YOHANES 12:20-50

YOHANES 12:20-50 Alkitab Berita Baik (BM)

Beberapa orang Yunani ada antara orang ramai yang pergi ke Yerusalem untuk beribadat pada masa perayaan itu. Mereka datang kepada Filipus, lalu berkata, “Tuan, kami hendak berjumpa dengan Yesus.” (Filipus berasal dari Betsaida di Galilea.) Dia memberitahu Andreas, lalu kedua-duanya pergi memberitahu Yesus. Yesus berkata kepada mereka, “Sudah tiba masanya Anak Manusia dimuliakan. Sungguh benar apa yang Aku katakan ini: Jika sebiji benih gandum tidak ditanam di tanah lalu mati, benih gandum itu tetap sebiji benih sahaja. Tetapi jika benih itu ditanam lalu mati, maka benih itu akan tumbuh dan menghasilkan banyak gandum. Sesiapa yang mengasihi hidupnya sendiri akan kehilangan hidup itu. Tetapi sesiapa yang tidak mengasihi hidupnya di dunia ini akan memilikinya untuk hidup sejati dan kekal. Sesiapa yang mahu mengabdikan diri kepada-Ku harus mengikut Aku, supaya dia boleh bersama-sama Aku di tempat Aku berada. Bapa-Ku akan menghormati orang yang mengabdikan diri kepada-Ku.” “Hati-Ku gelisah. Apa yang akan Aku katakan? Haruskah Aku berkata, ‘Bapa, jauhkanlah Aku daripada saat penderitaan ini’? Tidak. Aku datang justeru untuk mengalami saat penderitaan ini. Ya Bapa, tunjukkanlah kemuliaan-Mu!” Kemudian terdengar suara dari langit berkata, “Aku sudah menunjukkan kemuliaan-Ku dan Aku akan menunjukkannya lagi.” Orang ramai di situ mendengar suara itu. Mereka berkata, “Guruh!” Tetapi ada juga yang berkata, “Bukan! Malaikat berkata-kata kepada-Nya!” Tetapi Yesus berkata kepada mereka, “Suara itu terdengar bukan untuk kepentingan-Ku, tetapi untuk kepentingan kamu. Tibalah saatnya dunia dihakimi; sekarang penguasa dunia ini akan digulingkan. Apabila Aku ditinggikan di atas bumi, Aku akan memimpin semua orang kepada-Ku.” Dengan kata-kata-Nya ini, Yesus menunjukkan cara Dia akan mati. Orang ramai berkata kepada-Nya, “Taurat kami mengatakan bahawa Penyelamat yang diutus oleh Allah akan hidup selama-lamanya. Bagaimana kamu dapat berkata bahawa Anak Manusia harus ditinggikan di atas bumi? Siapakah Anak Manusia itu?” Yesus menjawab, “Cahaya itu akan bersama-sama kamu sebentar sahaja. Teruskanlah perjalanan selama cahaya itu masih ada, supaya kamu tidak ditimpa kegelapan. Seorang yang berjalan dalam kegelapan, tidak tahu ke mana dia pergi. Percayalah kepada cahaya itu selama cahaya itu bersama-sama kamu, supaya kamu menjadi anak-anak cahaya itu.” Setelah Yesus berkata demikian, Dia pergi dari sana lalu menyembunyikan diri daripada mereka. Meskipun Dia sudah melakukan semua mukjizat itu di hadapan mereka, mereka tidak percaya kepada-Nya. Oleh itu berlakulah nubuat Nabi Yesaya, “Ya Tuhan, siapakah yang percaya akan perkhabaran kami? Kepada siapakah kuasa Tuhan ditunjukkan?” Itulah sebabnya mereka tidak dapat percaya, kerana Yesaya juga berkata, “Allah berfirman, ‘Aku sudah membutakan mata mereka, dan menjadikan mereka keras kepala, supaya mata mereka tidak dapat melihat, dan fikiran mereka tidak dapat mengerti, sehingga mereka tidak kembali kepada-Ku untuk Aku sembuhkan.’ ” Yesaya berkata demikian kerana dia sudah melihat kemuliaan Yesus lalu berkata-kata tentang Dia. Walaupun demikian, banyak juga penguasa Yahudi yang percaya kepada Yesus. Tetapi kerana mereka takut dilarang masuk ke rumah ibadat oleh orang Farisi, mereka tidak berani mengakui Yesus secara terang-terangan. Mereka lebih suka dipuji oleh manusia daripada dipuji oleh Allah. Lalu Yesus berseru, “Sesiapa yang percaya kepada-Ku, bukan sahaja percaya kepada-Ku, tetapi juga kepada Dia yang mengutus Aku. Sesiapa yang melihat Aku, juga melihat Dia yang mengutus Aku. Aku datang ke dunia ini sebagai cahaya, supaya tiap-tiap orang yang percaya kepada-Ku tidak tinggal dalam kegelapan. Jika seseorang mendengar ajaran-Ku tetapi tidak mentaatinya, Aku tidak akan menghukum dia. Aku datang, bukan untuk menghukum dunia ini tetapi untuk menyelamatkannya. Sesiapa yang menolak Aku dan tidak menerima perkhabaran-Ku, sudah ada yang akan menghakiminya. Perkhabaran yang Aku sampaikan ini akan menghakiminya pada Hari Kiamat! Aku tidak berkata-kata menurut kemahuan-Ku sendiri, kerana Bapa yang mengutus Aku memerintahkan Aku mengatakan apa yang harus disampaikan. Aku tahu bahawa perintah-Nya itu memberikan hidup sejati dan kekal. Oleh itu Aku menyampaikan perkhabaran seperti yang diberitahukan oleh Bapa kepada-Ku.”

