MARKUS 14:1-26

MARKUS 14:1-26 Alkitab Berita Baik (BM)

Dua hari sebelum Perayaan Paska dan Perayaan Roti Tidak Beragi, ketua imam dan guru Taurat mencari jalan untuk menangkap Yesus dengan diam-diam. Mereka hendak membunuh dia. Tetapi mereka berkata, “Kita tidak boleh melakukannya pada masa perayaan, kerana rakyat akan merusuh.” Yesus ada di Betania, di rumah Simon yang dahulu berpenyakit kulit yang mengerikan. Ketika Yesus sedang makan, seorang wanita datang kepada-Nya. Dia membawa sebuah botol marmar yang berisi minyak wangi mahal daripada akar wangi. Dia memecahkan botol itu lalu menuang minyak wangi itu ke atas kepala Yesus. Beberapa orang di situ marah dan bercakap sesama sendiri, “Apa gunanya minyak wangi itu dibazirkan? Minyak itu dapat dijual dengan harga lebih daripada tiga ratus keping wang perak, dan wangnya boleh diberikan kepada orang miskin!” Mereka mengecam wanita itu. Tetapi Yesus berkata, “Biarkanlah dia! Mengapa kamu menyusahkan dia? Apa yang telah dilakukannya untuk-Ku itu baik dan terpuji. Orang miskin sentiasa ada antara kamu. Jika kamu hendak menolong mereka, bila-bila pun boleh. Tetapi Aku tidak selamanya bersama-sama kamu. Wanita ini melakukan apa yang dapat dilakukannya. Dia menuangi Aku dengan minyak wangi untuk menyediakan tubuh-Ku bagi penguburan-Ku sebelum waktunya. Ingatlah! Di seluruh dunia, di mana sahaja Berita Baik dikhabarkan, perbuatan wanita ini akan diceritakan untuk mengenang dia.” Kemudian Yudas Iskariot, seorang daripada dua belas orang pengikut Yesus, pergi kepada para ketua imam dengan maksud untuk menyerahkan Yesus kepada mereka. Mereka suka sekali mendengar tawaran Yudas, lalu berjanji memberikan wang kepadanya. Yudas pun mula mencari peluang untuk mengkhianati Yesus. Pada hari pertama Perayaan Roti Tidak Beragi, iaitu hari apabila orang menyembelih domba Paska, pengikut-pengikut Yesus bertanya kepada-Nya, “Di manakah Guru ingin kami menyediakan jamuan Paska untuk Guru?” Yesus menyuruh dua orang daripada mereka, “Pergilah ke bandar, lalu kamu akan berjumpa dengan seorang lelaki yang menjunjung buyung air. Ikutilah dia ke rumah yang dimasukinya, lalu berkatalah kepada pemilik rumah itu, ‘Guru bertanya, di mana bilik tempat Dia dan pengikut-pengikut-Nya akan makan jamuan Paska.’ Dia akan menunjukkan sebuah bilik besar di tingkat atas yang sudah teratur dan lengkap dengan perabot, kepada kamu. Siapkanlah segala-galanya untuk kita di situ.” Kedua-dua orang pengikut itu pergi ke bandar dan mendapati semuanya seperti yang telah dikatakan oleh Yesus, lalu mereka pun menyediakan jamuan Paska itu. Pada malam harinya, Yesus datang dengan dua belas orang pengikut-Nya. Sementara mereka makan, Yesus berkata, “Ketahuilah, seorang daripada kamu, yang sekarang ini makan bersama-sama Aku akan mengkhianati Aku.” Pengikut-pengikut-Nya menjadi sangat sedih. Seorang demi seorang mula bertanya kepada Yesus, “Tentu bukan saya yang Guru maksudkan?” Yesus menjawab, “Dia salah seorang daripada kamu yang dua belas ini, yang ikut mencelup roti ke dalam mangkuk dengan Aku. Memang Anak Manusia akan mati seperti yang tertulis di dalam Alkitab, tetapi malanglah orang yang mengkhianati Anak Manusia! Lebih baik bagi orang itu jika dia tidak pernah dilahirkan!” Ketika mereka sedang makan, Yesus mengambil roti dan mengucap syukur kepada Allah, lalu membahagikan roti itu. Kemudian Dia memberikan roti itu kepada pengikut-pengikut-Nya sambil berkata, “Ambillah dan makanlah, ini tubuh-Ku.” Kemudian Dia mengambil sebuah cawan berisi wain. Dia mengucap syukur kepada Allah, lalu memberikan cawan itu kepada pengikut-pengikut-Nya. Kemudian mereka semua minum dari cawan itu. Yesus berkata, “Inilah darah-Ku yang dicurahkan untuk banyak orang, darah yang mengesahkan perjanjian Allah. Percayalah, Aku tidak akan minum wain ini lagi sehingga hari itu apabila Aku minum wain baru di Dunia Baru Bapa-Ku.” Setelah mereka menyanyikan sebuah nyanyian pujian, mereka pergi ke Bukit Zaitun.

