tengah hari ini.” 17Orang itu melaksanakan perintah Yusuf, lalu dia membawa mereka masuk ke rumah Yusuf.
18Para saudara itu menjadi ketakutan kerana mereka dibawa masuk ke rumah Yusuf. Kata mereka, “Kita dibawa masuk atas sebab wang yang dikembalikan ke dalam karung kita dahulu. Dia hendak menuduh kita, menangkap kita, menjadikan kita hamba-hambanya, serta mengambil keldai-keldai kita pula.” 19Oleh sebab itu mereka mendekati pengawas rumah tangga Yusuf itu dan berbicara dengannya di depan pintu rumah. 20Kata mereka, “Ya tuanku, dahulu memang kami pernah datang untuk membeli bahan makanan. 21Pada waktu kami sampai di tempat bermalam dan membuka karung kami, kelihatan sejumlah wang yang telah kami bayar sebelumnya ada di mulut karung. Tetapi sekarang kami membawanya kembali, 22dan kami juga membawa sejumlah wang lain untuk membeli bahan makanan. Kami tidak tahu siapa yang meletakkan wang itu ke dalam karung-karung kami.”
23Kata pengawas itu, “Tenanglah, jangan takut! Allahmu dan Allah ayahmu telah mengurniakan kepadamu harta karun di dalam karungmu. Wangmu dahulu telah kuterima.” Kemudian dia mengeluarkan Simeon dan membawanya kepada mereka.
24Setelah itu, dia membawa mereka masuk ke rumah Yusuf lalu memberi mereka air supaya mereka dapat membasuh kaki. Kemudian dia memberi keldai-keldai mereka makan. 25Mereka menyiapkan persembahan mereka sambil menantikan kedatangan Yusuf pada tengah hari, kerana mereka mendengar bahawa mereka akan dijamu makan di situ. 26Sesudah Yusuf pulang ke rumah, mereka pun menyerahkan kepada Yusuf segala persembahan yang dibawa masuk oleh mereka lalu mereka sujud di hadapannya memberi hormat. 27Yusuf bertanyakan keadaan mereka, lalu katanya, “Baikkah keadaan ayahmu, orang tua yang kamu ceritakan itu? Masih hidupkah dia?”
28Jawab mereka, “Hambamu, ayah kami, baik-baik dan masih hidup.” Lalu mereka membongkok dan sujud memberi hormat.
29Yusuf memandang mereka lalu dilihatnya Benyamin, adiknya, saudara yang seibu dengannya. Tanyanya, “Inikah adikmu yang bongsu, yang kamu ceritakan kepadaku?” Katanya pula, “Kiranya Allah bermurah hati kepadamu, anakku!” 30Yusuf pun segera beredar mencari tempat untuk menangis kerana hatinya sangat terharu melihat adiknya. Dia memasuki biliknya dan menangis di situ. 31Setelah itu, dia membasuh mukanya dan keluar. Sambil menahan diri dia berkata, “Sajikan makanan.” 32Makanan pun disajikan, di tempat Yusuf tersendiri, dengan para saudaranya di tempat tersendiri, dan tempat tersendiri juga bagi para warga Mesir yang makan bersama-sama. Orang Mesir memang tidak boleh makan sehidangan dengan orang Ibrani kerana bagi warga Mesir perkara itu suatu yang keji. 33Para saudara Yusuf didudukkan di hadapannya menurut urutan kelahiran mereka, daripada yang sulung sampai yang bongsu. Mereka pun saling berpandang-pandangan dalam kehairanan. 34Kemudian sebahagian hidangan dari meja Yusuf disajikan di hadapan mereka masing-masing, tetapi bahagian untuk Benyamin disajikan lima kali lebih banyak daripada bahagian untuk semua yang lain. Mereka pun minum dan bersuka ria dengan Yusuf.

Terpilih Sekarang Ini:

Kejadian 43: AVB

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk