MARKUS 11:12-26

MARKUS 11:12-26 Alkitab Berita Baik (BM)

Esoknya, ketika mereka balik dari Betania, Yesus lapar. Dari jauh Dia nampak sebatang pokok ara yang lebat daunnya. Yesus mendekati pokok itu untuk melihat sama ada pokok itu berbuah. Tetapi apabila Dia tiba di pokok itu, Dia mendapati daun-daun sahaja, kerana pada masa itu belum musim buah ara. Yesus berkata kepada pokok ara itu, “Tiada sesiapa pun akan makan buah ara daripadamu lagi!” Pengikut-pengikut-Nya mendengar kata-kata Yesus itu. Ketika mereka tiba di Yerusalem, Yesus pergi ke Rumah Tuhan lalu mula mengusir semua orang yang berjual beli di situ. Dia menunggangbalikkan meja para penukar wang dan bangku para penjual burung merpati. Dia tidak membenarkan orang membawa apa-apa pun melalui halaman Rumah Tuhan. Kemudian Dia mengajar orang ramai di situ. Dia berkata, “Di dalam Alkitab tertulis bahawa Allah berfirman, ‘Rumah-Ku akan disebut rumah tempat berdoa untuk semua bangsa!’ Tetapi kamu menjadikannya tempat persembunyian perompak!” Para ketua imam dan guru Taurat mendengar kata-kata itu. Oleh itu mereka mula mencari jalan untuk membunuh Yesus. Mereka takut akan Dia, kerana semua orang kagum mendengar ajaran-Nya. Menjelang malam, Yesus dan pengikut-pengikut-Nya meninggalkan kota itu. Pada keesokan paginya, ketika mereka melewati pokok ara itu, mereka melihat pokok itu sudah mati sehingga ke akar-akarnya. Petrus teringat akan apa yang telah berlaku. Dia berkata kepada Yesus, “Guru, lihatlah, pokok ara yang Guru kutuki sudah mati!” Yesus menjawab, “Percayalah kepada Allah. Maka kamu dapat berkata kepada bukit ini, ‘Terangkatlah dan terbuanglah ke dalam laut!’ Jika kamu tidak ragu-ragu, tetapi percaya bahawa apa yang kamu katakan itu akan berlaku, perkara itu pun akan dilakukan untuk kamu. Oleh itu ingatlah: Apabila kamu berdoa dan minta sesuatu, percayalah bahawa kamu telah menerimanya, kerana apa sahaja yang kamu minta akan diberikan kepada kamu. Apabila kamu berdiri untuk berdoa, ampunkanlah kesalahan sesiapa pun, supaya Bapa kamu yang di syurga juga akan mengampunkan dosa kamu. [ Jika kamu tidak mengampuni orang lain, Bapa kamu yang di syurga juga tidak akan mengampunkan dosa kamu.]”

MARKUS 11:12-26 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

¶ Maka pada esoknya, apabila marika itu datang deri Bethani, laparlah iya. Maka dilihatnya sa’pohon kayu ara deri jauh bŭrdaun, datanglah iya, kalau dŭngan mudah mudahan bulih didapatinya barang apa disitu; apabila datanglah kapadanya, didapatinya suatu jua pun tiada, mŭlainkan daun, kŭrna musim buah bŭlom sampie. Maka jawab Isa, sŭrta bŭrkata kapadanya, Sa’orang pun tiada kŭlak mŭmakan buah lagi deripadamu sampie slama lamanya. Maka didŭngar ulih murid muridnya itu. ¶ Maka datanglah marika itu skalian kaJerusalem, masoklah Isa kŭdalam ka’abah, maka dimulainyalah mŭnghalaukan sagala orang yang bŭrjual bŭli dalam ka’abah, sŭrta dibalek balekkannya meja meja orang mŭnukar wang, dan bangku bangku orang bŭrjual mŭrpati. Maka tiadalah dibrinya barang sa’orang mŭmbawa barang bŭkas mŭlalui dalam ka’abah. Maka diajarnya, katanya kapada marika itu, Bukankah sudah tŭrtulis, rumahku akan disŭbut ulih sagala bangsa, rumah sŭmbahyang, tŭtapi kamu sudah mŭnjadikan dia sa’buah goa tŭmpat pŭnchuri. Maka khatib khatib, dan kapala kapala imam mŭnŭngar itu, maka dicharinya upaya bagimana bulih mŭmbinasakan dia, kŭrna takot marika itu akan dia, sŭbab sagala orang pun hieranlah akan pŭngajarannya. Maka apabila sampielah pŭtang hari, kluarlah iya deri dalam nŭgri. ¶ Maka pada pagi hari, tŭngah lalulah marika itu, dilihatnya pohon ara itu pun kringlah sampie kaakarnya. Maka Petros pun tŭringatlah, sŭrta bŭrkata kapadanya, Guru, tengoklah, adapun pohon ara yang angkau bri la’nat itu sudahlah habis kring. Maka jawab Isa sŭrta bŭrkata kapada marika itu, Pŭrchayalah akan Allah. Kŭrna sŭsungguhnya aku bŭrkata kapadamu, barang siapa yang bŭrkata kapada gunong ini, bŭrpindahlah angkau, dan tŭrbuanglah angkau kŭdalam laut, dŭngan tiada shak dalam hatinya, mŭlainkan pŭrchayalah iya barang yang dikatakannya itu akan jadi, maka iya akan mŭndapat barang apa yang dikatanya itu. Maka sŭbab itulah aku bŭrkata kapadamu, barang suatu yang kamu kahandaki, apabila kamu mŭminta doa pŭrchayalah, bahwa kamu akan mŭnŭrima dia, dan kamu kŭlak akau mŭndapat dia. Maka apabila kamu bŭrdiri sŭmbahyang, jikalau kamu ada mŭnaroh isi hati kapada barang siapa, ampunilah, supaya Ayahmu pun yang ada dishorga bulih mŭngampuni akan kŭsalahanmu. Tŭtapi jikalau tiada angkau ampuni, maka Ayahmu pun yang ada dishorga tiada mŭngampuni akan kŭsalahanmu.

MARKUS 11:12-26 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Esoknya, setelah mereka keluar dari Betania, Yesus berasa lapar. Dari jauh Dia melihat sebatang pokok ara yang berdaun. Dia mendekatinya untuk melihat kiranya pokok itu berbuah. Tetapi Dia mendapati daun sahaja di pokok itu, kerana pada masa itu bukan musim buah ara. Oleh itu Yesus berkata kepada pokok itu, “Tiada siapa akan makan buahmu lagi selama-lamanya.” Para murid-Nya mendengar kata-kata itu. Apabila sampai di Yerusalem, Yesus masuk ke Bait Suci dan mengusir orang yang berjual beli di dalam Bait Suci. Dia menterbalikkan meja pengurup wang dan tempat duduk penjual burung merpati. Dia tidak membenarkan siapa pun mengangkat barangan melalui Bait Suci. Kemudian Dia mengajar mereka, kata-Nya, “Tidakkah tersurat: ‘Rumah-Ku akan dipanggil rumah doa bagi semua bangsa’? Tetapi kamu telah menjadikannya ‘sarang pencuri.’ ” Ahli-ahli Taurat dan ketua-ketua imam mendengarnya lalu mencari jalan hendak membinasakan Yesus, kerana mereka takut kepada-Nya, memandangkan semua orang mengagumi ajaran-Nya. Setelah lewat petang, Yesus keluar dari kota itu. Pada pagi esoknya, ketika mereka lalu di situ, mereka melihat pokok ara itu telah layu kering daripada akarnya. Petrus teringat lalu berseru, “Rabbi, lihat! Pokok ara yang Engkau sumpah itu telah mati.” Yesus berkata kepada murid-murid-Nya, “Berimanlah kepada Allah. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, jika sesiapa berkata kepada gunung, ‘Beralihlah dan terhumbanlah ke laut,’ tanpa ragu dalam hatinya dan dengan sepenuh kepercayaan bahawa apa yang dikatakannya akan berlaku, maka akan terjadilah seperti kata-katanya itu. Oleh itu, Aku berkata kepadamu, apa sahaja yang kamu minta dalam doa, percayalah kamu akan menerimanya, maka kamu akan mendapatnya. Setiap kali kamu berdoa, jika ada sesiapa yang bersalah terhadapmu, ampunilah dia, supaya Bapamu di syurga juga akan mengampunkan kesalahanmu. Tetapi jika kamu tidak mengampuni, Bapamu di syurga juga tidak akan mengampunkan kesalahanmu.”