MARKUS 14:1-26 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

SŬBARMULA tŭlah dua hari lalu hari raya langkah, dan roti yang tiada bŭragi, maka kŭpala imam imam, dan khatib khatib mŭnchari jalan bagimana bulih marika itu mŭnangkap akan Isa dŭngan tipu, handak dibunohnya. Tŭtapi kata marika itu, Janganlah pada hari raya, nanti kŭlak mŭnjadi gadoh kaum ini. ¶ Maka pada masa Isa dalam Bethani, dirumah Simon bŭrkusta, tŭtkala iya dudok makan, maka datanglah sa’orang pŭrampuan mŭmbawa suatu chŭmbol batu yang bŭrisi minyak bahu bahuan yang amat indah, maka dibukanya chambol itu, lalu dichurahkannya ka’atas kŭpala Isa. Maka adalah disana bŭbrapa orang yang mŭnaroh amarah, maka katanya, Mŭngapakah minyak bahu bahuan ini dibuangkan chuma chuma? Kŭrna iya ini dapat dijual tŭrlebih deripada tiga ratus dinar, iya itu bulih dibrikan kapada orang mŭskin. Maka disungotilah ulih marika itu. Maka bŭrkata Isa, Biarkanlah akan dia, mŭngapa kamu mŭmbuat susah akan dia? Iya itu tŭlah bŭrbuat suatu pŭkŭrjaan yang baik akan daku. Kŭrna ada pada kamu orang mŭskin itu slalu, barang bila pun kamu bulih bŭrbuat baik kapadanya, tŭtapi aku ini tiadalah kamu dapat slalu. Maka pŭrampuan itu tŭlah bŭrbuat sŭbrapa bulihnya, iya datang tŭrdahulu mŭmbuboh minyak bahu bahuan ditubohku akan mŭnanam mayatku. Maka sŭsungguhnya aku bŭrkata kapadamu, barang dimana Injil ini akan dimashorkan bŭrkliling dunia ini, maka dŭmkianlah adanya apa yang dipŭrbuat pŭrampuan ini pun akan dikatakan kŭrna suatu pŭringatan akan dia. ¶ Maka adalah Yudas Iskariot itu sa’orang deripada dua blas murid itu, pŭrgilah iya kapada kŭpala kŭpala imam, handak disŭrahkan dŭngan tipu akan Isa kapada marika itu. Maka apabila didŭngar ulih marika itu akan dia, sukalah marika itu, maka bŭrjanji handak mŭmbri akan dia wang; maka dicharinyalah jalan yang sŭnang, bagimanakah handak disŭrahkannya akan dia dŭngan tipu. Maka pada hari yang pŭrtama deripada hari raya roti tiada bŭragi, tŭtkala dikorbankan pada hari raya langkah, kata murid muridnya kapada Isa, Dimanakah angkau kahandaki kami pŭrgi supaya kami sŭdiakan angkau makan pŭrjamuan hari raya langkah? Maka disurohkannya dua orang muridnya, sŭrta