Saudara-saudaraku, apa gunanya seorang berkata, “Aku beriman,” jika dia tidak membuktikan imannya melalui perbuatannya? Iman sedemikian tidak dapat menyelamatkannya. Katakanlah seorang saudara lelaki atau saudara perempuan memerlukan pakaian dan kekurangan makanan. Apakah gunanya kamu berkata kepadanya, “Selamat jalan, pakailah baju panas dan makanlah secukupnya,” jika kamu tidak menghulurkan apa yang diperlukan tubuhnya? Demikian juga dengan iman, jika tidak dinyatakan melalui perbuatan, maka sia-sialah iman itu. Mungkin ada orang yang berkata, “Kamu mempunyai iman; aku mempunyai perbuatan.” Tunjukkan kepadaku seorang yang beriman tetapi tidak mengamalkan perbuatan baik, maka dengan perbuatan baikku akan kutunjukkan bahawa aku beriman. Kamu percaya kepada Allah yang esa. Bagus! Roh-roh iblis juga percaya demikian dan gementar ketakutan. Alangkah tumpul fikiranmu, mengapakah kamu memerlukan bukti bahawa iman tanpa perbuatan baik itu sia-sia sahaja? Bukankah Abraham, moyang kita, diperbenar kerana perbuatannya apabila dia mempersembahkan anaknya Ishak di atas mazbah? Tidak jelaskah kepadamu bahawa Abraham menunjukkan imannya melalui perbuatannya? Dengan demikian, sempurnalah iman Abraham. Demikian terlaksanalah apa yang dikatakan dalam Kitab Suci: “Abraham percaya kepada Allah, dan hal itu diperhitungkan baginya sebagai perbenaran.” Oleh itu, Abraham dipanggil sahabat Allah. Nyatalah bahawa seseorang itu diperbenar kerana perbuatannya, bukan imannya semata-mata. Demikian juga dengan Rahab, wanita pelacur itu. Rahab diperbenar kerana perbuatannya ketika dia menyambut pengintip-pengintip Israel dan membantu mereka melarikan diri melalui jalan lain. Tubuh tanpa roh, tubuh yang mati. Begitu jugalah, iman tanpa perbuatan, iman yang mati.
Baca Yakobus 2
Kongsi
Bandingkan Semua Versi: Yakobus 2:14-26
Simpan ayat, baca di luar talian, tonton klip pengajaran, dan banyak lagi!
Halaman Utama
Alkitab
Pelan
Video