Matius 27
27
Yudas menggantung diri
1Setelah siang, semua ketua imam dan tua-tua berpakat untuk membunuh Yesus. 2Mereka menyuruh orang mengikat-Nya. Kemudian mereka membawa-Nya lalu menyerahkan-Nya kepada gabenor,#27:2 Atau: Pembesar negeri. Pontius Pilatus.
3 # Kis 1:18,19. Apabila Yudas yang mengkhianati-Nya melihat bahawa Yesus telah dijatuhi hukum mati, dia menyesali perbuatannya lalu mengembalikan tiga puluh keping wang perak ke hadapan ketua-ketua imam dan tua-tua. 4Yudas berkata, “Aku berdosa menyebabkan tumpahnya darah orang yang tidak bersalah.”
Kata mereka, “Apa kami peduli? Tanganilah sendiri!”
5Yudas pun mencampakkan keping-keping wang perak itu ke dalam Bait Suci lalu pergi menggantung dirinya.
6Ketua-ketua imam memungut wang perak itu lalu berkata, “Menurut hukum, kita tidak boleh memasukkan wang ini ke dalam perbendaharaan rumah ibadat, kerana wang ini harga darah.” 7Mereka bermesyuarat lalu menggunakan wang itu untuk membeli ladang tukang tembikar bagi dijadikan tempat perkuburan orang asing. 8Oleh itu, padang tersebut dipanggil Padang Darah hingga hari ini. 9#Za 11:12,13.Dengan demikian terlaksanalah apa yang dikatakan oleh Nabi Yeremia: “Maka mereka pun mengambil tiga puluh keping perak itu, harga Dia yang telah dinilai oleh anak-anak Israel, 10lalu membeli tanah tukang tembikar seperti yang diperintahkan Tuhan kepadaku.”
Yesus di hadapan Pilatus
11Gabenor itu bertanya kepada Yesus yang berdiri di hadapannya, “Adakah Engkau Raja orang Yahudi?”
Yesus berkata, “Begitulah seperti katamu.”
12Ketika Dia dituduh oleh ketua-ketua imam dan tua-tua, Dia tidak berkata suatu apa. 13Kemudian Pilatus berkata kepada-Nya, “Tidakkah Kamu dengar betapa banyaknya tuduhan terhadap-Mu dalam kesaksian mereka?” 14Tetapi Yesus tidak berkata sepatah pun, sehingga amat hairan gabenor#27:14 Atau: Pembesar negeri. melihat-Nya.
15Pada waktu perayaan, lazimnya gabenor membebaskan dari penjara seorang yang dikehendaki oleh orang ramai. 16Pada masa itu ada seorang banduan yang terkenal jahatnya, bernama Barabas. 17Setelah mereka berhimpun, Pilatus bertanya, “Yang mana kamu mahu aku bebaskan dan serahkan ke tanganmu, Barabas atau Yesus yang dipanggil Kristus?” 18Gabenor itu tahu bahawa mereka telah menyerahkan Yesus kepadanya kerana iri hati.
19Ketika Pilatus sedang duduk di atas kerusi penghakiman, isterinya berkirim pesan kepadanya, “Jangan apa-apakan orang yang tidak bersalah; hari ini aku banyak menanggung azab dalam mimpi kerana-Nya.”
20Tetapi ketua-ketua imam dan tua-tua dapat meyakinkan orang ramai supaya meminta Barabas dibebaskan dan Yesus dibunuh.
21Gabenor itu berkata kepada mereka, “Yang mana antara dua orang ini kamu mahu aku bebaskan dan serahkan ke tanganmu?”
Mereka menjawab, “Barabas!”
22Pilatus bertanya kepada mereka, “Jadi, apa yang harus kubuat dengan Yesus yang dipanggil Kristus?”
Kesemua mereka berkata kepadanya, “Salibkan Dia!”
23Gabenor berkata, “Mengapa, apakah kejahatan yang telah dilakukan-Nya?”
Tetapi mereka berseru semakin kuat, “Salibkan Dia!”
