MATIUS 8:1-17

MATIUS 8:1-17 Alkitab Berita Baik (BM)

Yesus turun dari bukit, dan banyak orang mengikuti Dia. Lalu seorang berpenyakit kulit yang mengerikan datang dan berlutut di hadapan-Nya. Dia berkata, “Tuan, jika Tuan sudi, Tuan dapat menyembuhkan saya.” Yesus menghulurkan tangan-Nya lalu menjamah dia dan berkata, “Aku mahu. Sembuhlah!” Seketika itu juga penyakitnya tiada lagi. Lalu Yesus berkata kepadanya, “Dengarlah, jangan beritahu sesiapa pun hal ini, tetapi pergilah kepada imam dan mintalah dia mengesahkan kesembuhanmu. Kemudian persembahkanlah korban seperti yang diperintahkan oleh Musa, sebagai bukti kepada semua orang bahawa kamu betul-betul sudah sembuh.” Apabila Yesus masuk ke Kapernaum, seorang ketua askar Roma menjumpai Dia lalu memohon kepada-Nya, “Tuan, orang suruhan saya sakit di rumah, dia terbaring di katil dan tidak dapat bergerak. Dia sangat menderita.” Yesus berkata kepadanya, “Baiklah, Aku akan pergi menyembuhkan dia.” Tetapi ketua askar itu menjawab, “Tuan tidak usah datang ke rumah. Saya tidak layak menyambut Tuan ke rumah saya. Perintahkanlah sahaja, tentu hamba saya akan sembuh. Saya pun di bawah perintah perwira atasan, dan di bawah saya juga ada askar-askar lain. Apabila saya menyuruh seorang askar, ‘Pergi!’ dia pun pergi; apabila saya menyuruh askar lain, ‘Ke mari!’ dia pun datang. Apabila saya menyuruh hamba saya, ‘Buatlah ini!’ dia pun melakukannya.” Yesus hairan mendengar hal itu, lalu Dia berkata kepada orang ramai yang mengikut Dia, “Ketahuilah, belum pernah Aku menjumpai sesiapa pun antara umat Israel yang mempunyai iman sebesar ini. Ketahuilah! Banyak orang akan datang dari timur dan dari barat, lalu menikmati perjamuan di Dunia Baru Allah bersama-sama Abraham, Ishak, dan Yakub. Tetapi orang yang seharusnya menikmati Pemerintahan Allah akan dibuang ke kegelapan di luar; di sana mereka akan menangis dan menderita.” Lalu Yesus berkata kepada ketua askar itu, “Pulanglah! Apa yang kamu percayai itu akan berlaku.” Hamba ketua askar itu pun sembuh pada saat itu juga. Yesus pergi ke rumah Petrus. Di situ Dia melihat ibu mentua Petrus sedang berbaring di tempat tidur kerana demam. Yesus menjamah tangannya, lalu demamnya hilang dengan serta-merta. Dia pun bangun lalu mula melayani Yesus. Apabila hari sudah petang, orang ramai membawa banyak orang yang kerasukan roh jahat kepada Yesus. Yesus mengusir roh-roh jahat itu dengan sepatah kata sahaja. Dia juga menyembuhkan semua orang sakit. Yesus melakukan semua itu supaya berlakulah apa yang dikatakan oleh Nabi Yesaya, “Dia menanggung penderitaan kita dan menyembuhkan penyakit kita.”

