Lukas 19

19
Yesus dengan Zakheus
1Yesus meneruskan perjalanan ke Yerikho dan melalui kota itu. 2Di situ ada seorang yang bernama Zakheus. Dia ketua pemungut cukai dan sangat kaya. 3Dia cuba hendak melihat siapa Yesus itu, tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana orang terlalu ramai dan dia pendek orangnya. 4Dia pun berlari mendahului mereka lalu memanjat pokok ara untuk melihat Yesus yang akan melalui jalan itu. 5Apabila Yesus sampai ke tempat itu, Dia mendongak ke atas lalu berkata kepadanya, “Zakheus, turunlah dengan segera kerana pada hari ini Aku harus menumpang di rumahmu.”
6Zakheus turun dengan segera dan menyambut Yesus dengan sukacitanya. 7Semua orang yang melihat hal ini bersungut-sungut, “Dia hendak menumpang di rumah orang yang berdosa pula!”
8Tetapi Zakheus berdiri dan berkata kepada Tuhan, “Tuhan, sekarang ini juga aku hendak memberikan separuh hartaku kepada orang miskin, dan jika aku telah menipu sesiapa, aku akan membayarnya kembali empat kali ganda.”
9Yesus berkata kepadanya, “Pada hari ini juga penyelamatan telah datang kepada seisi rumah#19:9 Atau: Seluruh keluarga. ini kerana kamu juga seorang keturunan#19:9 Harfiah: Anak. Abraham. 10#Mat 18:11.Anak Manusia datang untuk mencari dan menyelamatkan orang yang hilang.#19:10 Atau: Orang yang sesat.
Ibarat tentang kepingan wang mina
11Yesus menceritakan sebuah ibarat kepada mereka yang mendengar-Nya. Dia kini telah hampir tiba di Yerusalem dan mereka menyangka bahawa kerajaan Allah akan menjadi nyata tidak lama lagi. 12Jadi, Yesus berkata: “Seorang bangsawan telah berangkat ke negeri jauh untuk dilantik menjadi raja dan akan kembali. 13Terlebih dahulu dia memanggil sepuluh orang hambanya, lalu memberi mereka sepuluh mina dan berkata kepada mereka, ‘Uruskanlah wang ini sehingga aku pulang.’ 14Tetapi rakyat negeri itu membencinya dan menyuruh utusan-utusan untuk memberitahunya, ‘Kami tidak mahu orang ini menjadi raja kami.’
15Setelah dia menjadi raja, dia kembali dan memerintah hamba-hamba yang telah diberi wang emas datang menghadapnya dengan segera. Dia ingin mengetahui jumlah keuntungan dalam perniagaan masing-masing. 16Yang pertama menghadap dan berkata, ‘Tuan, satu mina tuan itu telah menjadi sepuluh mina.’ 17Tuan itu berkata kepadanya, ‘Bagus sekali, hamba yang baik. Oleh sebab engkau telah setia dalam perkara kecil ini, aku akan menjadikan engkau penguasa sepuluh buah kota.’ 18Yang kedua menghadap dan berkata, ‘Tuan, satu mina tuan itu telah menjadi lima mina.’ 19Tuan itu berkata kepadanya, ‘Engkau akan menjadi penguasa lima buah kota.’ 20Seorang hamba lagi menghadap dan berkata, ‘Tuan inilah mina tuan yang telah aku simpan di dalam sehelai kain. 21Aku takut akan tuan kerana tuan seorang yang keras hati. Tuan mengambil apa yang bukan milik tuan, dan menuai apa yang tidak tuan taburkan.’ 22Tuan itu berkata, ‘Hamba yang zalim! Aku akan menghukum engkau mengikut kata-katamu sendiri. Engkau mengetahui aku ini seorang yang keras hati, mengambil barang yang bukan milikku dan menuai apa yang tidak aku taburkan. 23Jadi, mengapakah engkau tidak memasukkan wang itu ke dalam tabung? Kemudian, setelah aku kembali, dapatlah aku ambil wang itu dengan faedahnya.’ 24Lalu tuan itu berkata kepada orang yang berdiri di situ, ‘Ambillah mina itu daripadanya dan berikannya kepada orang yang mempunyai sepuluh mina itu.’ 25Mereka pun berkata kepadanya, ‘Tuan, dia sudah ada sepuluh mina.’ 26#Mat 13:12; Mrk 4:25; Luk 8:18.Jawabnya, ‘Setiap orang yang mempunyai sesuatu akan diberi lebih banyak, sebaliknya orang yang tidak mempunyai sesuatu, apa yang ada padanya akan diambil daripadanya. 27#Mat 25:14-30.Sekarang, bawalah ke mari seteru-seteruku yang tidak mahu aku menjadi raja mereka. Bunuhlah mereka di hadapanku.’ ”