24 # Ul 21:6-9. Apabila Pilatus melihat bahawa dia tidak dapat mempengaruhi mereka malah mereka mula hendak merusuh, dia mengambil air lalu membasuh tangannya di hadapan orang ramai itu sambil berkata, “Aku bebas daripada kesalahan menumpahkan darah orang yang baik ini. Kamu tanganilah sendiri.”
25Kesemua mereka menjawab, “Biarlah darah-Nya tertanggung di atas kami dan zuriat kami.”
26Pilatus pun membebaskan Barabas kepada mereka; dan setelah menyebat Yesus, dia menyerahkan-Nya untuk disalib.
Askar mengejek Yesus
27Kemudian askar-askar gabenor membawa Yesus ke istana gabenor dan menghimpunkan seluruh pasukan tentera di situ. 28Mereka melucutkan pakaian-Nya dan menyarungkan jubah ungu ke tubuh-Nya. 29Mereka membuat mahkota daripada duri lalu meletakkannya di atas kepala Yesus dan menggenggamkan mensiang di tangan kanan-Nya. Kemudian mereka berlutut kepada-Nya sambil mengejek-Nya, “Hai Raja orang Yahudi!” 30Selepas itu, mereka meludahi-Nya dan memukul kepala-Nya dengan mensiang itu. 31Setelah selesai mempermain-mainkan-Nya, mereka melucutkan jubah ungu itu dan mengenakan semula pakaian-Nya lalu membawa-Nya untuk disalib.
Yesus disalib
32Dalam perjalanan, mereka bertemu dengan seorang lelaki dari Kirene bernama Simon. Mereka memaksanya mengangkat kayu salib Yesus. 33Mereka pun sampai di suatu tempat dipanggil Golgota, bermakna Tempat Tengkorak. 34#Mzm 69:21.Di situ mereka memberi-Nya air anggur masam bercampur hempedu dan menyuruh-Nya minum. Tetapi setelah merasanya, Dia enggan minum. 35#Mzm 22:18.Selepas itu mereka menyalib-Nya, dan membahagikan pakaian-Nya dengan membuang undi. 36Kemudian mereka duduk berjaga di situ. 37Di atas kayu salib Yesus mereka memaparkan tuduhan terhadap-Nya: “Inilah Yesus Raja orang Yahudi.” 38Dua orang perompak disalib bersama-Nya, seorang di kanan dan seorang di sebelah kiri-Nya. 39#Mzm 22:7; 109:25; Sir 12:17,18; 13:7.Orang yang lalu di situ mengejek-Nya. Sambil menggeleng-gelengkan kepala 40#Mat 26:61; Yoh 2:19.mereka berkata, “Engkau mahu memusnahkan Bait Suci dan membinanya semula dalam tiga hari; selamatkanlah diri-Mu! Kalau Engkau Anak Allah, turunlah dari salib itu.”
41Begitu jugalah ketua-ketua imam, ahli Taurat dan tua-tua, turut mengejek Yesus: 42“Dia telah menyelamatkan orang lain tetapi Dia tidak dapat menyelamatkan diri-Nya. Kalau benar Dia Raja Israel, turunlah dari kayu salib itu sekarang, baru kami percaya kepada-Nya. 43#Mzm 22:8; Keb 2:18-20.Dia percayakan Allah. Biar Allah menyelamatkan-Nya sekarang, kalau Allah mahu mengakui-Nya; kerana Dia berkata, ‘Aku Anak Allah.’ ” 44Perompak yang disalib bersama Yesus pun mencela-Nya dengan kata-kata demikian.
45Dari jam yang keenam hingga jam kesembilan,#27:45 Atau: Tengah hari hingga tiga petang. seluruh negeri itu diselubungi kegelapan. 46#Mzm 22:1.Kira-kira jam kesembilan,#27:46 Pukul tiga petang. Yesus berseru dengan suara yang lantang, “Eli, Eli,#27:46b Beberapa naskhah: Eloi, Eloi. lama sabakhtani?” maksudnya “Ya Allah-Ku, ya Allah-Ku, mengapa Kautinggalkan Aku?”
