YESAYA 40:1-11
YESAYA 40:1-11 Alkitab Berita Baik (BM)
“Hiburkanlah umat-Ku, hiburkanlah mereka!” firman Allah kamu. “Galakkanlah penduduk Yerusalem. Beritahulah mereka bahawa sudah cukup mereka menderita, dan dosa mereka sudah Kuampunkan.” Aku telah menghukum mereka dengan sepenuhnya kerana dosa mereka. Terdengar suara orang berseru, “Sediakanlah jalan bagi TUHAN di padang gurun! Siapkanlah jalan di padang pasir bagi Allah kita! Timbusilah tiap-tiap lembah; ratakanlah tiap-tiap gunung. Bukit-bukit akan menjadi dataran, dan tanah yang lekak-lekuk akan diratakan. Lalu keagungan TUHAN akan dinyatakan, dan segenap umat manusia akan menyaksikannya. TUHAN sendiri telah menjanjikannya.” Terdengar suara orang berseru, “Isytiharkanlah berita ini!” “Berita apa yang harus kuisytiharkan?” aku bertanya. “Isytiharkanlah bahawa manusia bagaikan rumput; mereka seperti bunga yang tidak tahan lama. Rumput menjadi kering dan bunga pun layu, apabila TUHAN menghembuskan angin yang panas. Manusia juga sama seperti rumput. Rumput menjadi kering dan bunga pun layu, tetapi firman Allah kita kekal selama-lamanya.” Hai Yerusalem, naiklah ke atas gunung yang tinggi dan isytiharkanlah berita baik! Hai Sion, berserulah dengan suara yang lantang dan umumkanlah berita baik! Berserulah dan jangan takut. Beritahulah kota-kota di Yehuda bahawa Allah mereka akan datang! TUHAN Raja datang untuk memerintah dengan kekuasaan, Dia akan membawa umat yang telah diselamatkan-Nya. Dia akan menjaga umat-Nya seperti seorang gembala; Dia akan mengumpulkan dan mendukung anak-anak domba, dan dengan lemah lembut, memimpin induk-induk domba.
YESAYA 40:1-11 Alkitab Versi Borneo (AVB)
“Hiburkanlah, hiburkanlah umat-Ku,” demikian firman Allahmu. “Bicaralah untuk menenangkan hati Yerusalem dan serukanlah kepadanya bahawa peperangannya sudah berakhir, bahawa kesalahannya telah diampunkan, dan bahawa ia telah menerima hukuman daripada tangan TUHAN dua kali lipat ganda atas segala dosanya.” Ada suara yang berseru, “Sediakanlah jalan untuk TUHAN di gurun, luruskanlah jalan raya bagi Allah kita di belantara! Setiap lembah harus ditinggikan, setiap gunung dan bukit harus direndahkan. Tanah yang berbukit-bukit harus dijadikan rata dan yang berlereng-lereng dijadikan dataran. Maka kemuliaan TUHAN akan dinyatakan dan semua manusia akan melihatnya bersama-sama, kerana TUHAN sendiri telah berfirman.” Ada suara yang berkata, “Berserulah!” Jawab Yesaya, “Apakah yang harus kuserukan?” “Semua manusia umpama rumput dan segala kemuliaannya umpama bunga di padang. Rumput layu dan bunga gugur apabila TUHAN menghembusnya dengan nafas-Nya. Sesungguhnya, bangsa itu seperti rumput. Rumput layu dan bunga luruh, tetapi firman Allah kita kekal selama-lamanya.” Naikilah gunung yang tinggi, wahai engkau yang membawa khabar baik ke Sion! Angkatlah suaramu kuat-kuat, wahai engkau yang membawa khabar baik ke Yerusalem! Angkatlah suaramu, jangan takut! Katakanlah kepada kota-kota Yehuda, “Lihat, itu Allahmu!” Lihat, Tuhan ALLAH datang dengan kekuatan, dan dengan tangan-Nya Dia akan berkuasa. Lihat, pahala yang dibawa-Nya bersama, dan ganjaran-Nya ada di hadapan-Nya. Dia menggembala kawanan domba-Nya seperti seorang gembala. Dia mengumpulkan anak domba dengan tangan-Nya dan mendukung mereka rapat ke dada-Nya. Dia akan membimbing induk-induk domba yang menyusu dengan lembut.