YOHANES 15:1-17
YOHANES 15:1-17 Alkitab Berita Baik (BM)
Yesus berkata lagi, “Aku pokok anggur yang sejati, dan Bapa-Ku peladang anggur. Setiap carang-Ku yang tidak berbuah dikerat oleh-Nya, dan setiap carang yang berbuah dipangkas oleh-Nya supaya bersih dan berbuah lebih lebat. Kamu sudah dibersihkan oleh ajaran yang Aku ajarkan kepada kamu. Tetaplah bersatu dengan Aku dan Aku pun akan tetap bersatu dengan kamu. Carang sendiri tidak dapat berbuah, kecuali tetap pada pokoknya. Demikian juga kamu; kamu hanya dapat berbuah, jika kamu tetap bersatu dengan Aku. Akulah pokok anggur dan kamu carang-carangnya. Sesiapa yang tetap bersatu dengan Aku, dan Aku dengan dia, akan berbuah lebat; kerana tanpa Aku, kamu tidak dapat berbuat apa-apa. Sesiapa yang tidak tetap bersatu dengan Aku, akan dikerat seperti carang lalu menjadi kering. Carang-carang seperti itu akan dikumpulkan lalu dibuang ke dalam api dan dibakar. Jika kamu tetap bersatu dengan Aku, dan ajaran-Ku kamu simpan di dalam hati, mintalah apa sahaja yang kamu kehendaki daripada Bapa, dan permintaan kamu itu akan dipenuhi. Kemuliaan Bapa-Ku dinyatakan apabila kamu berbuah lebat, dan dengan demikian kamu betul-betul pengikut-Ku. Aku mengasihi kamu seperti Bapa mengasihi Aku. Hendaklah kamu tetap hidup sebagai orang yang Aku kasihi. Jika kamu mentaati perintah-Ku, Aku akan tetap mengasihi kamu, seperti Bapa tetap mengasihi Aku kerana Aku mentaati perintah-Nya. Semua ini Aku katakan kepada kamu supaya kegembiraan-Ku ada di dalam hati kamu dan kegembiraan kamu menjadi sempurna. Inilah perintah-Ku: Hendaklah kamu saling mengasihi, seperti Aku mengasihi kamu. Jika seseorang mati bagi sahabat-sahabatnya, hal itu menunjukkan bahawa dia orang yang paling mengasihi mereka. Kamu sahabat-sahabat-Ku, jika kamu melakukan apa yang Aku perintahkan. Aku tidak lagi memanggil kamu hamba, kerana hamba tidak mengetahui apa yang sedang dilakukan oleh tuannya. Aku memanggil kamu sahabat-sahabat-Ku, kerana Aku sudah memberitahu kamu segala yang telah Aku dengar daripada Bapa-Ku. Kamu tidak memilih Aku. Akulah yang memilih kamu dan menugaskan kamu supaya pergi dan berbuah lebat, buah yang akan tahan. Dengan demikian Bapa akan mengabulkan apa sahaja yang kamu minta daripada-Nya demi nama-Ku. Inilah perintah-Ku kepada kamu: Hendaklah kamu saling mengasihi.”
YOHANES 15:1-17 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
ADAPUN aku inilah pohon anggor yang bŭtol, dan Ayahku itu tukang kŭbon anggor itu. Maka barang sŭsuatu ranting yang dalam aku ini yang tiada bŭrbuah, maka dikŭratkannya; dan barang sŭsuatu yang bŭrbuah, maka disuchikannya akan dia, supaya lŭbat buahnya. Bahwa skarang kamu tŭlah suchilah dŭngan pŭrkataan yang tŭlah aku katakan padamu. Maka handaklah kamu diam dalam aku, dan aku pun diam dalam kamu; maka spŭrti ranting tiada bulih bŭrbuah deripada sŭndirinya jikalau tiada bŭrsuatu pada pohon anggor, maka dŭmkianlah juga kamu pun tiada bulih jikalau tiada diam dŭngan aku. Maka aku inilah pohon anggor, dan kamu rantingnya itu; maka orang yang bŭrsuatu dŭngan aku, dan aku pun dŭngan dia, maka iyalah akan mŭmbri buah banyak, kŭrna dŭngan tiada aku, tiada kamu bulih bŭrbuat barang suatu apa. Jikalau barang sa’orang tiada bŭrsuatu dŭngan aku, maka iya akan jadi spŭrti ranting yang tŭrbuang, lagi kring, maka iya itu dikumpolkan orang dibuangkan kŭdalam api, maka habislah kŭlak iya hangus. Adapun jikalau kamu diam dalam aku, dan pŭrkataanku pun tinggal didalam kamu, maka barang kahandakmu yang kamu pinta itu akan dibrikan padamu. Shahadan dŭngan