Markus 1

1
Yohanes diutus
1Inilah permulaan Injil tentang Yesus Kristus, Anak Allah, 2#Mal 3:1.Seperti yang tersurat dalam kitab Nabi Yesaya:
“Ketahuilah, Aku akan menghantar utusan-Ku untuk mendahului-Mu;
dialah yang akan menyediakan jalan bagi-Mu,
3 # Yes 40:3. satu suara berseru di gurun:
‘Sediakanlah jalan untuk Tuhan,
luruskanlah jalan untuk-Nya.’ ”
4Demikianlah Yohanes muncul di gurun, membaptis orang dan mengkhabarkan satu baptisan pertaubatan untuk pengampunan dosa. 5Ramailah orang yang datang dari Yudea dan Yerusalem untuk mendengar kata-kata Yohanes. Mereka mengakui dosa mereka lalu dibaptiskan oleh Yohanes di Sungai Yordan.
6 # 2Raj 1:8. Yohanes memakai pakaian yang dibuat daripada bulu unta dan tali pinggangnya daripada kulit. Dia makan belalang dan madu gurun. 7Inilah beritanya: “Seorang yang lebih besar daripadaku akan datang selepasku. Tali kasut-Nya pun tidak layak kuurai. 8Aku membaptismu dengan air, tetapi Dia akan membaptismu dengan Roh Kudus.”
Yohanes membaptis Yesus
9Kemudian Yesus datang dari Nazaret di Galilea, lalu dibaptiskan oleh Yohanes di Sungai Yordan. 10Ketika Yesus keluar dari sungai itu, Dia melihat langit terbuka dan Roh Kudus seperti burung merpati turun hinggap ke atas-Nya. 11#Kej 22:2; Mzm 2:7; Yes 42:1; Mat 3:17; 12:18; Mrk 9:7; Luk 3:22.Lalu kedengaran suara dari syurga: “Engkaulah Anak-Ku yang Kukasihi dan dengan-Mu Aku berkenan.”
12Lantas, Roh memimpin Yesus ke gurun. 13Yesus di situ selama empat puluh hari dan digoda oleh Iblis serta dikelilingi binatang liar. Para malaikat datang melayani-Nya.
Murid Yesus yang pertama
14Setelah Yohanes dipenjarakan, Yesus pergi ke Galilea lalu mengkhabarkan Injil daripada Allah. 15#Mat 3:2.Yesus berkata, “Sudah genap masanya dan kerajaan Allah hampir tiba. Bertaubatlah dan percayalah akan Injil ini!”
16Ketika Yesus sedang berjalan di pinggir Laut Galilea, Dia ternampak Simon dan saudaranya Andreas, sedang menebarkan jala di danau kerana mereka nelayan. 17Yesus berkata kepada mereka, “Ikutlah Aku dan Aku akan menjadikan kamu penjala insan.” 18Dengan serta-merta mereka meninggalkan jala mereka dan mengikut-Nya.
19Sejurus berjalan, Yesus melihat dua orang lagi adik-beradik, bernama Yakobus dan Yohanes, anak Zebedeus. Mereka sedang duduk mengemaskan jala di dalam perahu. 20Yesus terus memanggil mereka. Kedua-dua beradik itu meninggalkan bapa mereka, Zebedeus, dengan orang gajinya di dalam perahu, lalu mengikut Yesus.
Yesus membentak roh jahat
21Yesus dan murid-murid-Nya tiba di Kapernaum. Pada hari Sabat berikutnya, Yesus masuk ke saumaah#1:21,23,29,39 Saumaah: Tempat ibadat bani Israel. Juga dikenali sebagai rumah ibadat. lalu mengajar. 22#Mat 7:28,29.Mereka kagum dengan ajaran-Nya kerana Dia mengajar dengan penuh wibawa, tidak seperti ahli Taurat mereka.
23Ketika itu seorang yang dirasuk roh jahat berada di saumaah. Dia berseru: 24“Apa yang hendak Kaubuat kepada kami, hai Yesus orang Nazaret? Adakah Engkau hendak membinasakan kami? Aku tahu siapa Engkau ini. Engkau Yang Suci daripada Allah!”
25Yesus membentak roh itu, “Diam! Keluar daripada dia!” 26Roh jahat itu menggoncang-goncang tubuh orang yang dirasuknya lalu keluar sambil menjerit. 27Hal ini menyebabkan semua orang tercengang lalu berbisik sesama sendiri, “Adakah ini suatu ajaran baru? Dia memerintah roh-roh jahat dengan penuh kuasa dan mereka menurut kata-Nya.”
28Dengan demikian, khabar tentang Yesus segera tersebar ke seluruh Galilea.
Yesus menyembuhkan ramai orang
29Yesus dan murid-Nya, termasuk Yakobus dan Yohanes, keluar dari saumaah itu lalu ke rumah Simon dan Andreas. 30Ibu mertua Simon sedang demam terbaring di tempat tidur. Setibanya Yesus di situ, Dia diberitahu tentang hal itu. 31Yesus menghampiri ibu mertua Simon, memegang tangannya dan menolongnya bangun. Demam wanita itu hilang lalu dia melayan mereka.
32Apabila malam menjelang, semua orang sakit dan orang yang dirasuk roh iblis dibawa kepada Yesus. 33Semua penduduk kota berhimpun di hadapan pintu itu. 34Yesus menyembuhkan ramai orang daripada pelbagai penyakit. Dia juga menghalau roh-roh iblis sambil memerintahkan mereka diam kerana mereka tahu siapa Dia.
Yesus mengajar di kota-kota lain
35Keesokannya, pada waktu subuh, Yesus bangun lalu pergi ke luar kota ke suatu tempat yang sunyi untuk berdoa. 36Simon dan rakan-rakannya pergi mencari Yesus. 37Setelah menjumpai-Nya, mereka berkata: “Semua orang sedang mencari-Mu!”
38Yesus berkata, “Kita mesti ke kota-kota lain di negeri ini supaya Aku dapat menyebarkan Injil di sana. Sebab untuk itulah, maka Aku datang.”
39 # Mat 4:23; 9:35. Lalu Yesus menjelajah ke serata Galilea dan berkhutbah di saumaah dan menghalau roh-roh iblis.
Yesus menyembuhkan seorang yang sakit kusta
40Seorang yang menghidap penyakit kusta datang kepada Yesus lalu berlutut meminta pertolongan-Nya. Katanya, “Jika Engkau mahu, Engkau dapat mentahirkanku.”
41Yesus berbelas kasihan lalu menghulurkan tangan-Nya menyentuh orang itu sambil berkata, “Aku mahu. Tahirlah!” 42Pada saat itu juga orang itu ditahirkan daripada penyakit kusta. 43Yesus segera menyuruhnya pergi dengan memberikan suatu peringatan keras: 44#Im 14:1-32.“Dengarlah, jangan beritahu sesiapa pun hal ini. Pergilah dan tunjukkan dirimu kepada imam serta persembahkan korban seperti yang diperintahkan oleh Musa, sebagai kesaksian kepada mereka bahawa kamu sudah ditahirkan.”
45Tetapi orang itu menyebarkan hal itu merata-rata dan terus-menerus, sehingga Yesus tidak dapat masuk ke bandar terang-terangan. Yesus tinggal di luar kota di tempat-tempat yang lengang, namun orang dari pelbagai kawasan datang kepada-Nya.

Terpilih Sekarang Ini:

Markus 1: AVB

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk