Yohanes 12:20-50

Yohanes 12:20-50 AVB

Di antara orang ramai yang pergi ke Yerusalem untuk beribadat pada waktu perayaan itu ada sebilangan orang Yunani. Mereka mendapatkan Filipus, yang berasal dari Betsaida di Galilea, lalu berkata, “Tuan, kami ingin bertemu dengan Yesus.” Filipus pun memberitahu Andreas lalu mereka berdua pergi menyampaikan hal itu kepada Yesus. Yesus berkata kepada mereka, “Sudah sampai masanya Anak Manusia dimuliakan. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, jika benih gandum tidak jatuh di tanah lalu mati, benih gandum itu hanyalah benih. Tetapi sekiranya benih itu mati, benih itu akan banyak menghasilkan buah. Orang yang sayangkan hidupnya akan kehilangan hidup itu. Tetapi orang yang tidak sayangkan hidupnya di dunia ini akan mendapat hidup yang kekal. Sesiapa yang ingin mengabdi kepada-Ku mesti mengikut-Ku, dan di mana Aku berada, di situlah juga abdi-Ku. Orang yang mengabdi kepada-Ku akan dihormati oleh Bapa.” “Hati-Ku resah. Apa yang akan Kukatakan? Patutkah Aku berkata, ‘Bapa, jauhkanlah Aku daripada saat penderitaan ini?’ Namun demikian, sebab itulah Aku datang menghadap saat ini. Bapa, tunjukkanlah kemuliaan nama-Mu!” Ketika itu kedengaran suara dari langit berkata, “Aku sudah menunjukkan kemuliaan-Ku dan Aku akan menunjukkannya lagi.” Antara orang ramai yang mendengar suara itu, ada yang berkata, “Guruh.” Tetapi ada pula yang berkata, “Bukan. Malaikat bercakap kepada-Nya.” Yesus berkata kepada mereka, “Suara itu kedengaran bukan demi kepentingan-Ku tetapi demi kepentinganmu. Sudah sampailah masanya dunia ini dihakimi. Kini pemerintah dunia ini akan digulingkan. Apabila Aku diangkat tinggi di atas bumi, Aku akan menarik semua manusia kepada-Ku.” Kata-kata Yesus ini membayangkan cara kematian-Nya kelak. Orang ramai berkata kepada Yesus, “Dalam hukum Taurat ada tersurat bahawa Kristus yang diutus Allah akan hidup selama-lamanya. Bagaimana kamu pula mengatakan bahawa Anak Manusia akan diangkat tinggi di atas bumi? Siapakah Anak Manusia itu?” Yesus menjawab, “Cahaya itu akan menyertaimu sebentar sahaja lagi. Teruslah berjalan selagi ada cahaya itu sebelum kegelapan menyelubungimu. Seseorang yang berjalan dalam kegelapan tidak tahu ke mana arah tujuannya. Selagi ada cahaya itu menyertaimu, percayalah kepadanya, supaya kamu menjadi anak-anak cahaya.” Setelah berkata-kata demikian, Yesus meninggalkan tempat itu lalu bersembunyi daripada mereka. Mereka tetap tidak percaya kepada-Nya walaupun telah banyak melihat mukjizat-Nya. Dengan demikian terlaksanalah apa yang dikatakan oleh Nabi Yesaya: “Ya Tuhan, siapakah yang percaya akan perkhabaran kami? Kepada siapakah tangan Tuhan ditunjukkan?” Itulah maka mereka tidak percaya, sebagaimana kata Yesaya lagi: “Dia telah membutakan mata mereka dan menjadikan mereka keras hati. Kalau tidak demikian, mereka tentu melihat dengan mata, dan mengerti dengan hati, lalu berpaling kepada-Ku dan Aku menyembuhkan mereka.” Yesaya berkata demikian kerana dia telah melihat kemuliaan-Nya serta berkata-kata tentang-Nya. Sebenarnya banyak juga pemerintah yang percaya kepada Yesus. Namun demikian, disebabkan orang Farisi itu, mereka tidak berani mengakui-Nya secara terbuka kerana takut disingkirkan daripada saumaah. Mereka lebih mencintai pujian manusia daripada pujian Allah. Yesus berseru, “Sesiapa yang percaya kepada-Ku, juga percaya kepada Dia yang mengutus-Ku. Sesiapa yang melihat-Ku, juga melihat Dia yang mengutus-Ku. Aku datang ke dunia ini sebagai cahaya, supaya manusia yang percaya kepada-Ku tidak akan terus tinggal dalam kegelapan. Sekiranya seseorang mendengar kata-kata-Ku tetapi tidak mematuhinya, Aku tidak akan menghukumnya. Aku datang bukan untuk menghukum dunia ini tetapi untuk menyelamatkannya. Ada hakim bagi sesiapa yang tidak menerima-Ku dan kata-kata-Ku. Kata-kata yang Kusampaikan itulah yang akan menghakiminya pada hari akhir. Aku bercakap bukan mengikut kehendak-Ku sendiri. Bapa yang mengutus-Ku memerintahkan Aku tentang apa yang harus Kukatakan dan bagaimana menyampaikannya. Aku tahu bahawa perintah-Nya itu membawa hidup kekal. Oleh itu, apa yang Kukatakan, Kusampaikan sebagaimana disuruh oleh Bapa-Ku.”