MATIUS 24:15-35

MATIUS 24:15-35 Alkitab Berita Baik (BM)

“Kamu akan melihat ‘Bencana yang Dahsyat’ yang dikatakan oleh Nabi Daniel, di tempat yang suci itu. (Catatan kepada pembaca: Hendaklah kamu faham apa maknanya!) Lalu mereka yang di Yudea mesti lari ke pergunungan. Orang yang di bumbung rumah janganlah turun dan masuk ke rumah untuk mengambil sesuatu. Orang yang di ladang janganlah balik untuk mengambil jubah. Alangkah dahsyatnya masa itu bagi wanita yang mengandung dan ibu yang menyusui bayi! Berdoalah kepada Allah supaya kamu tidak kena melarikan diri pada musim sejuk atau pada hari Sabat! Kesusahan pada masa itu jauh lebih dahsyat daripada yang pernah berlaku, sejak dunia diciptakan sehingga sekarang. Perkara itu pun tidak akan berlaku lagi. Seandainya Allah tidak memendekkan masa itu, tidak seorang pun akan selamat. Tetapi kerana umat pilihan Allah, Dia memendekkan masa itu. Pada masa itu, jika seseorang berkata kepada kamu, ‘Lihat, Penyelamat yang diutus oleh Allah ada di sini!’ atau ‘Lihat, Dia di situ!’ - janganlah percaya kepada orang itu. Penyelamat palsu dan nabi palsu akan datang. Mereka akan melakukan mukjizat dan keajaiban untuk menipu orang, bahkan umat pilihan Allah pun tertipu. Dengarlah! Aku telah mengatakan semua ini kepada kamu sebelum perkara itu berlaku. Jika orang berkata kepada kamu, ‘Lihat, dia di padang gurun!’ - janganlah kamu ke sana. Atau jika mereka berkata, ‘Lihat, dia di dalam bilik!’ - janganlah percaya. Sesungguhnya Anak Manusia akan datang seperti kilat yang memancar di seluruh langit, dari timur sampai ke barat. Di tempat yang ada mayat, di situlah burung pemakan bangkai berkumpul.” “Tidak lama selepas kesusahan masa itu, matahari akan menjadi gelap dan bulan tidak lagi bercahaya. Bintang-bintang akan jatuh dari langit, dan kuasa di angkasa lepas akan ditarik daripada peredarannya. Kemudian tanda Anak Manusia akan kelihatan di langit. Pada masa itu semua bangsa di bumi akan menangis, ketika melihat Anak Manusia datang di awan dengan kekuasaan dan kemuliaan yang besar. Trompet akan dibunyikan dengan kuat, dan Anak Manusia akan mengutus malaikat-malaikat-Nya ke empat penjuru bumi untuk mengumpulkan umat pilihan Allah dari hujung bumi ke hujung langit.” “Biarlah pokok ara memberikan pelajaran kepada kamu. Apabila dahan-dahannya hijau, lembut, dan mula bertunas, kamu tahu bahawa musim panas sudah dekat. Demikian juga apabila kamu melihat semua perkara ini, kamu tahu bahawa waktunya sudah dekat dan segera akan bermula. Ingatlah! Segala perkara ini akan berlaku sebelum orang yang hidup sekarang ini mati semuanya. Langit dan bumi akan lenyap, tetapi firman-Ku kekal selama-lamanya.”

