Matius 8:1-17

Matius 8:1-17 AVB

Yesus turun dari bukit itu dan ramai orang mengikut-Nya. Seorang yang menghidap penyakit kusta datang bersujud di hadapan-Nya sambil berkata, “Tuan, sekiranya Tuan mahu, Tuan dapat mentahirkanku.” Yesus menghulurkan tangan-Nya dan menyentuh orang itu sambil berkata, “Aku mahu. Tahirlah!” Pada saat itu juga penyakit kustanya hilang. Lalu Yesus berkata kepadanya, “Dengarlah, jangan beritahu sesiapa pun hal ini. Pergilah dan tunjukkan dirimu kepada imam. Kemudian, persembahkan korban seperti yang diperintahkan oleh Musa, sebagai kesaksian kepada mereka.” Ketika Yesus sampai di Kapernaum, seorang ketua tentera menjumpai-Nya dan merayu kepada-Nya: “Tuan, hambaku sakit di rumah, terlantar di katil tidak dapat bergerak, dan amat derita.” Yesus menjawab, “Baiklah, Aku akan pergi menyembuhkannya.” Tetapi ketua tentera itu berkata, “Usahlah Tuan datang ke rumahku. Aku tidak layak menyambut Tuan ke rumahku. Perintahkanlah sahaja, tentu hambaku akan sembuh. Aku juga di bawah perintah orang atasan, dan aku ada askar di bawah tanganku. Apabila aku menyuruh seorang askar, ‘Pergi!’ dia pun pergi. Apabila aku menyuruh askar lain, ‘Mari!’ dia pun datang. Apabila aku menyuruh hambaku, ‘Buat ini!’ dia melakukannya.” Yesus terkagum mendengarnya lalu berkata kepada orang ramai yang mengikut-Nya, “Sesungguhnya, belum pernah Kutemui orang yang demikian teguh imannya, walau di Israel pun. Ketahuilah! Ramai orang akan datang dari timur dan barat lalu duduk di meja menikmati jamuan bersama Abraham, Ishak dan Yakub dalam kerajaan syurga. Sebaliknya, anak-anak kerajaan itu akan dihumbankan ke dalam kegelapan di luar; di sana akan terdapat ratapan dan kertakan gigi.” Lalu Yesus berkata kepada ketua tentera itu, “Pulanglah! Apa yang kamu percayai itu akan terjadi.” Pada ketika itu juga sembuhlah hamba ketua tentera itu. Yesus pergi ke rumah Petrus. Dia melihat ibu mertua Petrus terbaring di katil kerana demam. Apabila Yesus menyentuh tangannya, serta-merta demamnya hilang. Dia pun bangun, dan melayan Yesus. Setelah hari petang, ramai orang yang dirasuk roh iblis dibawa kepada Yesus. Dia menghalau roh-roh iblis itu dengan sepatah kata sahaja dan menyembuhkan semua yang sakit. Yesus melakukan semua itu supaya terjadilah apa yang dikatakan oleh Nabi Yesaya: “Dialah yang memikul kelemahan kita dan menanggung penyakit kita.”

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan Matius 8:1-17