47Beberapa orang yang berdiri di situ mendengar seruan itu berkata, “Orang ini memanggil Elia.”
48 # Mzm 69:21. Serta-merta seorang daripada mereka mengambil span, memenuhinya dengan air anggur masam dan meletakkannya pada mensiang lalu menawarkannya kepada Yesus sebagai minuman. 49Yang lain berkata, “Jangan hiraukan Dia; mari kita lihat kalau Elia datang menyelamatkan-Nya.”
50Yesus berseru dengan kuat sekali lagi, lalu menyerahkan roh-Nya dengan nafas terakhir.
51 # Kel 26:31-33. Sejurus itu tirai Bait Suci terbelah dua dari atas ke bawah, bumi digegar gempa dan batu-batu pejal terpecah; 52kubur-kubur terbuka; dan banyak jenazah orang suci dibangkitkan semula; 53mereka keluar dari kubur dan selepas Yesus dibangkitkan semula, mereka masuk ke kota suci itu dan menampakkan diri kepada sebilangan besar orang di situ.
54Apabila ketua tentera dan orangnya yang mengawal Yesus melihat gempa bumi serta kejadian-kejadian lain, mereka pun ketakutan lalu berkata, “Benarlah Dia Anak Allah!”
55 # Luk 8:2,3. Ramai wanita yang telah mengikut Yesus dari Galilea dan melayani-Nya ada di situ, melihat dari jauh. 56Antara mereka ialah Maria Magdalena dan Maria ibu kepada Yakobus dan Yusuf serta ibu kepada anak-anak Zebedeus.
Yesus dimakamkan
57Apabila malam menjelang, datang seorang hartawan dari Arimatea, bernama Yusuf, yang telah menjadi murid Yesus. 58Dia pergi menghadap Pilatus dan memohon jenazah Yesus. Pilatus pun memerintahkan orang menyerahkan jenazah itu kepadanya. 59Yusuf mengambil jenazah itu dan mengafankannya dengan kain linen yang bersih. 60Dia membaringkan jenazah itu di dalam sebuah makam miliknya yang baru digalinya daripada batu pejal. Kemudian dia menggulingkan sebuah batu besar menutup pintu makam itu, lalu pergi dari situ. 61Ketika itu Maria Magdalena ada di situ, begitu juga Maria yang seorang lagi. Mereka sedang duduk berhadapan makam itu.
62Pada keesokannya, iaitu sehari selepas Hari Persediaan, ketua-ketua imam dan orang Farisi datang beramai-ramai menghadap Pilatus. 63#Mat 16:21; 17:23; 20:19; Mrk 8:31; 9:31; 10:33,34; Luk 9:22; 18:31-33.Mereka berkata, “Tuan, kami teringat, sewaktu Dia masih hidup si penipu itu ada berkata, ‘Selepas tiga hari Aku akan bangkit.’ 64Oleh itu, silalah tuan perintahkan supaya dipastikan makam-Nya tidak dapat dibuka hingga tamat hari ketiga. Kami takut kalau-kalau murid-murid-Nya datang pada waktu malam dan mencuri mayat-Nya dibawa pergi, lalu berkata kepada orang ramai, ‘Dia telah bangkit daripada kematian.’ Penipuan ini pasti lebih dahsyat daripada penipuan pertama.” 65Pilatus berkata kepada mereka, “Bawalah beberapa pengawal. Pergilah sendiri, buat apa yang kamu fikirkan perlu untuk menjaga makam itu.” 66Mereka pun pergi melakukannya. Mereka memperkukuh makam itu dengan memateraikannya supaya tidak dapat dibuka langsung, dan mereka menugaskan pengawal berjaga di situ.
Terpilih Sekarang Ini:
Matius 27: AVB
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Alkitab Versi Borneo
Hak cipta © 2015 Borneo Sabda Limited