MATIUS 24:15-35 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Sŭbarmula apabila kamu akan mŭlihat kŭjahatan yang sangat bŭsar itu, spŭrti yang disŭbotkan ulih nabi Daniel bŭrdiri dalam tŭmpat yang sunyi; adapun orang yang mŭmbacha itu, handaklah iya ingat baik baik. Maka tŭtkala itu kŭlak, orang yang dalam bŭnua Yahuda itu pun handaklah iya lari kagunong gunong. Dan lagi barang siapa yang ada diatas rumahnya, maka janganlah iya turon mŭngambil barang suatu yang ada dalam rumahnya. Dan lagi pula barang siapa yang ada diladangnya, maka janganlah iya pulang, sŭbab handak mŭngambil pakieannya. Tŭtapi karamlah bagie sagala pŭrampuan yang bunting, dan yang mŭnyusui pada kutika itu. Tŭtapi handaklah kamu mŭminta doa, supaya janganlah kŭlak hal larimu itu pada musim dingin, dan jangan pula pada hari sabtu. Kŭrna tŭtkala itu kŭlak akan jadi kasukaran yang bŭsar, iya itu bŭlom pŭrnah jadi yang dŭmkian deripada pŭrmulaan dunia sampie skarang ini, dan skali kali tiada pula akan jadi yang dŭmkian itu kumdian. Maka jikalau skiranya hari hari kasusahan itu tiada disengkatkan, nŭschaya barang sa’orang pun tiada akan slamat, tŭtapi deri sŭbab orang yang tŭrpileh itulah, hari hari itu disengkatkan. Maka jikalau barang sa’orang kŭlak bŭrkata pada kamu pada masa itu, Lihatlah Almasih itu ada disini, atau disana, janganlah kamu pŭrchaya. Kŭrna bŭbrapa Almasih dusta, dan nabi dusta akan bŭrbangkit mŭngadakan bŭbrapa mujizat bŭsar bŭsar, dan ajaib, maka sampielah jikalau bulih orang yang dipileh itu handak disŭsatkannya. Maka ingatlah, bahwa aku tŭlah mŭnchŭtrakan itu kapadamu tŭrdahulu. Sŭbab itu, jikalau orang bŭrkata kapadamu, Lihatlah ada Almasih itu dipadang, maka janganlah kamu kluar; lihatlah ada iya dalam bilek skalipun, janganlah kamu pŭrchaya. Kŭrna spŭrti kilat yang tŭpanchar deri mashrek, dan tŭpŭrling sampie kamaghrib, dŭmkianlah hal kŭdatangan anak manusia. Kŭrna barang dimana ada bangkie, disitulah ada burong nazar bŭrhimpun. Maka sŭgra kumdian deri pada hari hari kasukaran itu kŭlak, matahari akan digŭlapkan, dan bulan pun tiada bŭrchaya, dan sagala bintang pun akan gugor deri langit, dan sagala kwasa langit pun akan bŭrgonchang. Maka pada tŭtkala itulah kŭlak klihatan tanda anak manusia dilangit, maka sagala bangsa diatas bumi pun akan duka chita, sŭbab mŭlihat anak manusia itu datang diatas awan awan dŭngan kwasa, dan kamuliaan yang bŭsar itu. Maka iya kŭlak akan mŭnyurohkan mŭliekatnya mŭniop sangkakala yang bŭsar bunyinya, maka akan dihimpunkan ulih mŭliekat sagala orang yang pilehannya datang deri ampat pŭnjuru mata angin, deri pada suatu fiak langit, sampie suatu fiaknya. Skarang handaklah kamu blajar akan ibarat ini deripada pohon ara, maka apabila basah dahannya, sŭrta bŭrtumboh daunnya, nŭschaya kamu kŭtahuilah, bahwa hampirlah musim kŭmarau adanya. Maka dŭmkian lagi apabila kamu mŭlihat akan sagala pŭrkara itu, kŭtahuilah ulihmu, iya itu ada hampir dimuka pintu. Bahwa sasungguhnya aku bŭrkata kapadamu, bahwa sŭbŭlom habis orang zaman ini, maka skalian pŭrkara itu akan jadi. Maka jikalau kiranya langit dan bumi ini lupot skali pun, tŭtapi pŭrkataanku ini tiada akan lupot adanya.

MATIUS 24:15-35 Alkitab Versi Borneo (AVB)

“Oleh itu, apabila kamu melihat ‘kekejian yang membawa kebinasaan’ yang disebut oleh nabi Daniel di tempat suci (biarlah para pembaca memperhatikan ertinya), ketika itu orang yang di Yudea mesti lari ke pergunungan. Orang yang di atas bumbung ketika itu janganlah masuk ke rumah mengambil apa-apa. Orang yang di ladang usahlah pulang mengambil jubah. Malanglah ibu yang mengandung dan menyusui anak. Berdoalah semoga kamu tidak terpaksa melarikan diri pada musim dingin atau hari Sabat. Ketika itu akan berlaku kesengsaraan yang belum pernah berlaku sejak dunia dicipta sampai sekarang, dan yang tidak akan pernah berlaku lagi. Kalaulah masa itu tidak disingkatkan, tiada seorang pun akan selamat. Namun demikian, demi umat pilihan-Nya, masa itu disingkatkan. Pada waktu itu, jika orang berkata kepadamu, ‘Lihat, Kristus ada di sini!’ atau ‘Dia ada di sana!’ janganlah percaya. Kerana beberapa kristus palsu dan nabi palsu akan muncul dan menunjukkan pelbagai mukjizat serta keajaiban untuk memperdaya orang, kalau boleh termasuk umat pilihan. Dengarlah! Aku telah memberitahumu semua ini sebelum terjadi. Jika orang berkata kepadamu, ‘Lihat! Dia ada di gurun!’ janganlah kamu ke sana. Dan jika mereka berkata, ‘Dia ada di dalam bilik!’ usahlah kamu percaya. Sesungguhnya, Anak Manusia akan datang seperti kilat yang memancar di seluruh langit, dari timur hingga ke barat. Di mana ada bangkai, di situlah berkerumunnya burung nasar.” “Tidak lama selepas kesengsaraan masa itu, ‘matahari akan dikelamkan dan bulan tidak akan bersinar lagi; Bintang-bintang di langit akan gugur, dan kuasa-kuasa di langit akan digoncang.’ Tanda Anak Manusia akan kelihatan di langit. Semua suku bangsa di bumi akan menangis melihat Anak Manusia dalam awan dengan kekuasaan dan kemuliaan yang besar. Sangkakala akan dibunyikan dengan kuatnya, dan Anak Manusia akan menghantar malaikat-malaikat-Nya dan menghimpunkan umat pilihan-Nya dari empat mata angin, dari satu hujung langit ke hujung yang lain.” “Ambillah iktibar daripada ibarat tentang pokok ara. Apabila dahan-dahannya sudah melembut dan mula bertunas, kamu tahu musim panas hampir tiba. Demikianlah apabila kamu melihat perkara-perkara ini, ketahuilah kamu bahawa waktunya hampir tiba, sudah di ambang pintu. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, angkatan zaman ini tidak akan luput sebelum segalanya ini terjadi. Langit dan bumi akan lenyap, tetapi kata-kata-Ku tidak akan lenyap.”