YOHANES 12:20-50 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

¶ Bŭrmula maka adalah bŭbrapa orang Grika diantara marika itu, yang tŭlah datang akan sŭmbahyang pada hari raya itu: Maka datanglah marika itu kapada Filipus, iya itu orang Bethsieda, ditanah Galilia; maka mŭmintalah marika itu padanya katanya, Tuan, kami handak mŭlihat akan Isa. Maka datanglah Filipus mŭmbri tahu Andria, maka Andria dan Filipus mŭmbri tahu Isa pula. Maka disahut Isa pada marika itu katanya, Waktunya tŭlah sampielah, Anak manusia itu patut dipŭrmuliakan. Bahwa sŭsungguh sungguhnya aku bŭrkata padamu, jikalau kiranya sŭbiji gandom yang tŭlah ditaborkan ditanah itu tiada mati, nŭschaya iya itu tinggal sŭbiji sahja; tŭtapi jikalau iya mati, maka iya kŭlak akan bŭrbuah tŭrlalu banyak. Maka barang siapa yang mŭngasihi akan dirinya, maka iya itu kŭlak hilang, dan barang siapa yang mŭmbŭnchi akan dirinya dalam dunia ini, maka iya itu kŭlak akan tŭrplihara slama lamanya dalam akhirat. Maka barang siapa handak bŭpŭrhambakan dirinya padaku, maka handaklah iya mŭngikot aku, dan dimana ada aku, maka disanalah kŭlak ada hambaku pun; dan jikalau barang siapa handak bŭpŭrhambakan dirinya padaku, maka iyalah akan bŭrulih hormat deri pada Ayahku. Adapun skarang tŭrlalu susah hatiku, apakah aku handak bŭrkata? Ya Ayah, lŭpaskanlah aku deripada waktu ini; akan tŭtapi kŭrna sŭbab inilah aku datang pada waktu ini. Ya Ayah, pŭrmuliakanlah namamu; sŭmŭnjak itu maka bŭrsrulah swara deri langit, katanya, Bahwa aku sudah pŭrmuliakan namaku, dan lagi pula aku akan mŭmuliakan dia. Maka bŭrkatalah orang banyak yang bŭrdiri disana, sŭrta mŭnŭngar swara itu, katanya, guroh bŭrbunyi. Maka kata orang lain pula, Mŭliekat bŭrtutor dŭngan dia. Maka sahut Isa sambil bŭrkata, Bahwa swara itu bukannya sŭbab aku, mŭlainkan sŭbab kamu skalian adanya. Maka skaranglah hukum dunia ini, dan skaranglah pŭnghulu dunia ini akan dibuangkan kluar. Adapun apabila aku ini ditinggikan deri atas bumi, maka aku akan mŭnggrakkan orang sŭmua datang kapadaku. Adapun Isa mŭngatakan itu, iya itu mŭnyatakan derihal pri kŭmatiannya. Sŭbarmula maka disahut orang banyak itu kapada Isa, katanya, Adapun kami skalian tŭlah mŭnŭngar khabar deri pada tauret, iya itu Almasih kŭlak tinggal kŭkal, maka bagimana pula angkau ini bŭrkata, Bahwa Anak manusia itu patut akan ditinggikan; siapakah garangan yang bŭrnama Anak manusia itu? Maka kata Isa kapada marika itu, Hanya skutika lagi ada trang sŭrta kamu, maka handaklah kamu bŭrjalan dalam trang sŭdang kamu