Yohanes 20
20
Kebangkitan Yesus Kristus
1Pada awal pagi hari pertama minggu itu, ketika masih gelap lagi, Maria Magdalena pergi ke makam itu. Dia mendapati batu penutup telah digulingkan dari lubang makam itu. 2Dia pun berlari mencari Simon Petrus dan murid lain yang dikasihi oleh Yesus lalu berkata, “Jenazah Tuhan telah diambil dari makam, entah ke mana dialihkan.”
3Petrus dan murid lain itu pun pergi ke makam. 4Kedua-duanya berlari, tetapi murid lain itu berlari mendahului Petrus dan tiba di makam itu lebih dahulu. 5Dia menjenguk ke dalam dan melihat kain linen di situ tetapi tidak masuk ke makam itu. 6Apabila Simon Petrus yang menyusul murid lain itu tiba, dia terus masuk ke dalam makam itu dan nampak kain linen terletak di situ. 7Dia juga melihat kain kafan linen yang diikatkan pada kepala Yesus, terlipat berasingan. 8Kemudian, murid lain yang sampai dahulu di kubur itu pun masuk. Dia melihat segala-galanya lalu percaya. 9Setakat itu mereka belum memahami apa yang tersurat dalam Kitab Suci, iaitu Dia harus bangkit daripada kematian. 10Selepas itu, murid-murid Yesus itu pun pulang ke rumah mereka.
Yesus menampakkan diri kepada Maria
11Tetapi Maria berdiri di hadapan makam itu sambil menangis. Kemudian sambil menangis dia menjenguk ke dalam. 12Dia melihat dua malaikat berpakaian putih duduk di tempat jenazah Yesus dibaringkan dahulu, satu malaikat di sebelah kepala dan satu di sebelah kaki. 13Malaikat-malaikat itu bertanya kepada Maria, “Puan, mengapa menangis?”
Maria menyahut, “Jenazah Tuhanku telah diambil, entah ke mana dialihkan!”
14Kemudian Maria menoleh lalu melihat Yesus berdiri di situ, tetapi Maria tidak mengenal-Nya. 15Yesus berkata kepada Maria, “Puan, mengapa menangis? Siapakah yang kamu cari?”
Pada sangkaan Maria, Dia tukang kebun di taman itu. Dengan demikian Maria berkata, “Tuan, jika kamu telah mengalihkan jenazah Yesus, beritahulah aku di mana kamu letakkan-Nya, supaya dapat kuambil jenazah-Nya.”
16Yesus berkata kepadanya, “Maria!”
Maria berpaling kepada Yesus lalu berseru dalam bahasa Ibrani, “Rabboni!” (ertinya “Guru”).
17Yesus berkata kepadanya, “Jangan berpaut pada-Ku, kerana Aku belum lagi kembali kepada Bapa. Pergilah kepada murid-murid-Ku, katakan kepada mereka bahawa sekarang Aku akan kembali kepada Bapa-Ku dan Bapamu, Allah-Ku dan Allahmu.”
18Maria Magdalena pun pergi mendapatkan para murid Yesus lalu memberitahu, “Aku telah melihat Tuhan.” Dan Dia telah menuturkan kata-kata itu kepadanya.
Yesus menampakkan diri kepada murid-murid-Nya
19Pada hari minggu itu, setelah petang, para murid Yesus berhimpun di sebuah rumah dengan pintu terkunci kerana takut akan orang Yahudi. Yesus berdiri di tengah-tengah mereka lalu berkata, “Damai sejahtera kepada kamu!” 20Selepas itu, Dia menunjukkan tangan dan rusuk-Nya kepada mereka, maka murid-murid itu pun bersukacita melihat Tuhan. 21Yesus berkata lagi kepada mereka, “Damai sejahtera kepada kamu! Sebagaimana Bapa mengutus-Ku, begitulah Aku mengutusmu.” 22Kemudian Dia menghembuskan nafas-Nya ke atas mereka lalu berkata, “Terimalah Roh Kudus. 23#Mat 16:19; 18:18.Sesiapa yang kamu ampunkan dosanya, dosanya diampunkan. Sesiapa yang tidak kamu ampunkan dosanya, dosanya tidak akan diampunkan.”
Yesus menampakkan diri kepada Tomas
24Tomas yang digelar Didimus, seorang daripada murid Yesus yang dua belas itu, tidak ada bersama mereka apabila Yesus datang. 25Oleh itu, murid-murid lain memberitahu Tomas, “Kami telah melihat Tuhan!”
Tetapi Tomas berkata, “Selagi aku tidak melihat sendiri bekas paku di tangan-Nya, dan memasukkan jariku ke dalam bekas luka itu, juga memasukkan tanganku ke dalam rusuk-Nya, aku tidak mahu percaya.”
26Seminggu selepas itu, para murid Yesus termasuk Tomas berhimpun lagi di situ. Sungguhpun pintu terkunci seperti dahulu, Yesus muncul dalam kalangan mereka lalu berkata, “Damai sejahtera kepada kamu!” 27Setelah itu, Dia berkata kepada Tomas, “Hulurkan jarimu di sini, dan lihatlah tangan-Ku. Hulurkan tanganmu dan masukkannya ke dalam rusuk-Ku. Jangan ragu-ragu lagi. Percayalah.”
28Tomas pun berkata kepada Yesus, “Ya Tuhanku! Ya Allahku!”
29Yesus berkata kepadanya, “Tomas, oleh sebab kamu telah melihat-Ku maka kamu percaya. Diberkatilah orang yang percaya walaupun tidak melihat-Ku!”
Tujuan kitab ini ditulis
30Yesus telah melakukan banyak lagi mukjizat di hadapan murid-murid-Nya, tetapi tidak ditulis dalam kitab ini. 31Tetapi segala yang telah ditulis di sini bertujuan supaya kamu percaya bahawa Yesus ialah Kristus, Anak Allah, dan kerana kamu percaya kepada-Nya, kamu akan memperoleh hidup dalam nama-Nya.
Terpilih Sekarang Ini:
Yohanes 20: AVB
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Alkitab Versi Borneo
Hak cipta © 2015 Borneo Sabda Limited