Yesaya 40:1-11

Yesaya 40:1-11 AVB

“Hiburkanlah, hiburkanlah umat-Ku,” demikian firman Allahmu. “Bicaralah untuk menenangkan hati Yerusalem dan serukanlah kepadanya bahawa peperangannya sudah berakhir, bahawa kesalahannya telah diampunkan, dan bahawa ia telah menerima hukuman daripada tangan TUHAN dua kali lipat ganda atas segala dosanya.” Ada suara yang berseru, “Sediakanlah jalan untuk TUHAN di gurun, luruskanlah jalan raya bagi Allah kita di belantara! Setiap lembah harus ditinggikan, setiap gunung dan bukit harus direndahkan. Tanah yang berbukit-bukit harus dijadikan rata dan yang berlereng-lereng dijadikan dataran. Maka kemuliaan TUHAN akan dinyatakan dan semua manusia akan melihatnya bersama-sama, kerana TUHAN sendiri telah berfirman.” Ada suara yang berkata, “Berserulah!” Jawab Yesaya, “Apakah yang harus kuserukan?” “Semua manusia umpama rumput dan segala kemuliaannya umpama bunga di padang. Rumput layu dan bunga gugur apabila TUHAN menghembusnya dengan nafas-Nya. Sesungguhnya, bangsa itu seperti rumput. Rumput layu dan bunga luruh, tetapi firman Allah kita kekal selama-lamanya.” Naikilah gunung yang tinggi, wahai engkau yang membawa khabar baik ke Sion! Angkatlah suaramu kuat-kuat, wahai engkau yang membawa khabar baik ke Yerusalem! Angkatlah suaramu, jangan takut! Katakanlah kepada kota-kota Yehuda, “Lihat, itu Allahmu!” Lihat, Tuhan ALLAH datang dengan kekuatan, dan dengan tangan-Nya Dia akan berkuasa. Lihat, pahala yang dibawa-Nya bersama, dan ganjaran-Nya ada di hadapan-Nya. Dia menggembala kawanan domba-Nya seperti seorang gembala. Dia mengumpulkan anak domba dengan tangan-Nya dan mendukung mereka rapat ke dada-Nya. Dia akan membimbing induk-induk domba yang menyusu dengan lembut.