Yohanes 15:1-17

Yohanes 15:1-17 AVB

“Aku ini pokok anggur yang benar, dan Bapa-Ku peladang anggur. Dia mengerat setiap ranting-Ku yang tidak berbuah, dan mencantas setiap ranting-Ku yang berbuah supaya berbuah lebih lebat lagi. Kamu sudah dibersihkan dengan ajaran yang Kusampaikan kepadamu. Tetaplah di dalam-Ku seperti Aku di dalammu. Ranting tidak dapat berbuah jika terpisah dari pokok anggur. Demikian jugalah kamu: Kamu dapat berbuah hanya jika kamu tetap di dalam-Ku. Aku pokok anggur dan kamu ranting-rantingnya. Jika kamu tetap di dalam-Ku dan Aku di dalammu, kamu akan berbuah lebat. Tanpa-Ku, kamu tidak dapat menghasilkan apa-apa. Sesiapa yang tidak tetap di dalam-Ku adalah seperti ranting yang dikerat lalu dibiarkan kering, kemudian dikumpulkan, dan dibuang ke dalam api lalu dibakar. Sekiranya kamu tetap di dalam-Ku, dan kata-kata-Ku tetap di dalammu, mintalah apa sahaja yang kamu kehendaki, permohonan itu akan dikabulkan. Kemuliaan Bapa ternyata apabila kamu berbuah lebat. Itulah tanda kamu benar-benar murid-Ku. Sebagaimana Bapa mengasihi-Ku, demikianlah juga Aku mengasihimu. Tetaplah dalam kasih-Ku. Jika kamu menurut perintah-Ku, kamu akan tetap dalam kasih-Ku; sebagaimana Aku menurut perintah Bapa dan tetap dalam kasih-Nya. Aku berkata demikian kepadamu supaya kebahagiaan-Ku ada dalam dirimu dan sempurnalah kebahagiaanmu. Inilah perintah-Ku: Kasihilah sesama sendiri, seperti Aku mengasihimu. Tiada kasih yang lebih besar daripada kasih seorang yang mengorbankan nyawanya untuk sahabatnya. Kamu sahabat-sahabat-Ku jika kamu melaksanakan perintah yang telah Kuberikan. Aku tidak lagi memanggilmu hamba, kerana hamba tidak tahu apa yang dilakukan oleh tuannya. Aku memanggilmu sahabat-sahabat-Ku, kerana segala perkara yang Kudengar daripada Bapa-Ku telah Kuberitahu kepadamu. Bukan kamu yang memilih-Ku tetapi Aku yang memilihmu dan menyuruhmu berbuah lebat, dan buahmu itu haruslah kekal, maka apa sahaja yang kamu minta dalam nama-Ku, Bapa akan mengurniakannya kepadamu. Inilah perintah-Ku kepadamu: Kasihilah sesama sendiri.”