katanya kapadanya, Pŭrgilah angkau masok kŭdalam nŭgri, maka disana angkau akan bŭrtŭmu dŭngan sa’orang yang ada mŭngangkat sa’buah buyong ayer, ikotlah akan dia. Maka barang dimana iya masok, kata ulihmu kapada orang ampunya rumah itu, Guru tŭlah bŭrkata, dimanakah ada bilek jamu yang aku akan mŭmakan pŭrjamuan hari raya langkah dŭngan murid muridku? Maka iyalah kŭlak akan mŭnunjokkan kapadamu suatu bilek lapang diatas yang bŭrhias, dan tŭlah sŭdia, disanalah sŭdiakan bagie kita. Maka pŭrgilah murid muridnya itu lalu masok kŭdalam nŭgri, maka didapatinya spŭrti yang dikatakannya kapada marika itu, maka disŭdiakanlah ulih marika itu pŭrjamuan hari raya langkah itu. Maka pada pŭtang datanglah Isa bŭrsama sama dŭngan duablas orang muridnya. Maka apabila tŭngah marika itu makan, maka kata Isa, Sŭsungguhnya aku bŭrkata kapada kamu, sa’orang deripada kamu yang makan dŭngan aku akan mŭnyŭrahkan aku dŭngan tipu. Maka marika itu skalian pun mulielah bŭrduka chita, dan bŭrkata kapadanya sa’orang lŭpas sa’orang, Akukah? Maka kata yang lain, Akukah? Maka jawabnya sŭrta bŭrkata kapada marika itu, Iya itu sa’orang deripada dua blas yang mŭnchŭlopkan tangannya bŭrsama sama dŭngan aku dalam pinggan. Maka dŭngan sŭsungguhnya Anak manusia itu mŭnurot spŭrti ajalnya yang tŭlah tŭrtulis bagienya, akan tŭtapi karamlah bagie orang yang mŭnyŭrahkan dŭngan tipu akan Anak manusia itu, maka tŭrlebih baiklah bagie orang itu kalau iya tiada dipranakkan skali kali. ¶ Maka sŭtlah sudahlah marika itu makan, Isa mŭngambil roti, dibŭrkatinya, lalu dipŭchahkannya akan dia, sŭrta dibrikannya kapada marika itu, maka katanya, Ambillah makan, inilah tubohku. Maka diambilnya chawan maka sŭtlah sudah iya mŭnguchap shukor lalu dibrikannyalah itu kapada marika itu, maka skaliannya itupun minumlah akan dia. Maka katanya kapada marika itu, Inilah darahku, wasiat bahru yang tŭrtumpah sŭbab orang banyak. Maka sŭsungguhnya aku bŭrkata kapada kamu, tiadalah aku kŭlak mŭminum lagi ayer buah anggor ini sampielah pada hari yang aku mŭminum akan dia dalam kŭrajaan Allah. ¶ Maka apabila marika itu skalian sudah mŭnyanyi puji pujian, marika itu kluarlah pŭrgi kapada bukit Zieton.

