Markus 14:1-26

Markus 14:1-26 AVB

Dua hari lagi akan tibalah Perayaan Paskah dan Jamuan Roti Tidak Beragi, ketua-ketua imam dan ahli-ahli Taurat mencari jalan untuk memerangkap Yesus secara tipu daya dan membunuh-Nya. Tetapi mereka berkata, “Janganlah pada waktu perayaan, takut orang merusuh.” Ketika itu Yesus berada di Betania di rumah Simon yang menghidap penyakit kusta. Sedang Yesus duduk bertelekan di meja, seorang wanita datang membawa kendi pualam berisi minyak narwastu murni yang amat mahal. Dia memecahkan bejana itu lalu menuangkan minyak itu ke atas kepala Yesus. Beberapa orang berkata-kata sesama sendiri dengan marah, “Mengapa dibazirkan minyak wangi ini? Minyak itu dapat dijual dengan harga lebih tiga ratus keping wang dinar dan wangnya disedekahkan kepada orang miskin.” Mereka memarahi wanita itu. Tetapi Yesus berkata, “Biarkan dia begitu. Mengapakah kamu menyusahkannya? Dia telah melakukan sesuatu yang baik untuk-Ku. Orang miskin akan sentiasa ada di sekitarmu, dan bila-bila sahaja kamu mahu, kamu dapat berbuat kebajikan kepada mereka. Tetapi Aku tidaklah sentiasa ada bersamamu. Dia telah melakukan apa yang terdaya olehnya. Dia menuangkan minyak wangi ke atas tubuh-Ku sebagai persiapan bagi pengebumian-Ku. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, di mana-mana pun kelak Injil disebarkan di serata dunia, apa yang telah dilakukan oleh wanita ini akan dikisahkan juga sebagai kenangan kepadanya.” Selepas itu Yudas Iskariot, seorang daripada murid Yesus yang dua belas itu, pergi kepada ketua-ketua imam untuk mengkhianati-Nya dan menyerahkan-Nya kepada mereka. Ketika mendengar kata-katanya mereka pun sukacita dan berjanji akan memberinya wang. Sejak itu Yudas mencari peluang untuk mengkhianati Yesus. Pada hari pertama Perayaan Roti Tidak Beragi, ketika mereka menyembelih anak domba Paskah, para murid Yesus berkata kepada-Nya, “Di manakah Engkau mahu kami pergi menyediakan jamuan Paskah untuk-Mu?” Dia menghantar dua orang murid-Nya dan berkata kepada mereka, “Pergilah ke dalam kota. Seorang lelaki yang membawa sekendi air akan menemui kamu. Ikutlah dia. Di mana dia masuk, katakan kepada tuan rumah, ‘Guru berkata: Di manakah ruang tamu untuk Aku makan jamuan Paskah dengan murid-murid-Ku?’ Dia akan menunjukkan kepadamu sebuah ruang besar di tingkat atas, lengkap dengan perabot dan telah siap disediakan. Di situlah kamu membuat persiapan untuk kita.” Kedua-dua murid-Nya itu berangkat pergi ke kota, dan mendapati semua seperti yang telah dikatakan Yesus kepada mereka. Lalu mereka menyediakan jamuan Paskah. Pada waktu lewat petang, Dia datang bersama murid-murid-Nya yang dua belas itu. Sedang mereka duduk menikmati jamuan, Yesus berkata, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, seorang daripada kamu yang makan bersama-Ku akan mengkhianati-Ku.” Mereka mula berdukacita. Seorang demi seorang berkata kepada-Nya, “Akukah orang itu?” Yesus menjawab, “Dia seorang daripada dua belas yang mencecah roti bersama ke dalam bekas. Anak Manusia memanglah harus pergi, seperti yang tersurat tentang-Nya. Tetapi malanglah orang yang mengkhianati Anak Manusia! Lebih baik baginya jika dia tidak dilahirkan.” Ketika mereka sedang makan, Yesus mengambil roti, mengucap syukur lalu memecah-mecahkan dan memberikannya kepada murid-murid-Nya sambil berkata, “Ambillah, ini tubuh-Ku.” Kemudian Dia mengambil cawan air anggur, dan selepas mengucap syukur, Dia memberikannya kepada mereka, lalu mereka semua minum dari cawan itu. Dia berkata kepada mereka, “Ini darah perjanjian-Ku yang ditumpahkan untuk ramai orang. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, Aku tidak akan minum air anggur lagi hinggalah pada hari Aku minum yang baru dalam kerajaan Allah.” Setelah menyanyikan sebuah lagu suci, mereka pun beredar ke Bukit Zaitun.

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan Markus 14:1-26