ada lagi mŭnaroh trang itu, supaya jangan kamu kagŭlapan kŭlak, kŭrna orang yang bŭrjalan dalam gŭlap itu tiada iya tahu kŭmanakah pŭrginya. Adapun sŭdang kamu mŭnaroh trang itu, maka handaklah kamu pŭrchaya akan trang itu, supaya kamu jadi anak anak trang itu. Sŭtlah sudah Isa bŭrkata akan sagala pŭrkara itu, maka undorlah iya pŭrgi mŭnyŭmbunyikan dirinya deripada marika itu. ¶ Maka jikalau sudah dipŭrbuat Isa dihadapan marika itu bŭbrapa mujizat skali pun, tŭtapi tiada juga marika itu pŭrchaya akan dia. Supaya gŭnaplah pŭrkataan nabi Jasia yang dikatakannya, Ya Tuhan, siapakah yang tŭlah pŭrchaya akan khabar kami skalian, dan kapada siapakah lŭngan Tuhan tŭlah dinyatakan? Maka sŭbab itulah marika itu tiada bulih pŭrchaya adanya, kŭrna nabi Jasia bŭrkata pula: Allah tŭlah mŭmbutakan matanya, dan mŭngŭraskan hatinya, supaya jangan marika itu mŭlihat dŭngan matanya, dan mŭngarti dŭngan hatinya, dan bŭrtaubat, maka supaya jangan aku mŭnyŭmbohkan dia. Maka adapun sagala pŭrkara ini dikatakan ulih nabi Jasia itu, tŭtkala iya mŭlihat kŭmuliaan Isa, dan mŭngatakan deri halnya itu. ¶ Maka sungguh pun ada juga banyak deripada pŭnghulu yang pŭrchaya akan dia, tŭtapi tiada marika itŭ mŭngaku itu, sŭbab takot akan orang Farisia, asal jangan dibuang iya deri dalam kŭnisa. Kŭrna marika itu mŭnghandaki puji deripada manusia tŭrlebih deripada puji Allah. ¶ Maka bŭrsrulah Isa sambil bŭrkata, Barang siapa yang pŭrchaya akan daku, bukannya iya itu pŭrchaya akan daku, mŭlainkan pŭrchaya akan iya yang tŭlah mŭnyurohkan aku. Dan barang siapa mŭlihat aku, sŭrasa iya mŭlihat akan dia yang tŭlah mŭnyurohkan aku. Adapun aku tŭlah datang akan mŭnjadi trang dalam dunia, supaya barang siapa yang pŭrchaya akan daku, maka iya tiada akan tŭrtinggal dalam gŭlap. Maka jikalau barang siapa mŭnŭngar pŭrkataanku, tapi tiada iya pŭrchaya, tiadalah aku mŭnghukumkan dia; kŭrna aku datang ini bukannya mŭnghukumkan orang isi dunia, mŭlainkan mŭmbri slamat akan orang isi dunia. Barang siapa yang mŭnolakkan aku, dan tiada mŭnŭrima pŭrkataanku, maka ada sa’orang yang mŭnghukumkan dia; maka pŭrkataan yang kukatakan itu pun nanti mŭnghukumkan dia pada hari kumdian. Kŭrna tiada aku mŭngatakan barang suatu deripada kahandak diriku, tŭtapi Ayah mŭnyurohkan aku, iyalah yang mŭmbri hukum akan daku barang yang patut kukatakan, dan barang yang patut kuajarkan. Maka aku mŭngŭtahui, bahwa hukumnya itu hidop kŭkal; maka sŭbab itu barang suatu yang aku katakan itu, spŭrti Ayah mŭngatakan kapadaku, dŭmkianlah juga aku katakan.

