Lukas 22:39-62

Lukas 22:39-62 AVB

Yesus meninggalkan tempat itu lalu pergi ke Bukit Zaitun seperti kebiasaan-Nya. Murid-murid-Nya pergi bersama Dia. Sesampainya ke tempat itu, Dia berkata kepada mereka, “Berdoalah kamu supaya kamu tidak tergoda.” Yesus pergi jauh sedikit daripada mereka, iaitu sepelempar batu jauhnya lalu berlutut untuk berdoa. “Ya Bapa, jika berkenan kepada-Mu, jauhkanlah kiranya cawan penderitaan ini daripada-Ku. Tetapi bukannya kehendak-Ku melainkan kehendak-Mu yang dilaksanakan.” Malaikat dari syurga datang dan menguatkan-Nya. Dalam kesengsaraan Dia berdoa, peluh-Nya seperti darah menitik ke tanah. Yesus bangun daripada berdoa, dan kembali kepada murid-murid-Nya. Dia mendapati mereka tertidur kerana sangat sedih. Dia berkata kepada mereka, “Mengapakah kamu tidur? Bangunlah dan berdoa supaya kamu tidak tergoda.” Ketika Yesus masih berkata-kata, sekumpulan orang datang. Yudas, salah seorang dua belas murid-Nya memimpin mereka. Dia menghampiri Yesus untuk mencium-Nya. Yesus berkata kepadanya, “Yudas, adakah dengan ciuman engkau mengkhianati Anak Manusia?” Apabila murid-murid Yesus melihat apa yang akan terjadi, mereka bertanya kepada Yesus, “Tuhan, haruskah kami serang mereka dengan pedang kami?” Seorang daripada mereka menyerang hamba imam besar, dan menetaknya sehingga terputus telinga kanannya. Tetapi Yesus berkata, “Biarkanlah mereka.” Lalu Yesus menyentuh telinga orang itu dan menyembuhkannya. Kemudian Yesus berkata kepada ketua-ketua imam, ketua-ketua pengawal Bait Suci dan tua-tua yang telah datang untuk menangkap-Nya, “Perlukah kamu datang dengan pedang dan belantan untuk menangkap Aku seolah-olah Aku ini seorang penyamun? Semasa Aku bersama kamu setiap hari di dalam Bait Suci, kamu tidak berani pula menangkap Aku. Tetapi inilah masa kamu dan masa kuasa kegelapan.” Setelah menangkap Yesus, mereka membawa Dia ke rumah imam besar. Petrus pun mengikut dari jauh. Mereka memasang api unggun di tengah-tengah halaman rumah itu lalu duduk di sekeliling. Petrus juga duduk antara mereka. Apabila seorang hamba perempuan melihat Petrus duduk berdekatan dengan api unggun, dia memandang kepadanya dan berkata, “Orang ini juga bersama Dia.” Tetapi Petrus menyangkal katanya, “Perempuan, aku tidak mengenal Dia!” Sejurus selepas itu, seorang lain pula melihat Petrus lalu berkata, “Ya, engkau seorang daripada mereka itu.” Tetapi Petrus menjawab, “Bukan, aku bukan!” Kira-kira sejam kemudian, seorang lain pula berkeras mengatakan, “Tentulah orang ini juga bersama Dia kerana dia juga seorang Galilea.” Tetapi Petrus berkata, “Aku tidak memahami apa yang kaukatakan.” Pada ketika itu juga, sedang Petrus berkata-kata, ayam berkokok. Tuhan berpaling dan memandang kepada Petrus lalu Petrus pun teringat akan apa yang dikatakan Tuhan kepadanya bahawa, “Sebelum ayam berkokok pada hari ini, engkau akan menyangkal Aku sebanyak tiga kali.” Petrus pun keluar lalu menangis dengan amat kesalnya.