Pada hari pertama Perayaan Roti Tidak Beragi, ketika mereka menyembelih anak domba Paskah, para murid Yesus berkata kepada-Nya, “Di manakah Engkau mahu kami pergi menyediakan jamuan Paskah untuk-Mu?”
Dia menghantar dua orang murid-Nya dan berkata kepada mereka, “Pergilah ke dalam kota. Seorang lelaki yang membawa sekendi air akan menemui kamu. Ikutlah dia. Di mana dia masuk, katakan kepada tuan rumah, ‘Guru berkata: Di manakah ruang tamu untuk Aku makan jamuan Paskah dengan murid-murid-Ku?’ Dia akan menunjukkan kepadamu sebuah ruang besar di tingkat atas, lengkap dengan perabot dan telah siap disediakan. Di situlah kamu membuat persiapan untuk kita.”
Kedua-dua murid-Nya itu berangkat pergi ke kota, dan mendapati semua seperti yang telah dikatakan Yesus kepada mereka. Lalu mereka menyediakan jamuan Paskah.
Pada waktu lewat petang, Dia datang bersama murid-murid-Nya yang dua belas itu. Sedang mereka duduk menikmati jamuan, Yesus berkata, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, seorang daripada kamu yang makan bersama-Ku akan mengkhianati-Ku.”
Mereka mula berdukacita. Seorang demi seorang berkata kepada-Nya, “Akukah orang itu?”
Yesus menjawab, “Dia seorang daripada dua belas yang mencecah roti bersama ke dalam bekas. Anak Manusia memanglah harus pergi, seperti yang tersurat tentang-Nya. Tetapi malanglah orang yang mengkhianati Anak Manusia! Lebih baik baginya jika dia tidak dilahirkan.”
Ketika mereka sedang makan, Yesus mengambil roti, mengucap syukur lalu memecah-mecahkan dan memberikannya kepada murid-murid-Nya sambil berkata, “Ambillah, ini tubuh-Ku.”
Kemudian Dia mengambil cawan air anggur, dan selepas mengucap syukur, Dia memberikannya kepada mereka, lalu mereka semua minum dari cawan itu. Dia berkata kepada mereka, “Ini darah perjanjian-Ku yang ditumpahkan untuk ramai orang. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, Aku tidak akan minum air anggur lagi hinggalah pada hari Aku minum yang baru dalam kerajaan Allah.”
Setelah menyanyikan sebuah lagu suci, mereka pun beredar ke Bukit Zaitun.