YOHANES 13:18-38
YOHANES 13:18-38 Alkitab Berita Baik (BM)
Apa yang Aku katakan itu bukanlah tentang kamu semua. Aku mengenal siapa-siapa yang sudah Aku pilih. Tetapi apa yang tertulis di dalam Alkitab harus berlaku, ‘Orang yang makan dengan Aku akan melawan Aku.’ Aku memberitahu kamu perkara ini sekarang, sebelum semuanya berlaku. Apabila perkara itu berlaku kelak, kamu akan percaya bahawa Akulah Dia yang menyebut diri-Nya AKU. Sungguh benar kata-kata-Ku ini: Sesiapa yang menyambut orang yang Aku utus, menyambut Aku; sesiapa yang menyambut Aku, juga menyambut Dia yang mengutus Aku.” Setelah Yesus berkata demikian, hati-Nya gelisah. Lalu Dia berkata dengan terus terang, “Sungguh benar kata-kata-Ku ini: Salah seorang daripada kamu akan mengkhianati Aku.” Pengikut-pengikut Yesus saling memandang, kerana mereka tidak mengetahui orang yang dimaksudkan oleh-Nya. Pengikut yang dikasihi oleh Yesus duduk di sebelah Yesus. Oleh itu Simon Petrus memberikan isyarat kepadanya, “Tanyalah Guru, siapa yang dimaksudkan-Nya itu.” Pengikut itu mendekati Yesus lalu bertanya, “Siapakah dia, ya Tuhan?” Yesus menjawab, “Orang yang Aku berikan roti yang Aku celup ke dalam mangkuk, dialah orang itu.” Oleh itu Yesus mengambil sedikit roti, mencelupnya ke dalam mangkuk, lalu memberikan roti itu kepada Yudas anak Simon Iskariot. Sebaik sahaja Yudas menerima roti itu, Iblis masuk ke dalam hatinya. Lalu Yesus berkata kepadanya, “Segeralah lakukan apa yang mahu kamu lakukan!” Tidak seorang pun yang makan di situ memahami kata-kata Yesus kepada Yudas. Kerana Yudas memegang beg wang mereka, beberapa orang pengikut menyangka Yesus menyuruh dia membeli bekalan yang diperlukan bagi perayaan itu, atau memberikan sedekah kepada orang miskin. Yudas menerima roti itu, lalu segera keluar. Hari sudah malam. Setelah Yudas meninggalkan tempat itu, Yesus berkata, “Sekarang Anak Manusia dimuliakan, dan Allah pun dimuliakan melalui Dia. Jika Allah dimuliakan melalui Anak Manusia, Dia pun dimuliakan oleh Allah sendiri, dan Allah akan segera memuliakan Dia. Anak-anak-Ku, Aku tidak akan tinggal lama lagi dengan kamu. Kamu akan mencari Aku, tetapi seperti yang sudah Aku katakan kepada para penguasa Yahudi, Aku katakan juga kepada kamu, ‘Kamu tidak dapat pergi ke tempat Aku pergi.’ Sekarang Aku memberikan perintah baru kepada kamu: Hendaklah kamu saling mengasihi. Sebagaimana Aku sudah mengasihi kamu, hendaklah kamu saling mengasihi. Jika kamu saling mengasihi, semua orang akan tahu bahawa kamu pengikut-pengikut-Ku.” Simon Petrus bertanya kepada Yesus, “Ke manakah Tuhan mahu pergi?” Yesus menjawab, “Ke tempat Aku pergi, engkau tidak dapat ikut sekarang, tetapi engkau akan mengikut Aku kelak.” Petrus bertanya lagi, “Tuhan, mengapa aku tidak dapat mengikut Tuhan sekarang? Aku sanggup mati untuk Tuhan!” Yesus menjawab, “Betulkah engkau sanggup mati untuk-Ku? Ketahuilah, sebelum ayam berkokok, tiga kali engkau akan berkata engkau tidak mengenal Aku!”
YOHANES 13:18-38 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Maka bukannya aku bŭrkata derihal kamu sŭmua, kŭrna aku tahu siapa yang tŭlah kupileh; tŭtapi supaya pŭrkataan kitab itu digŭnapi, adapun orang yang makan roti sŭrtaku, tŭlah mŭngangkat tŭmitnya mŭlawan aku. Adapun skarang ini aku mŭngatakan padamu itu sŭbŭlom iya jadi, supaya apabila jadinya kŭlak, kamu bulih pŭrchaya, bahwasanya akulah dia itu. Bahwa sŭsungguh sungguhnya aku bŭrkata padamu, orang yang mŭnyambut barang siapa surohanku, sŭrasa iya mŭnyambut aku, dan orang yang mŭnyambut aku, sŭrasa iya mŭnyambut akan dia yang mŭnyurohkan aku. Bŭrmula sŭtlah sudah Isa bŭrkata dŭmkian itu, maka bŭrduka chitalah hatinya, sambil iya bŭrsaksi, lalu bŭrkata, Sŭsungguh sungguhnya aku bŭrkata kapada kamu, bahwa sa’orang deri antara kamu akan mŭnyŭrahkan aku kŭtangan musohku. Maka tŭtkala itu murid muridnya itu pun bŭrpandang pandanganlah sa’orang akan sa’orang, sŭrta dŭngan shaknya akan siapa juga garangan dikatakannya itu. Maka adalah sa’orang deripada murid muridnya yang dikasihi ulih Isa, bŭrsandar didadanya. Maka Simon Petros pun mŭngisharatkan akan dia itu, supaya ditanyakannya, siapa juga orang yang dikatakan Isa itu. Maka orang yang bŭrsandar pada dada Isa itu pun bŭrkata, Ya Tuhan, siapakah dia itu? Maka sahut Isa, Adapun kapada barang siapa yang kubri sŭsuap yang kuchŭlopkan dikuah, maka iya itulah dia. Maka sŭtlah sudah dichŭlopkan itu, maka dibrikannya kapada Yudas Iskariot, anak Simon itu. Arkian maka sŭtlah ditrimanya suap itu, maka masoklah shietan dalam hatinya, maka tŭtkala itu kata Isa kapadanya, Barang yang angkau handak buat itu, buatlah lŭkas. Maka sa’orang pun deri pada marika itu yang dudok pada hidangan itu tiada tahu apakah sŭbabnya dikatakannya itu padanya. Maka disangka ulih sŭtŭngah marika itu, sŭbab Yudas ada mŭmŭgang pundi pundi, barang kali disuroh Isa bŭli barang barang yang kita handak pakie pada tŭtkala hari raya ini, atau disurohnya mŭmbri apa apa pada orang orang mŭskin. Adapun sŭtlah sudah diambil ulih Yudas sŭsuap itu, maka lantas kluarlah iya, maka pada tŭtkala itu hari malam adanya. ¶ Bŭrmula apabila Yudas sudah kluar, maka kata Isa, Bahwa skarang Anak manusia dipŭrmuliakan, dan Allah pun dipŭrmuliakan dalamnya. Dan jikalau Allah dimuliakan dalamnya, maka Allah kŭlak akan muliakan dia pula ulih sŭndirinya, maka sŭbŭntar juga dimuliakan Allah akan dia. Hie anak anak yang muda muda, bahwa skutika sahja lagi aku ada sŭrta kamu, maka kamu akan mŭnchari aku, spŭrti yang tŭlah kukatakan kapada orang Yahudi, Bahwa barang kŭmana aku pŭrgi, maka kamu tiada bulih sampie kŭsana; maka dŭmkianlah juga aku bŭrkata padamu skarang ini. Bahwa aku mŭmbri padamu hukum bahru, supaya kamu mŭngasihi sa’orang akan sa’orang, spŭrti aku tŭlah mŭngasihi kamu, dŭmkianlah handaknya kamu pun mŭngasihi sa’orang akan sa’orang. Maka dŭngan dŭmkianlah bulih dikŭtahui ulih sagala manusia, bahwa kamulah murid muridku, jikalau kamu mŭngasihi sa’orang akan sa’orang. ¶ Maka kata Simon Petros padanya, Tuhan, kŭmanakah angkau handak pŭrgi? Maka sahut Isa padanya, Adapun ditŭmpat aku pŭrgi tiada dapat angkau ikot aku pada masa ini, tŭtapi kumdian kŭlak angkau mŭngikot aku. Maka jawab Petros akan dia, Tuhan, apakah sŭbab aku tiada dapat mŭngikot angkau skarang ini? bahwa aku handak mŭnyŭrahkan jiwaku sŭbab angkau. Maka sahut Isa padanya, Mahukah angkau sŭrahkan jiwamu sŭbab aku? bahwa sŭsungguh sungguhnya aku bŭrkata padamu, ayam tiada akan bŭrkokok, sŭbŭlom angkau mŭnyangkal aku tiga kali.
YOHANES 13:18-38 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Apa yang Kukatakan itu bukanlah tentang kesemua kamu. Aku mengenal setiap orang yang telah Kupilih. Tetapi apa yang tersurat dalam Kitab Suci pastilah terlaksana, ‘Orang yang makan bersama-Ku telah berpaling menentang-Ku.’ Aku memberitahumu hal ini sebelum berlaku supaya setelah terjadi nanti, kamu akan percaya bahawa Akulah Dia. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, sesiapa yang menerima orang yang Kuutus, menerima-Ku. Sesiapa yang menerima-Ku, menerima Dia yang mengutus-Ku.” Setelah melafazkan kata-kata itu, Yesus berasa gundah. Dia pun berkata dengan terus terang, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, seorang daripadamu akan mengkhianati-Ku.” Para murid Yesus berpandangan, tertanya-tanya dalam hati siapa agaknya yang dimaksudkan oleh Yesus. Salah seorang murid yang dikasihi oleh Yesus duduk bertelekan di sisi-Nya. Simon Petrus pun memberi isyarat kepadanya, “Tanyalah, siapa yang dimaksudkan-Nya itu.” Murid itu melayah dekat kepada Yesus lalu bertanya, “Siapakah dia, ya Tuhan?” Yesus menjawab, “Orang yang Kuberi roti yang telah Kucelupkan ke dalam mangkuk, dialah orangnya.” Yesus pun mengambil secebis roti, dicelupkannya lalu diberikannya kepada Yudas anak Simon Iskariot. Sebaik-baik Yudas menerima roti itu, masuklah Iblis ke dalam hatinya. Yesus pun berkata kepadanya, “Apa yang hendak kaulakukan, segeralah lakukan.” Tiada seorang pun yang makan di situ tahu apa maksudnya Yesus berkata demikian kepada Yudas. Beberapa orang murid Yesus menyangka Yesus menyuruh Yudas membeli bekalan yang diperlukan untuk Perayaan Paskah, atau memberi sedekah kepada orang miskin kerana Yudas yang bertanggungjawab atas wang mereka. Yudas menyambut roti yang dihulurkan oleh Yesus lalu segera pergi. Ketika itu hari sudah malam. Setelah Yudas pergi, Yesus berkata, “Sekarang Anak Manusia dimuliakan, dan Allah dimuliakan melalui-Nya. Jika Allah dimuliakan melalui Dia, Allah pun akan memuliakan Dia dalam diri-Nya segera. Anak-anak-Ku, Aku tidak akan lama lagi bersamamu. Kamu akan mencari-Ku, tetapi apa yang telah Kukatakan kepada orang Yahudi kini Kukatakan kepadamu juga, ‘Ke mana Aku pergi, kamu tidak dapat ikut.’ Inilah perintah baru yang Kuberikan kepadamu: Kasihilah satu sama lain. Sebagaimana Aku telah mengasihimu, kasihilah sesama sendiri. Daripada sikapmu yang saling mengasihi itu, semua orang akan tahu bahawa kamu murid-Ku.” Simon Petrus bertanya kepada Yesus, “Ke mana Tuhan hendak pergi?” Yesus menjawab, “Ke mana Aku pergi, kamu tidak dapat mengikut-Ku sekarang, tetapi satu hari nanti kamu akan mengikut-Ku ke situ.” Petrus bertanya lagi, “Tuhan, mengapa aku tidak dapat mengikut Engkau sekarang? Aku rela mati untuk-Mu, Tuhan!” Yesus menjawab, “Benarkah kamu rela mati untuk-Ku? Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, sebelum ayam berkokok, kamu akan menyangkal Aku tiga kali.”