dŭmkian itu juga Ayahku dipŭrmuliakan, jikalau kamu mŭngluarkan buah banyak, maka dŭngan dŭmkianlah juga kamu jadi murid muridku. Spŭrti Ayahku tŭlah mŭngasihi aku, dŭmkian lagi aku tŭlah mŭngasihi kamu, maka handaklah kamu tŭtap dalam pŭngasihanku. Maka jikalau kamu mŭmliharakan hukumku, maka kamu pun akan diam didalam pŭngasihanku, spŭrti aku juga tŭlah mŭmliharakan hukum Ayahku, dan diam didalam pŭngasihannya. Adapun sagala pŭrkara ini aku katakan padamu, supaya kasukaanku tŭtap didalam kamu, dan lagi supaya kasukaanmu pun bŭrlempahlah adanya. Maka inilah hukumku kapadamu, supaya kamu bŭrkasih kasihan sa’orang dŭngan sa’orang spŭrti aku tŭlah mŭngasihi kamu. Kapada sa’orang jua pun tiada pŭngasihan yang tŭrlebih deripada ini, iya itu jikalau sa’orang mŭnyŭrahkan jiwanya akan ganti sahabat sahabatnya. Bahwa kamu jadilah sahabat sahabatku, jikalau kamu bŭrbuat barang hukumanku. Maka tiadalah aku namai akan kamu hamba lagi, kŭrna hamba itu tiada tahu apa yang dipŭrbuat ulih tuannya; tŭtapi aku tŭlah mŭnamai kamu skalian sahabat, kŭrna sagala pŭrkara yang kudŭngar deri pada Ayahku itu tŭlah aku sampiekan kapadamu. Bahwa bukannya kamu yang mŭmileh aku, mŭlainkan aku yang mŭmileh kamu, dan mŭnŭntukan kamu, supaya kamu pun pŭrgi mŭngluarkan banyak buah, dan supaya buahmu kŭkallah adanya, dan supaya barang apa yang kamu pinta dŭngan namaku, maka Ayah akan mŭmbri kapadamu. Maka inilah hukumku kapadamu, supaya kamu bŭrkasih kasihan sa’orang dŭngan sa’orang.
YOHANES 15:1-17 Alkitab Versi Borneo (AVB)
“Aku ini pokok anggur yang benar, dan Bapa-Ku peladang anggur. Dia mengerat setiap ranting-Ku yang tidak berbuah, dan mencantas setiap ranting-Ku yang berbuah supaya berbuah lebih lebat lagi. Kamu sudah dibersihkan dengan ajaran yang Kusampaikan kepadamu. Tetaplah di dalam-Ku seperti Aku di dalammu. Ranting tidak dapat berbuah jika terpisah dari pokok anggur. Demikian jugalah kamu: Kamu dapat berbuah hanya jika kamu tetap di dalam-Ku. Aku pokok anggur dan kamu ranting-rantingnya. Jika kamu tetap di dalam-Ku dan Aku di dalammu, kamu akan berbuah lebat. Tanpa-Ku, kamu tidak dapat menghasilkan apa-apa. Sesiapa yang tidak tetap di dalam-Ku adalah seperti ranting yang dikerat lalu dibiarkan kering, kemudian dikumpulkan, dan dibuang ke dalam api lalu dibakar. Sekiranya kamu tetap di dalam-Ku, dan kata-kata-Ku tetap di dalammu, mintalah apa sahaja yang kamu kehendaki, permohonan itu akan dikabulkan. Kemuliaan Bapa ternyata apabila kamu berbuah lebat. Itulah tanda kamu benar-benar murid-Ku. Sebagaimana Bapa mengasihi-Ku, demikianlah juga Aku mengasihimu. Tetaplah dalam kasih-Ku. Jika kamu menurut perintah-Ku, kamu akan tetap dalam kasih-Ku; sebagaimana Aku menurut perintah Bapa dan tetap dalam kasih-Nya. Aku berkata demikian kepadamu supaya kebahagiaan-Ku ada dalam dirimu dan sempurnalah kebahagiaanmu. Inilah perintah-Ku: Kasihilah sesama sendiri, seperti Aku mengasihimu. Tiada kasih yang lebih besar daripada kasih seorang yang mengorbankan nyawanya untuk sahabatnya. Kamu sahabat-sahabat-Ku jika kamu melaksanakan perintah yang telah Kuberikan. Aku tidak lagi memanggilmu hamba, kerana hamba tidak tahu apa yang dilakukan oleh tuannya. Aku memanggilmu sahabat-sahabat-Ku, kerana segala perkara yang Kudengar daripada Bapa-Ku telah Kuberitahu kepadamu. Bukan kamu yang memilih-Ku tetapi Aku yang memilihmu dan menyuruhmu berbuah lebat, dan buahmu itu haruslah kekal, maka apa sahaja yang kamu minta dalam nama-Ku, Bapa akan mengurniakannya kepadamu. Inilah perintah-Ku kepadamu: Kasihilah sesama sendiri.”