MARKUS 14:1-26 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Dua hari lagi akan tibalah Perayaan Paskah dan Jamuan Roti Tidak Beragi, ketua-ketua imam dan ahli-ahli Taurat mencari jalan untuk memerangkap Yesus secara tipu daya dan membunuh-Nya. Tetapi mereka berkata, “Janganlah pada waktu perayaan, takut orang merusuh.” Ketika itu Yesus berada di Betania di rumah Simon yang menghidap penyakit kusta. Sedang Yesus duduk bertelekan di meja, seorang wanita datang membawa kendi pualam berisi minyak narwastu murni yang amat mahal. Dia memecahkan bejana itu lalu menuangkan minyak itu ke atas kepala Yesus. Beberapa orang berkata-kata sesama sendiri dengan marah, “Mengapa dibazirkan minyak wangi ini? Minyak itu dapat dijual dengan harga lebih tiga ratus keping wang dinar dan wangnya disedekahkan kepada orang miskin.” Mereka memarahi wanita itu. Tetapi Yesus berkata, “Biarkan dia begitu. Mengapakah kamu menyusahkannya? Dia telah melakukan sesuatu yang baik untuk-Ku. Orang miskin akan sentiasa ada di sekitarmu, dan bila-bila sahaja kamu mahu, kamu dapat berbuat kebajikan kepada mereka. Tetapi Aku tidaklah sentiasa ada bersamamu. Dia telah melakukan apa yang terdaya olehnya. Dia menuangkan minyak wangi ke atas tubuh-Ku sebagai persiapan bagi pengebumian-Ku. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, di mana-mana pun kelak Injil disebarkan di serata dunia, apa yang telah dilakukan oleh wanita ini akan dikisahkan juga sebagai kenangan kepadanya.” Selepas itu Yudas Iskariot, seorang daripada murid Yesus yang dua belas itu, pergi kepada ketua-ketua imam untuk mengkhianati-Nya dan menyerahkan-Nya kepada mereka. Ketika mendengar kata-katanya mereka pun sukacita dan berjanji akan memberinya wang. Sejak itu Yudas mencari peluang untuk mengkhianati Yesus. Pada hari pertama Perayaan Roti Tidak Beragi, ketika mereka menyembelih anak domba Paskah, para murid Yesus berkata kepada-Nya, “Di manakah Engkau mahu kami pergi menyediakan jamuan Paskah untuk-Mu?” Dia menghantar dua orang murid-Nya dan berkata kepada mereka, “Pergilah ke dalam kota. Seorang lelaki yang membawa sekendi air akan menemui kamu. Ikutlah dia. Di mana dia masuk, katakan kepada tuan rumah, ‘Guru berkata: Di manakah ruang tamu untuk Aku makan jamuan Paskah dengan murid-murid-Ku?’ Dia akan menunjukkan kepadamu sebuah ruang besar di tingkat atas, lengkap dengan perabot dan telah siap disediakan. Di situlah kamu membuat persiapan untuk kita.” Kedua-dua murid-Nya itu berangkat pergi ke kota, dan mendapati semua seperti yang telah dikatakan Yesus kepada mereka. Lalu mereka menyediakan jamuan Paskah. Pada waktu lewat petang, Dia datang bersama murid-murid-Nya yang dua belas itu. Sedang mereka duduk menikmati jamuan, Yesus berkata, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, seorang daripada kamu yang makan bersama-Ku akan mengkhianati-Ku.” Mereka mula berdukacita. Seorang demi seorang berkata kepada-Nya, “Akukah orang itu?” Yesus menjawab, “Dia seorang daripada dua belas yang mencecah roti bersama ke dalam bekas. Anak Manusia memanglah harus pergi, seperti yang tersurat tentang-Nya. Tetapi malanglah orang yang mengkhianati Anak Manusia! Lebih baik baginya jika dia tidak dilahirkan.” Ketika mereka sedang makan, Yesus mengambil roti, mengucap syukur lalu memecah-mecahkan dan memberikannya kepada murid-murid-Nya sambil berkata, “Ambillah, ini tubuh-Ku.” Kemudian Dia mengambil cawan air anggur, dan selepas mengucap syukur, Dia memberikannya kepada mereka, lalu mereka semua minum dari cawan itu. Dia berkata kepada mereka, “Ini darah perjanjian-Ku yang ditumpahkan untuk ramai orang. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, Aku tidak akan minum air anggur lagi hinggalah pada hari Aku minum yang baru dalam kerajaan Allah.” Setelah menyanyikan sebuah lagu suci, mereka pun beredar ke Bukit Zaitun.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami