YAKOBUS 2:14-26
YAKOBUS 2:14-26 Alkitab Berita Baik (BM)
Saudara-saudaraku! Tidak ada gunanya seorang Kristian berkata, “Saya beriman,” jika perbuatannya tidak membuktikan imannya. Iman semacam itu tidak dapat menyelamatkan dia. Andaikan seorang saudara lelaki atau saudara perempuan memerlukan pakaian dan tidak mempunyai cukup makanan. Tidak ada gunanya kamu berkata kepadanya, “Allah memberkati kamu! Pakailah baju panas dan makanlah dengan secukupnya!” - jika kamu tidak memberikan keperluan sehari-hari kepadanya. Demikian jugalah dengan iman. Jika iman tidak dinyatakan dengan perbuatan, iman itu sia-sia! Mungkin ada yang berkata, “Ada orang yang mempunyai iman, dan ada pula yang mengamalkan perbuatan baik.” Aku akan menjawab, “Tunjukkanlah seorang yang mempunyai iman tetapi tidak mengamalkan perbuatan baik, lalu dengan perbuatanku yang baik, aku akan menunjukkan bahawa aku beriman.” Kamu percaya bahawa Allah hanya satu. Bagus! Roh-roh jahat pun percaya akan hal itu dan gementar kerana takut. Alangkah bodohnya kamu! Adakah perlu dibuktikan bahawa iman tanpa perbuatan baik itu sia-sia? Mengapakah Allah berkenan kepada nenek moyang kita Abraham? Allah berkenan kepada Abraham kerana perbuatan Abraham, iaitu mempersembahkan Ishak, anaknya di atas mazbah, sebagai persembahan kepada Allah. Kamu tidak nampakkah bahawa Abraham menunjukkan imannya dengan perbuatannya? Oleh itu, iman Abraham menjadi sempurna. Perkara itu sesuai dengan ayat Alkitab, “Abraham percaya kepada Allah, dan kerana imannya Allah menerima dia sebagai orang yang melakukan kehendak Allah.” Itulah sebabnya Abraham disebut sahabat Allah. Jelaslah sekarang bahawa Allah berkenan kepada seseorang kerana perbuatan orang itu, dan bukan hanya kerana imannya. Demikian juga halnya dengan Rahab, wanita pelacur itu. Allah berkenan kepada Rahab kerana perbuatannya. Rahab menyambut pengintip-pengintip Israel dan menolong mereka melarikan diri melalui jalan lain. Oleh itu, sebagaimana tubuh tanpa roh adalah tubuh yang mati, demikian juga iman tanpa perbuatan adalah iman yang sia-sia!
YAKOBUS 2:14-26 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Shahadan saudara saudaraku, bahwa apakah kauntongannya, mŭskipun kiranya sa’orang bŭrkata iya ada bŭriman, tŭtapi tiada bŭramal, bulihkah iman itu mŭmliharakan dia? Jikalau kiranya sa’orang saudara laki laki atau pŭrampuan ada bŭrtlanjang, dan bŭrkurangan makanan sa’hari hari; Dan barang sa’orang deripada kamu bŭrkata kapadanya, Pŭrgilah kamu dŭngan sŭjahtranya, biarlah kamu panas dan kŭnyang; akan tŭtapi tiada angkau bri pada marika itu pŭrkara pŭrkara yang bŭrguna pada tubohnya, maka apakah kauntongannya? Maka dŭmkianlah adanya iman itupun, jikalau tiada amalnya, nŭschaya matilah iya sŭbab iya kasunyian. Bahkan, sa’orang bulih bŭrkata, Angkau ini ada bŭriman, dan aku ini ada bŭramal: unjokkanlah padaku imanmu itu dŭngan tiada amalmu, maka aku pun kŭlak mŭnunjokkan padamu imanku ulih amalku. Maka angkau pŭrchaya bahwa Allah itu hanya suatu, alangkah baik; iblis pun pŭrchaya sŭrta dŭngan gŭmŭntarnya. Akan tŭtapi handaklah angkau kŭtahui hie orang yang sia sia, adapun iman dŭngan tiada bŭramal itu iya itu mati adanya. Bukankah Ibrahim bapa kami itu tŭlah dibŭnarkan deri sŭbab amalnya, tŭtkala iya tŭlah mŭmpŭrsŭmbahkan Isahak anaknya itu diatas tŭmpat pŭrsŭmbahan itu? Tengoklah angkau bagimana imannya tŭlah bŭrlaku dŭngan amalnya, maka dŭngan amal itu juga iman itu disampornakan. Maka tŭlah gŭnaplah kitab Allah yang bŭrkata, Ibrahim itu pŭrchaya akan Allah, maka sŭbab itu dibilangkan dia bŭnar, sŭrta disŭbut akan dia sahabat Allah. Maka kamu tengoklah skarang, bahwa sa’orang manusia itu dibŭnarkan deri sŭbab amalnya, dan bukannya sŭbab iman sahja. Dan dŭmkian lagi bukankah Rahab pŭrampuan sundal itu dibŭnarkan deri sŭbab amal, tŭtkala iya mŭnyambut utus utusan, dan disurohnya pula kluar akan dia pada jalan yang lain? Kŭrna spŭrti tuboh itu dŭngan tiada bŭrnyawa matilah, dŭmkian lagi iman itu dŭngan tiada bŭramal matilah juga adanya.
YAKOBUS 2:14-26 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Saudara-saudaraku, apa gunanya seorang berkata, “Aku beriman,” jika dia tidak membuktikan imannya melalui perbuatannya? Iman sedemikian tidak dapat menyelamatkannya. Katakanlah seorang saudara lelaki atau saudara perempuan memerlukan pakaian dan kekurangan makanan. Apakah gunanya kamu berkata kepadanya, “Selamat jalan, pakailah baju panas dan makanlah secukupnya,” jika kamu tidak menghulurkan apa yang diperlukan tubuhnya? Demikian juga dengan iman, jika tidak dinyatakan melalui perbuatan, maka sia-sialah iman itu. Mungkin ada orang yang berkata, “Kamu mempunyai iman; aku mempunyai perbuatan.” Tunjukkan kepadaku seorang yang beriman tetapi tidak mengamalkan perbuatan baik, maka dengan perbuatan baikku akan kutunjukkan bahawa aku beriman. Kamu percaya kepada Allah yang esa. Bagus! Roh-roh iblis juga percaya demikian dan gementar ketakutan. Alangkah tumpul fikiranmu, mengapakah kamu memerlukan bukti bahawa iman tanpa perbuatan baik itu sia-sia sahaja? Bukankah Abraham, moyang kita, diperbenar kerana perbuatannya apabila dia mempersembahkan anaknya Ishak di atas mazbah? Tidak jelaskah kepadamu bahawa Abraham menunjukkan imannya melalui perbuatannya? Dengan demikian, sempurnalah iman Abraham. Demikian terlaksanalah apa yang dikatakan dalam Kitab Suci: “Abraham percaya kepada Allah, dan hal itu diperhitungkan baginya sebagai perbenaran.” Oleh itu, Abraham dipanggil sahabat Allah. Nyatalah bahawa seseorang itu diperbenar kerana perbuatannya, bukan imannya semata-mata. Demikian juga dengan Rahab, wanita pelacur itu. Rahab diperbenar kerana perbuatannya ketika dia menyambut pengintip-pengintip Israel dan membantu mereka melarikan diri melalui jalan lain. Tubuh tanpa roh, tubuh yang mati. Begitu jugalah, iman tanpa perbuatan, iman yang mati.