Imamat 26

26
Gesaan untuk ketaatan
1 # Im 19:4. Kel 20:4; Ul 5:8; 16:21,22; 27:1. “Jangan buat apa-apa berhala bagimu dan jangan juga kamu dirikan patung ukiran atau tiang berhala bagimu. Jangan tempatkan batu berukir di mana-mana pun di negerimu untuk kamu sujud menyembahnya kerana Akulah TUHAN, Allahmu. 2Peliharalah hari-hari Sabat-Ku dan hormatilah tempat suci-Ku. Akulah TUHAN.
Kelebihan ketaatan
3 # Ul 11:13-15; 28:1-14. Jika kamu hidup menurut segala ketetapan-Ku, mentaati segala perintah-Ku, dan mengamalkan kesemuanya, 4maka Aku akan menurunkan hujan bagimu pada musimnya sehingga tanah memberikan hasil dan pohon-pohon di ladang mengeluarkan buah. 5Musim mengirik tuaian bijirin akan berlanjutan sampai musim memetik buah anggur, dan musim memetik buah anggur akan berlanjutan sampai musim menyemai. Kamu akan memakan rezekimu sampai kenyang dan tinggal di negerimu dengan aman.
6Aku akan mengurniakan kedamaian di negerimu sehingga kamu akan berbaring tanpa berasa takut akan sesiapa pun. Aku akan menyingkirkan binatang buas dari negerimu dan ancaman pedang tidak akan melanda negerimu. 7Kamu akan mengejar musuhmu dan mereka akan tewas di hadapanmu oleh pedangmu. 8Lima orang daripada kamu akan mengejar seratus orang, dan seratus orang daripada kamu akan mengejar sepuluh ribu orang. Musuhmu akan tewas di hadapanmu oleh pedangmu. 9Aku akan mempedulikan kamu dan membuat kamu beranak cucu serta bertambah ramai. Aku akan meneguhkan perjanjian-Ku dengan kamu. 10Kamu akan terus menikmati dan memakan sepuas-puasnya daripada hasil tuaian tahun sebelumnya, dan kamu akan mengeluarkan baki daripada hasil tuaian yang lama itu untuk menyimpan hasil tuaian yang baru. 11Aku akan menempatkan Khemah Suci-Ku di tengah-tengah kamu dan Aku tidak akan menolak kamu. 12#2Kor 6:16.Aku akan hadir menyertai kamu dan menjadi Allahmu, kamu pun akan menjadi umat-Ku. 13Akulah TUHAN, Allahmu, yang membawa kamu keluar dari Tanah Mesir, supaya kamu tidak lagi menjadi hamba mereka. Aku telah mematahkan palang kuk di tengkuk kamu dan membuat kamu berjalan dengan tegak.
Pelbagai akibat daripada ketidaktaatan
14 # Ul 28:15-68. Akan tetapi, jika kamu tidak mahu mendengar gesaan-Ku dan tidak mahu mematuhi semua perintah ini, 15jika kamu menolak ketetapan-ketetapan-Ku dan jiwamu membenci peraturan-peraturan-Ku sehingga kamu tidak mahu mematuhi segala perintah-Ku serta mengingkari perjanjian-Ku, 16maka inilah yang akan Kulakukan terhadapmu. Aku akan mendatangkan rasa ngeri kepadamu, juga batuk kering dan demam yang memalapkan pandanganmu serta menghilangkan kekuatanmu. Sia-sia sahaja kamu menyemai benih, kerana hasilnya akan dimakan oleh para musuhmu. 17Aku akan memusuhi kamu dan kamu akan tumpas kepada para musuhmu. Mereka yang membenci kamu akan menguasai kamu, dan kamu akan melarikan diri walhal tiada sesiapa yang mengejar kamu.
18Jika sampai sedemikian pun kamu tetap tidak mendengar segala perintah-Ku, maka Aku akan menghukum kamu tujuh kali lipat ganda kerana dosa-dosamu. 19Aku akan menghapuskan rasa bangga kamu terhadap kuasamu sendiri. Aku akan menjadikan langit di atasmu seperti besi, dan tanahmu seperti gangsa. 20Kekuatanmu akan habis dengan sia-sia kerana tanahmu tidak akan mengeluarkan hasil, dan pohon-pohon di tanah itu tidak akan mengeluarkan buah.
21Ya, jika kamu terus hidup dengan melawan Aku dan tidak mengendahkan Aku, maka Aku akan menambahkan malapetaka yang menimpamu tujuh kali lipat ganda selaras dengan dosa-dosamu. 22Ke tengah-tengah kamu akan Aku lepaskan binatang liar yang akan membuat kamu kehilangan anak-anakmu, memusnahkan ternakanmu dan mengurangkan bilanganmu sehingga jalan-jalanmu menjadi sunyi sepi.
23Jika dalam keadaan demikian pun kamu enggan menerima pengajaran-Ku dan masih terus hidup melawan Aku, 24maka Aku pun akan menentang kamu. Ya, Aku akan memukul kamu tujuh kali lipat ganda atas dosamu. 25Aku akan mendatangkan pedang atasmu, sebagai balasan kerana kamu melanggar perjanjian. Ketika kamu berkumpul di kota-kotamu, Aku akan melepaskan wabak penyakit ke tengah-tengahmu, dan kamu akan diserahkan ke dalam tangan musuh. 26Pada waktu Aku tidak lagi menyediakan makanan bagimu, sepuluh orang perempuan akan membakar roti di dalam satu ketuhar lalu mengagih-agihkan rotimu mengikut timbangan kepadamu dan kamu akan makan, tetapi tidak akan kenyang.