MATIUS 8:1-17 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

SŬBARMULA apabila Isa tŭlah turon deri atas bukit itu, maka pŭrhimpunan orang tŭrlalu banyak mŭngikot dia. Maka hieran, datanglah sa’orang bŭrkusta sujud akan dia, sŭraya katanya, Tuhan, jikalau angkau mahu kiranya, bulihlah Tuhan mŭnjadikan hamba suchi. Maka Isa pun mŭmanjangkan tangannya, lalu dijamahnya akan dia, katanya, Kumahu angkau suchilah; maka dŭngan skutika itu juga suchilah dia deripada kustanya itu. Maka kata Isa padanya, Ingatlah angkau baik baik, jangan bri tahu kapada sa’orang pun, mŭlainkan pŭrgilah tunjokkan dirimu kapada Imam, sŭrta pŭrsŭmbahkanlah pŭmbrian yang dipŭsan ulih Musa akan mŭnjadi tandah bagie marika itu. ¶ Maka apabila masoklah Isa kadalam nŭgri Kapŭrnaum, maka datanglah kapadanya sa’orang Pŭnghulu orang sratus, mŭminta kapadanya; Katanya, Tuhan ada hambaku tŭrhantar sakit tepok dalam rumah dŭngan tŭrlalu sŭngsaranya. Maka kata Isa padanya, Bulihlah aku datang mŭnyŭmbohkan dia. Maka disahut ulih Pŭnghulu itu, katanya, Tuhan, bahwa tiadalah layak angkau masok kabawah atap gŭntingku, mŭlainkan dŭngan spatah kata juga Tuhan bŭrkata, hambaku itu bulih sŭmboh: Kŭrna adalah hamba ini pun sa’orang orang yang dibawah prentah, maka adalah pula rayat rayat dibawah hamba; maka hamba surohkan sa’orang pŭrgi, maka iya pŭrgi, dan kapada sa’orang datang, maka datanglah iya, dan kusuroh bŭrbuat barang apa kapada hambaku, maka dipŭrbuatnya. Maka apabila didŭngar Isa akan pŭrkataannya, hieranlah iya, sambil iya bŭrkata kapada orang yang mŭngikot dia, Maka dŭngan sasungguhnya aku bŭrkata kapadamu, maka bŭlom pŭrnah aku mŭndapat iman yang stŭgoh ini diantara orang orang, kapada orang Israil pun tidak. Tŭtapi aku bŭrkata kapadamu, bahwa banyaklah orang akan datang deri sŭblah barat dan timor dudok bŭrsama sama dŭngan Ibrahim, dan Isahak, dan Yakob dalam krajaan shorga. Tŭtapi anak anak krajaan itu akan ditolakkan kadalam gŭlap yang jauh skali deripada trang itu, maka disanalah ada ratap dan gŭrtak gigi. Maka kata Isa pada Pŭnghulu itu, Pulanglah angkau, maka sŭbagimana yang angkau pŭrchaya, sŭbŭgitulah jadi bagiemu; maka hambanya itu pun sŭmbohlah pada waktu itu juga. ¶ Sŭbarmula maka Isa pun masoklah karumah Petros, maka dilihatnya mŭntua pŭrampuannya ada tŭrhantar sakit dŭngan dŭmam. Maka dijamah ulih Isa tangannya, maka dŭmamnya pun tŭrbanglah, maka pŭrampuan itu pun bangunlah lalu mŭlayani dia. ¶ Sŭtlah pŭtang hari, maka dibawa oranglah kapadanya bŭbrapa orang yang tŭrkŭna jin, maka dibuangkannya sagala jin itu dŭngan pŭrkataannya juga, dan sagala orang yang sakit itu pun disŭmbohkannyalah. Maka supaya gŭnaplah barang yang dikatakan ulih nabi Jasia, katanya, Bahwa iyalah juga yang mŭnanggong sagala kalŭmahan kami, sŭrta mŭnahan sagala kŭsakitan kami.

MATIUS 8:1-17 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Yesus turun dari bukit itu dan ramai orang mengikut-Nya. Seorang yang menghidap penyakit kusta datang bersujud di hadapan-Nya sambil berkata, “Tuan, sekiranya Tuan mahu, Tuan dapat mentahirkanku.” Yesus menghulurkan tangan-Nya dan menyentuh orang itu sambil berkata, “Aku mahu. Tahirlah!” Pada saat itu juga penyakit kustanya hilang. Lalu Yesus berkata kepadanya, “Dengarlah, jangan beritahu sesiapa pun hal ini. Pergilah dan tunjukkan dirimu kepada imam. Kemudian, persembahkan korban seperti yang diperintahkan oleh Musa, sebagai kesaksian kepada mereka.” Ketika Yesus sampai di Kapernaum, seorang ketua tentera menjumpai-Nya dan merayu kepada-Nya: “Tuan, hambaku sakit di rumah, terlantar di katil tidak dapat bergerak, dan amat derita.” Yesus menjawab, “Baiklah, Aku akan pergi menyembuhkannya.” Tetapi ketua tentera itu berkata, “Usahlah Tuan datang ke rumahku. Aku tidak layak menyambut Tuan ke rumahku. Perintahkanlah sahaja, tentu hambaku akan sembuh. Aku juga di bawah perintah orang atasan, dan aku ada askar di bawah tanganku. Apabila aku menyuruh seorang askar, ‘Pergi!’ dia pun pergi. Apabila aku menyuruh askar lain, ‘Mari!’ dia pun datang. Apabila aku menyuruh hambaku, ‘Buat ini!’ dia melakukannya.” Yesus terkagum mendengarnya lalu berkata kepada orang ramai yang mengikut-Nya, “Sesungguhnya, belum pernah Kutemui orang yang demikian teguh imannya, walau di Israel pun. Ketahuilah! Ramai orang akan datang dari timur dan barat lalu duduk di meja menikmati jamuan bersama Abraham, Ishak dan Yakub dalam kerajaan syurga. Sebaliknya, anak-anak kerajaan itu akan dihumbankan ke dalam kegelapan di luar; di sana akan terdapat ratapan dan kertakan gigi.” Lalu Yesus berkata kepada ketua tentera itu, “Pulanglah! Apa yang kamu percayai itu akan terjadi.” Pada ketika itu juga sembuhlah hamba ketua tentera itu. Yesus pergi ke rumah Petrus. Dia melihat ibu mertua Petrus terbaring di katil kerana demam. Apabila Yesus menyentuh tangannya, serta-merta demamnya hilang. Dia pun bangun, dan melayan Yesus. Setelah hari petang, ramai orang yang dirasuk roh iblis dibawa kepada Yesus. Dia menghalau roh-roh iblis itu dengan sepatah kata sahaja dan menyembuhkan semua yang sakit. Yesus melakukan semua itu supaya terjadilah apa yang dikatakan oleh Nabi Yesaya: “Dialah yang memikul kelemahan kita dan menanggung penyakit kita.”