YOHANES 12:20-50 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Di antara orang ramai yang pergi ke Yerusalem untuk beribadat pada waktu perayaan itu ada sebilangan orang Yunani. Mereka mendapatkan Filipus, yang berasal dari Betsaida di Galilea, lalu berkata, “Tuan, kami ingin bertemu dengan Yesus.” Filipus pun memberitahu Andreas lalu mereka berdua pergi menyampaikan hal itu kepada Yesus. Yesus berkata kepada mereka, “Sudah sampai masanya Anak Manusia dimuliakan. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, jika benih gandum tidak jatuh di tanah lalu mati, benih gandum itu hanyalah benih. Tetapi sekiranya benih itu mati, benih itu akan banyak menghasilkan buah. Orang yang sayangkan hidupnya akan kehilangan hidup itu. Tetapi orang yang tidak sayangkan hidupnya di dunia ini akan mendapat hidup yang kekal. Sesiapa yang ingin mengabdi kepada-Ku mesti mengikut-Ku, dan di mana Aku berada, di situlah juga abdi-Ku. Orang yang mengabdi kepada-Ku akan dihormati oleh Bapa.” “Hati-Ku resah. Apa yang akan Kukatakan? Patutkah Aku berkata, ‘Bapa, jauhkanlah Aku daripada saat penderitaan ini?’ Namun demikian, sebab itulah Aku datang menghadap saat ini. Bapa, tunjukkanlah kemuliaan nama-Mu!” Ketika itu kedengaran suara dari langit berkata, “Aku sudah menunjukkan kemuliaan-Ku dan Aku akan menunjukkannya lagi.” Antara orang ramai yang mendengar suara itu, ada yang berkata, “Guruh.” Tetapi ada pula yang berkata, “Bukan. Malaikat bercakap kepada-Nya.” Yesus berkata kepada mereka, “Suara itu kedengaran bukan demi kepentingan-Ku tetapi demi kepentinganmu. Sudah sampailah masanya dunia ini dihakimi. Kini pemerintah dunia ini akan digulingkan. Apabila Aku diangkat tinggi di atas bumi, Aku akan menarik semua manusia kepada-Ku.” Kata-kata Yesus ini membayangkan cara kematian-Nya kelak. Orang ramai berkata kepada Yesus, “Dalam hukum Taurat ada tersurat bahawa Kristus yang diutus Allah akan hidup selama-lamanya. Bagaimana kamu pula mengatakan bahawa Anak Manusia akan diangkat tinggi di atas bumi? Siapakah Anak Manusia itu?” Yesus menjawab, “Cahaya itu akan menyertaimu sebentar sahaja lagi. Teruslah berjalan selagi ada cahaya itu sebelum kegelapan menyelubungimu. Seseorang yang berjalan dalam kegelapan tidak tahu ke mana arah tujuannya. Selagi ada cahaya itu menyertaimu, percayalah kepadanya, supaya kamu menjadi anak-anak cahaya.” Setelah berkata-kata demikian, Yesus meninggalkan tempat itu lalu bersembunyi daripada mereka. Mereka tetap tidak percaya kepada-Nya walaupun telah banyak melihat mukjizat-Nya. Dengan demikian terlaksanalah apa yang dikatakan oleh Nabi Yesaya: “Ya Tuhan, siapakah yang percaya akan perkhabaran kami? Kepada siapakah tangan Tuhan ditunjukkan?” Itulah maka mereka tidak percaya, sebagaimana kata Yesaya lagi: “Dia telah membutakan mata mereka dan menjadikan mereka keras hati. Kalau tidak demikian, mereka tentu melihat dengan mata, dan mengerti dengan hati, lalu berpaling kepada-Ku dan Aku menyembuhkan mereka.” Yesaya berkata demikian kerana dia telah melihat kemuliaan-Nya serta berkata-kata tentang-Nya. Sebenarnya banyak juga pemerintah yang percaya kepada Yesus. Namun demikian, disebabkan orang Farisi itu, mereka tidak berani mengakui-Nya secara terbuka kerana takut disingkirkan daripada saumaah. Mereka lebih mencintai pujian manusia daripada pujian Allah. Yesus berseru, “Sesiapa yang percaya kepada-Ku, juga percaya kepada Dia yang mengutus-Ku. Sesiapa yang melihat-Ku, juga melihat Dia yang mengutus-Ku. Aku datang ke dunia ini sebagai cahaya, supaya manusia yang percaya kepada-Ku tidak akan terus tinggal dalam kegelapan. Sekiranya seseorang mendengar kata-kata-Ku tetapi tidak mematuhinya, Aku tidak akan menghukumnya. Aku datang bukan untuk menghukum dunia ini tetapi untuk menyelamatkannya. Ada hakim bagi sesiapa yang tidak menerima-Ku dan kata-kata-Ku. Kata-kata yang Kusampaikan itulah yang akan menghakiminya pada hari akhir. Aku bercakap bukan mengikut kehendak-Ku sendiri. Bapa yang mengutus-Ku memerintahkan Aku tentang apa yang harus Kukatakan dan bagaimana menyampaikannya. Aku tahu bahawa perintah-Nya itu membawa hidup kekal. Oleh itu, apa yang Kukatakan, Kusampaikan sebagaimana disuruh oleh Bapa-Ku.”