Yohanes 13:18-38

Yohanes 13:18-38 AVB

Apa yang Kukatakan itu bukanlah tentang kesemua kamu. Aku mengenal setiap orang yang telah Kupilih. Tetapi apa yang tersurat dalam Kitab Suci pastilah terlaksana, ‘Orang yang makan bersama-Ku telah berpaling menentang-Ku.’ Aku memberitahumu hal ini sebelum berlaku supaya setelah terjadi nanti, kamu akan percaya bahawa Akulah Dia. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, sesiapa yang menerima orang yang Kuutus, menerima-Ku. Sesiapa yang menerima-Ku, menerima Dia yang mengutus-Ku.” Setelah melafazkan kata-kata itu, Yesus berasa gundah. Dia pun berkata dengan terus terang, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, seorang daripadamu akan mengkhianati-Ku.” Para murid Yesus berpandangan, tertanya-tanya dalam hati siapa agaknya yang dimaksudkan oleh Yesus. Salah seorang murid yang dikasihi oleh Yesus duduk bertelekan di sisi-Nya. Simon Petrus pun memberi isyarat kepadanya, “Tanyalah, siapa yang dimaksudkan-Nya itu.” Murid itu melayah dekat kepada Yesus lalu bertanya, “Siapakah dia, ya Tuhan?” Yesus menjawab, “Orang yang Kuberi roti yang telah Kucelupkan ke dalam mangkuk, dialah orangnya.” Yesus pun mengambil secebis roti, dicelupkannya lalu diberikannya kepada Yudas anak Simon Iskariot. Sebaik-baik Yudas menerima roti itu, masuklah Iblis ke dalam hatinya. Yesus pun berkata kepadanya, “Apa yang hendak kaulakukan, segeralah lakukan.” Tiada seorang pun yang makan di situ tahu apa maksudnya Yesus berkata demikian kepada Yudas. Beberapa orang murid Yesus menyangka Yesus menyuruh Yudas membeli bekalan yang diperlukan untuk Perayaan Paskah, atau memberi sedekah kepada orang miskin kerana Yudas yang bertanggungjawab atas wang mereka. Yudas menyambut roti yang dihulurkan oleh Yesus lalu segera pergi. Ketika itu hari sudah malam. Setelah Yudas pergi, Yesus berkata, “Sekarang Anak Manusia dimuliakan, dan Allah dimuliakan melalui-Nya. Jika Allah dimuliakan melalui Dia, Allah pun akan memuliakan Dia dalam diri-Nya segera. Anak-anak-Ku, Aku tidak akan lama lagi bersamamu. Kamu akan mencari-Ku, tetapi apa yang telah Kukatakan kepada orang Yahudi kini Kukatakan kepadamu juga, ‘Ke mana Aku pergi, kamu tidak dapat ikut.’ Inilah perintah baru yang Kuberikan kepadamu: Kasihilah satu sama lain. Sebagaimana Aku telah mengasihimu, kasihilah sesama sendiri. Daripada sikapmu yang saling mengasihi itu, semua orang akan tahu bahawa kamu murid-Ku.” Simon Petrus bertanya kepada Yesus, “Ke mana Tuhan hendak pergi?” Yesus menjawab, “Ke mana Aku pergi, kamu tidak dapat mengikut-Ku sekarang, tetapi satu hari nanti kamu akan mengikut-Ku ke situ.” Petrus bertanya lagi, “Tuhan, mengapa aku tidak dapat mengikut Engkau sekarang? Aku rela mati untuk-Mu, Tuhan!” Yesus menjawab, “Benarkah kamu rela mati untuk-Ku? Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, sebelum ayam berkokok, kamu akan menyangkal Aku tiga kali.”