Markus 11:12-26

Markus 11:12-26 AVB

Esoknya, setelah mereka keluar dari Betania, Yesus berasa lapar. Dari jauh Dia melihat sebatang pokok ara yang berdaun. Dia mendekatinya untuk melihat kiranya pokok itu berbuah. Tetapi Dia mendapati daun sahaja di pokok itu, kerana pada masa itu bukan musim buah ara. Oleh itu Yesus berkata kepada pokok itu, “Tiada siapa akan makan buahmu lagi selama-lamanya.” Para murid-Nya mendengar kata-kata itu. Apabila sampai di Yerusalem, Yesus masuk ke Bait Suci dan mengusir orang yang berjual beli di dalam Bait Suci. Dia menterbalikkan meja pengurup wang dan tempat duduk penjual burung merpati. Dia tidak membenarkan siapa pun mengangkat barangan melalui Bait Suci. Kemudian Dia mengajar mereka, kata-Nya, “Tidakkah tersurat: ‘Rumah-Ku akan dipanggil rumah doa bagi semua bangsa’? Tetapi kamu telah menjadikannya ‘sarang pencuri.’ ” Ahli-ahli Taurat dan ketua-ketua imam mendengarnya lalu mencari jalan hendak membinasakan Yesus, kerana mereka takut kepada-Nya, memandangkan semua orang mengagumi ajaran-Nya. Setelah lewat petang, Yesus keluar dari kota itu. Pada pagi esoknya, ketika mereka lalu di situ, mereka melihat pokok ara itu telah layu kering daripada akarnya. Petrus teringat lalu berseru, “Rabbi, lihat! Pokok ara yang Engkau sumpah itu telah mati.” Yesus berkata kepada murid-murid-Nya, “Berimanlah kepada Allah. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, jika sesiapa berkata kepada gunung, ‘Beralihlah dan terhumbanlah ke laut,’ tanpa ragu dalam hatinya dan dengan sepenuh kepercayaan bahawa apa yang dikatakannya akan berlaku, maka akan terjadilah seperti kata-katanya itu. Oleh itu, Aku berkata kepadamu, apa sahaja yang kamu minta dalam doa, percayalah kamu akan menerimanya, maka kamu akan mendapatnya. Setiap kali kamu berdoa, jika ada sesiapa yang bersalah terhadapmu, ampunilah dia, supaya Bapamu di syurga juga akan mengampunkan kesalahanmu. Tetapi jika kamu tidak mengampuni, Bapamu di syurga juga tidak akan mengampunkan kesalahanmu.”