Yesus masuk ke Yerusalem
28Setelah Yesus berkata demikian, Dia pun berjalan mendahului mereka menuju ke Yerusalem. 29Apabila Dia berhampiran Betfage dan Betania, yang terletak di bukit bernama Bukit Zaitun, Dia mengutus dua orang murid-Nya, 30kata-Nya, “Pergilah ke kampung di hadapan itu. Apabila kamu masuk, kamu akan mendapati seekor anak keldai yang belum pernah ditunggang, tertambat di situ. Lepaskannya dan bawa ke sini. 31Jika ada orang bertanya kepadamu, ‘Mengapakah kamu melepaskan keldai?’ kamu hendaklah berkata kepadanya, ‘Tuhan memerlukannya.’ ”
32Mereka pun pergi dan mendapati sebagaimana yang telah dikatakan Yesus kepada mereka. 33Ketika mereka melepaskan anak keldai itu, tuan anak keldai itu berkata kepada mereka, “Mengapakah kamu melepaskan anak keldai ini?”
34Murid-murid itu menjawab, “Tuhan memerlukannya.” 35Lalu mereka membawanya kepada Yesus. Kemudian, mereka menghamparkan jubah mereka di atas anak keldai itu dan mendudukkan Yesus di atasnya. 36Ketika Yesus menunggang keldai itu, orang ramai pun membentangkan jubah mereka di jalan.
37Apabila Dia menghampiri jalan yang turun dari Bukit Zaitun, semua murid-Nya mula bersukacita dan memuji Allah dengan suara yang kuat kerana semua mukjizat yang telah disaksikan oleh mereka: 38#Mzm 118:26.“Diberkatilah Raja yang datang dengan nama Tuhan!” “Damai sejahtera di syurga dan kemuliaan di tempat yang maha tinggi!”
39Antara orang ramai itu ada beberapa orang Farisi yang berkata kepada Yesus, “Guru, tegurlah murid-murid-Mu.”
40Yesus menjawab, “Aku berkata kepadamu bahawa jika mereka diam, batu-batu pula akan bersorak.”
Tangisan Yesus bagi Yerusalem
41Ketika Yesus menghampiri Yerusalem dan melihat kota itu, Dia pun menangisinya, 42lalu berkata, “Kalaulah kiranya pada hari ini engkau mengetahui perkara-perkara yang dapat membawa sejahtera kepadamu! Tetapi sekarang semuanya dirahsiakan daripadamu. 43Masanya akan datang apabila musuh-musuhmu akan mengelilingimu dengan sekatan, mengepung dan mengasakmu dari semua arah. 44Mereka akan membinasakanmu dan semua pendudukmu. Mereka tidak akan meninggalkan seketul pun batu tersusun kerana kamu tidak tahu masanya Allah datang kepadamu.”
Yesus pergi ke dalam Bait Suci
45Yesus masuk ke dalam Bait Suci lalu mengusir semua pedagang di situ. 46#Yes 56:7; Yer 7:11.Dia berkata kepada mereka, “Telah tersurat, ‘Rumah-Ku akan dipanggil rumah doa;’ tetapi kamu telah menjadikannya ‘sarang pencuri’. ”
47 # Luk 21:37. Setiap hari Yesus mengajar di dalam Bait Suci. Ketua-ketua imam, ahli-ahli Taurat dan para pemimpin mereka mencari jalan untuk membunuh-Nya 48tetapi mereka tidak dapat berbuat demikian kerana orang ramai terus-menerus datang mendengar Yesus dan mereka tidak mahu terlepas sepatah kata Yesus pun.

Terpilih Sekarang Ini:

Lukas 19: AVB

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk