Matius 24:15-35

Matius 24:15-35 AVB

“Oleh itu, apabila kamu melihat ‘kekejian yang membawa kebinasaan’ yang disebut oleh nabi Daniel di tempat suci (biarlah para pembaca memperhatikan ertinya), ketika itu orang yang di Yudea mesti lari ke pergunungan. Orang yang di atas bumbung ketika itu janganlah masuk ke rumah mengambil apa-apa. Orang yang di ladang usahlah pulang mengambil jubah. Malanglah ibu yang mengandung dan menyusui anak. Berdoalah semoga kamu tidak terpaksa melarikan diri pada musim dingin atau hari Sabat. Ketika itu akan berlaku kesengsaraan yang belum pernah berlaku sejak dunia dicipta sampai sekarang, dan yang tidak akan pernah berlaku lagi. Kalaulah masa itu tidak disingkatkan, tiada seorang pun akan selamat. Namun demikian, demi umat pilihan-Nya, masa itu disingkatkan. Pada waktu itu, jika orang berkata kepadamu, ‘Lihat, Kristus ada di sini!’ atau ‘Dia ada di sana!’ janganlah percaya. Kerana beberapa kristus palsu dan nabi palsu akan muncul dan menunjukkan pelbagai mukjizat serta keajaiban untuk memperdaya orang, kalau boleh termasuk umat pilihan. Dengarlah! Aku telah memberitahumu semua ini sebelum terjadi. Jika orang berkata kepadamu, ‘Lihat! Dia ada di gurun!’ janganlah kamu ke sana. Dan jika mereka berkata, ‘Dia ada di dalam bilik!’ usahlah kamu percaya. Sesungguhnya, Anak Manusia akan datang seperti kilat yang memancar di seluruh langit, dari timur hingga ke barat. Di mana ada bangkai, di situlah berkerumunnya burung nasar.” “Tidak lama selepas kesengsaraan masa itu, ‘matahari akan dikelamkan dan bulan tidak akan bersinar lagi; Bintang-bintang di langit akan gugur, dan kuasa-kuasa di langit akan digoncang.’ Tanda Anak Manusia akan kelihatan di langit. Semua suku bangsa di bumi akan menangis melihat Anak Manusia dalam awan dengan kekuasaan dan kemuliaan yang besar. Sangkakala akan dibunyikan dengan kuatnya, dan Anak Manusia akan menghantar malaikat-malaikat-Nya dan menghimpunkan umat pilihan-Nya dari empat mata angin, dari satu hujung langit ke hujung yang lain.” “Ambillah iktibar daripada ibarat tentang pokok ara. Apabila dahan-dahannya sudah melembut dan mula bertunas, kamu tahu musim panas hampir tiba. Demikianlah apabila kamu melihat perkara-perkara ini, ketahuilah kamu bahawa waktunya hampir tiba, sudah di ambang pintu. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, angkatan zaman ini tidak akan luput sebelum segalanya ini terjadi. Langit dan bumi akan lenyap, tetapi kata-kata-Ku tidak akan lenyap.”