27Jika dalam keadaan demikian pun kamu masih enggan mengendahkan Aku tetapi terus hidup melawan Aku, 28maka dengan kemurkaan, Aku juga akan menentang kamu. Aku sendiri akan menghukum kamu tujuh kali lipat ganda atas dosa-dosamu. 29Kamu akan memakan daging anak-anakmu sendiri, baik anak lelaki mahupun anak perempuan. 30Aku akan memusnahkan bukit-bukit pemujaanmu dan meranapkan tugu-tugu mazbah dupa serta mencampakkan bangkaimu ke atas bangkai segala berhala kamu. Aku teramat membencimu. 31Kota-kota rayamu akan Kujadikan reruntuhan dan tempat-tempat sucimu akan Kubinasakan. Aku tidak mahu lagi menghidu keharuman persembahanmu. 32Aku akan menjadikan bumimu tandus hinggakan para musuhmu yang menghuni di dalamnya akan kehairanan kerananya. 33Akan Kuserakkan kamu antara kalangan bangsa itu dan akan Aku menghunuskan pedang mengejar kamu. Negerimu akan menjadi sunyi sepi dan kota-kotamu akan menjadi reruntuhan. 34Pada waktu itulah tanah itu akan mendapatkan hari Sabatnya dan menikmati tahun-tahun Sabatnya, iaitu selama kamu berada di negeri para musuhmu dan selama tanah itu tandus. 35Ketika dalam ketandusan itulah tanah itu akan mendapatkan istirahatnya yang tidak didapatkannya pada tahun-tahun Sabat kamu, ketika kamu masih tinggal di situ.
36Sementara itu, bagi kalangan kamu yang masih hidup, Aku akan mendatangkan keresahan dalam hati mereka sewaktu mereka tinggal di negeri-negeri musuh, sehingga mereka akan merasa seperti dikejar-kejar apabila terdengar bunyi daun yang diterbangkan angin sekalipun. Mereka akan melarikan diri seperti orang lari daripada pedang, dan mereka akan jatuh meski tiada sesiapa yang mengejar mereka. 37Mereka akan saling terhantuk dan berlanggaran sesama sendiri untuk lari daripada pedang walhal tiada sesiapa yang mengejar mereka. Kamu tidak akan berdaya untuk bertahan di hadapan para musuhmu. 38Dalam kalangan bangsa itu kamu akan binasa, dan negeri musuhmu akan melenyapkan kamu.
Dipulih kerana bertaubat
39Sisa-sisa dalam kalangan kamu akan merana di negeri-negeri musuhmu kerana kesalahan mereka. Dan kerana kesalahan nenek moyang mereka, begitulah juga mereka akan merana sama seperti nenek moyang mereka.
40Kemudian, mereka akan mengakui kesalahan dan kesalahan nenek moyang mereka, iaitu kemungkaran yang dilakukan terhadap Aku dalam masa pemberontakan mereka dan mereka akan mengaku bahawa mereka memang telah menentang Aku 41sehingga Aku pun melawan mereka serta membawa mereka ke negeri para musuh mereka; atau jika kemudian hati mereka yang tidak bersunat itu merendah dan mereka menerima hukuman, 42#Kej 28:13,14. Kej 26:3,4. Kej 17:7,8.maka Aku akan mengingati perjanjian-Ku dengan Yakub, Ishak, dan juga perjanjian-Ku dengan Abraham. Bumi itu pun akan Kuingati. 43Demikianlah tanah yang ditinggalkan oleh mereka itu akan menikmati tahun-tahun Sabatnya, selama tanah itu tandus tanpa mereka. Mereka akan menerima hukuman atas sebab mereka menolak peraturan-peraturan-Ku dan kerana hati mereka membenci ketetapan-ketetapan-Ku. 44Meskipun begitu, Aku tidak akan menolak mereka ketika mereka berada di negeri para musuh mereka. Aku tidak akan membenci mereka sehingga Aku memusnahkan mereka atau mengingkari perjanjian-Ku dengan mereka, kerana Akulah TUHAN, Allah mereka. 45Sebaliknya, demi mereka Aku akan mengingati perjanjian dengan para leluhur mereka, yang telah Kubawa keluar dari Tanah Mesir di hadapan mata segala bangsa, supaya Aku menjadi Allah mereka. Akulah TUHAN.”
46Itulah hukum, ketetapan, dan pengajaran yang TUHAN sendiri sampaikan kepada orang Israel di Gunung Sinai dengan perantaraan Musa.

Terpilih Sekarang Ini:

Imamat 26: AVB

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk