LUKAS 22:39-62

LUKAS 22:39-62 Alkitab Berita Baik (BM)

Yesus meninggalkan kota itu. Seperti biasa Dia pergi ke Bukit Zaitun dan pengikut-pengikut-Nya menyertai Dia. Apabila Yesus tiba di situ, Dia berkata kepada mereka, “Berdoalah agar kamu tidak berdosa ketika menghadapi cubaan.” Kemudian Dia pergi lebih jauh dari tempat mereka, kira-kira sejauh lemparan batu. Dia berlutut dan berdoa, “Ya Bapa, jika boleh jauhkanlah cawan penderitaan ini daripada-Ku. Tetapi janganlah turut kehendak-Ku, melainkan kehendak-Mu berlakulah.” Malaikat dari syurga datang kepada-Nya dan menguatkan Dia. Kerana berat penderitaan-Nya, Yesus semakin tekun berdoa, sehingga peluh-Nya seperti darah menitik ke tanah. Selepas berdoa, Yesus balik kepada pengikut-pengikut-Nya. Dia mendapati mereka tidur kerana penat dan terlalu sedih. Yesus berkata kepada mereka, “Mengapa kamu tidur? Bangunlah! Berdoalah supaya kamu tidak berdosa ketika menghadapi cubaan.” Sementara Yesus masih berkata-kata, datanglah sekumpulan orang. Mereka dipimpin oleh Yudas, seorang daripada dua belas orang pengikut Yesus. Yudas mendekati Yesus untuk mencium Dia. Tetapi Yesus berkata kepadanya, “Yudas, adakah dengan ciuman, kamu mengkhianati Anak Manusia?” Apabila pengikut Yesus yang di situ nampak apa yang akan berlaku, mereka berkata, “Tuhan, biarlah kami menyerang dengan pedang!” Seorang antara mereka memukul hamba Imam Agung serta mengerat telinga kanannya. Yesus berkata, “Sudahlah!” Lalu Dia menjamah telinga orang itu dan menyembuhkannya. Setelah itu Yesus berkata kepada semua ketua imam, ketua pengawal Rumah Tuhan, dan pemimpin masyarakat Yahudi yang datang ke situ untuk menangkap Dia, “Adakah Aku ini penjahat, sehingga kamu mesti datang dengan membawa pedang dan belantan untuk menangkap Aku? Tiap-tiap hari Aku bersama-sama kamu di Rumah Tuhan, tetapi kamu tidak menangkap Aku. Tetapi inilah masanya kamu bertindak, kerana kuasa kegelapan sedang memerintah.” Mereka menangkap Yesus dan membawa Dia ke rumah Imam Agung. Petrus mengikut dari jauh. Api unggun telah dinyalakan di tengah-tengah halaman rumah itu dan Petrus pergi duduk dengan orang lain yang duduk di sekelilingnya. Apabila salah seorang hamba wanita nampak Petrus duduk dekat api unggun, dia mengamati Petrus lalu berkata, “Orang ini juga bersama-sama Yesus!” Tetapi Petrus menafikannya, “Aku tidak mengenal orang itu!” Sejurus kemudian, seorang lagi nampak Petrus dan berkata, “Kamu juga seorang daripada mereka!” Tetapi Petrus menjawab, “Bukan!” Kira-kira sejam kemudian, seorang lain berulang kali berkata, “Pasti orang ini pengikut Yesus, kerana dia juga orang Galilea!” Tetapi Petrus menjawab, “Aku tidak faham apa yang kamu katakan!” Seketika itu juga, sedang Petrus berkata-kata, ayam berkokok. Tuhan pun berpaling dan memandang Petrus. Petrus teringat akan apa yang dikatakan oleh Tuhan kepadanya, “Sebelum ayam berkokok hari ini, tiga kali engkau akan berkata engkau tidak mengenal Aku.” Petrus keluar dari situ lalu menangis tersedu-sedu.

LUKAS 22:39-62 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

¶ Maka kluarlah iya lalu pŭrgi spŭrti adatnya kŭbukit Zieton, maka murid muridnya pun mŭngikutlah akan dia. Maka apabila datanglah iya kŭtŭmpat itu, katanya kapada marika itu, Mintalah doa supaya kamu jangan tŭrmasok kŭdalam pŭrchobaan. Maka adalah iya jauh sŭdikit deripada marika itu, kira kira sŭpŭngumban batu, lalu bertŭlotlah iya sŭrta mŭminta doa. Katanya Ayah, jikalau kiranya angkau kahandaki undorkanlah piala ini deripadaku, itupun bukannya dŭngan kahandakku mŭlainkan dŭngan kahandakmu jadilah. Maka klihatanlah padanya sa’orang mŭliekat deri langit mŭnguatkan akan dia. Maka dalam sangsara itu iya mŭminta doa tŭrlehih rajin, maka pŭlohnya pun bertiteklah spŭrti gumpal darah jatoh kŭbumi. Maka apabila bangunlah iya deripada mŭminta doa sŭrta datang mŭndapatkan murid muridnya, maka didapatinya marika itu tidor kŭrna susah. Maka katanya kapada marika itu, Mŭngapakah kamu tidor? bangun, mintalah doa supaya jangan kamu masok kŭdalam pŭrchobaan. ¶ Maka sŭmŭntara lagi iya bŭrkata kata, hieran, suatu bŭlatantara datang; maka adapun Yudas, sa’orang deripada duablas muridnya, bŭrjalan dihadapan marika itu, maka datanglah dŭkat kapada Isa, lalu dichiumnya akan dia. Tŭtapi Isa bŭrkata kapadanya, Yudas angkau sŭrahkankah akan anak manusia dŭngan satu chium? Maka apabila marika itu yang ada bŭrkŭliling Isa, mŭlihat apa nanti jadi, maka kata marika itu kapadanya, Tuhan, kami chinchangkah dŭngan pŭdang? ¶ Maka sa’orang deripada marika itu mŭnyinchang akan hamba imam bŭsar itu putuslah tŭlinga kanannya. Maka jawab Isa sŭrta bŭrkata, Chukoplah sudah; lalu dijamahnya akan tŭlinganya sŭrta disŭmbohkannya akan dia. Sŭtlah itu maka kata Isa kapada kŭpala kŭpala Imam, dan pŭnghulu pŭnghulu ka’bah, dan orang tua tua yang ada datang kapadanya, Kamu kluar sa’olah olah mŭlawan sa’orang pŭnchurikah, dŭngan pŭdang dan kayu kayu? Apabila aku ada sahari hari dŭngan angkau dalam ka’abah, maka tiadalah kamu mŭnaikkan tangan mŭlawan aku, tŭtapi inilah waktumu dan kwasa kŭglapan. ¶ Sŭtlah itu ditangkap ulih marika itu akan Isa, sŭrta dihelakan dibawanya kŭrumah imam yang bŭsar, maka diikotlah ulih Petros jauh jauh. Maka apabila sudah marika itu mŭnyalakan suatu api ditŭngah halaman itu, maka dudoklah marika itu skalian bŭrsama sama, Petros pun dudoklah diantara marika itu. Maka dilihat ulih sa’orang dayang anu tŭngah Petros dudok dŭkat api itu, diamat amatinya akan dia, lalu katanya, Orang ini pun ada bŭrsama sama juga dŭngan dia. Maka bŭrsangkallah iya akan dia, katanya, Hie pŭrampuan, aku tiada kŭnal akan dia. Maka skutika lagi dilihat ulih orang lain akan dia, katanya, Angkau pun bŭsŭrta juga dŭngan dia. Maka kata Petros, Hie orang, bukannya aku. Maka adalah kira kira sa’jam lamanya, kumdian sa’orang lain mŭngatakan dŭngan tŭntunya, katanya, Dŭngan sŭbŭnarnya iya ini pun bŭrsama sama dŭngan dia, kŭrna iya ini sa’orang orang Galilia juga. Maka kata Petros, Hie orang, aku tiada tahu apa katamu. Maka skutika itu juga sŭmŭntara iya lagi bŭrkata kata maka ayam pun bŭrkokoklah. Maka Tuhan bŭrpaling, lalu mŭmandang akan Petros. Maka Petros pun tŭringatlah akan pŭrkataan Tuhan itu, bagimana iya tŭlah bŭrkata kapadanya, Dahulu deripada ayam bŭrkokok, angkau akan mŭnyangkali aku tiga kali. Maka Petros pŭrgilah kluar, lalu mŭnangislah iya amat sangat.

LUKAS 22:39-62 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Yesus meninggalkan tempat itu lalu pergi ke Bukit Zaitun seperti kebiasaan-Nya. Murid-murid-Nya pergi bersama Dia. Sesampainya ke tempat itu, Dia berkata kepada mereka, “Berdoalah kamu supaya kamu tidak tergoda.” Yesus pergi jauh sedikit daripada mereka, iaitu sepelempar batu jauhnya lalu berlutut untuk berdoa. “Ya Bapa, jika berkenan kepada-Mu, jauhkanlah kiranya cawan penderitaan ini daripada-Ku. Tetapi bukannya kehendak-Ku melainkan kehendak-Mu yang dilaksanakan.” Malaikat dari syurga datang dan menguatkan-Nya. Dalam kesengsaraan Dia berdoa, peluh-Nya seperti darah menitik ke tanah. Yesus bangun daripada berdoa, dan kembali kepada murid-murid-Nya. Dia mendapati mereka tertidur kerana sangat sedih. Dia berkata kepada mereka, “Mengapakah kamu tidur? Bangunlah dan berdoa supaya kamu tidak tergoda.” Ketika Yesus masih berkata-kata, sekumpulan orang datang. Yudas, salah seorang dua belas murid-Nya memimpin mereka. Dia menghampiri Yesus untuk mencium-Nya. Yesus berkata kepadanya, “Yudas, adakah dengan ciuman engkau mengkhianati Anak Manusia?” Apabila murid-murid Yesus melihat apa yang akan terjadi, mereka bertanya kepada Yesus, “Tuhan, haruskah kami serang mereka dengan pedang kami?” Seorang daripada mereka menyerang hamba imam besar, dan menetaknya sehingga terputus telinga kanannya. Tetapi Yesus berkata, “Biarkanlah mereka.” Lalu Yesus menyentuh telinga orang itu dan menyembuhkannya. Kemudian Yesus berkata kepada ketua-ketua imam, ketua-ketua pengawal Bait Suci dan tua-tua yang telah datang untuk menangkap-Nya, “Perlukah kamu datang dengan pedang dan belantan untuk menangkap Aku seolah-olah Aku ini seorang penyamun? Semasa Aku bersama kamu setiap hari di dalam Bait Suci, kamu tidak berani pula menangkap Aku. Tetapi inilah masa kamu dan masa kuasa kegelapan.” Setelah menangkap Yesus, mereka membawa Dia ke rumah imam besar. Petrus pun mengikut dari jauh. Mereka memasang api unggun di tengah-tengah halaman rumah itu lalu duduk di sekeliling. Petrus juga duduk antara mereka. Apabila seorang hamba perempuan melihat Petrus duduk berdekatan dengan api unggun, dia memandang kepadanya dan berkata, “Orang ini juga bersama Dia.” Tetapi Petrus menyangkal katanya, “Perempuan, aku tidak mengenal Dia!” Sejurus selepas itu, seorang lain pula melihat Petrus lalu berkata, “Ya, engkau seorang daripada mereka itu.” Tetapi Petrus menjawab, “Bukan, aku bukan!” Kira-kira sejam kemudian, seorang lain pula berkeras mengatakan, “Tentulah orang ini juga bersama Dia kerana dia juga seorang Galilea.” Tetapi Petrus berkata, “Aku tidak memahami apa yang kaukatakan.” Pada ketika itu juga, sedang Petrus berkata-kata, ayam berkokok. Tuhan berpaling dan memandang kepada Petrus lalu Petrus pun teringat akan apa yang dikatakan Tuhan kepadanya bahawa, “Sebelum ayam berkokok pada hari ini, engkau akan menyangkal Aku sebanyak tiga kali.” Petrus pun keluar lalu menangis dengan amat kesalnya.