MARKUS 14:12-26

MARKUS 14:12-26 Alkitab Berita Baik (BM)

Pada hari pertama Perayaan Roti Tidak Beragi, iaitu hari apabila orang menyembelih domba Paska, pengikut-pengikut Yesus bertanya kepada-Nya, “Di manakah Guru ingin kami menyediakan jamuan Paska untuk Guru?” Yesus menyuruh dua orang daripada mereka, “Pergilah ke bandar, lalu kamu akan berjumpa dengan seorang lelaki yang menjunjung buyung air. Ikutilah dia ke rumah yang dimasukinya, lalu berkatalah kepada pemilik rumah itu, ‘Guru bertanya, di mana bilik tempat Dia dan pengikut-pengikut-Nya akan makan jamuan Paska.’ Dia akan menunjukkan sebuah bilik besar di tingkat atas yang sudah teratur dan lengkap dengan perabot, kepada kamu. Siapkanlah segala-galanya untuk kita di situ.” Kedua-dua orang pengikut itu pergi ke bandar dan mendapati semuanya seperti yang telah dikatakan oleh Yesus, lalu mereka pun menyediakan jamuan Paska itu. Pada malam harinya, Yesus datang dengan dua belas orang pengikut-Nya. Sementara mereka makan, Yesus berkata, “Ketahuilah, seorang daripada kamu, yang sekarang ini makan bersama-sama Aku akan mengkhianati Aku.” Pengikut-pengikut-Nya menjadi sangat sedih. Seorang demi seorang mula bertanya kepada Yesus, “Tentu bukan saya yang Guru maksudkan?” Yesus menjawab, “Dia salah seorang daripada kamu yang dua belas ini, yang ikut mencelup roti ke dalam mangkuk dengan Aku. Memang Anak Manusia akan mati seperti yang tertulis di dalam Alkitab, tetapi malanglah orang yang mengkhianati Anak Manusia! Lebih baik bagi orang itu jika dia tidak pernah dilahirkan!” Ketika mereka sedang makan, Yesus mengambil roti dan mengucap syukur kepada Allah, lalu membahagikan roti itu. Kemudian Dia memberikan roti itu kepada pengikut-pengikut-Nya sambil berkata, “Ambillah dan makanlah, ini tubuh-Ku.” Kemudian Dia mengambil sebuah cawan berisi wain. Dia mengucap syukur kepada Allah, lalu memberikan cawan itu kepada pengikut-pengikut-Nya. Kemudian mereka semua minum dari cawan itu. Yesus berkata, “Inilah darah-Ku yang dicurahkan untuk banyak orang, darah yang mengesahkan perjanjian Allah. Percayalah, Aku tidak akan minum wain ini lagi sehingga hari itu apabila Aku minum wain baru di Dunia Baru Bapa-Ku.” Setelah mereka menyanyikan sebuah nyanyian pujian, mereka pergi ke Bukit Zaitun.

MARKUS 14:12-26 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Maka pada hari yang pŭrtama deripada hari raya roti tiada bŭragi, tŭtkala dikorbankan pada hari raya langkah, kata murid muridnya kapada Isa, Dimanakah angkau kahandaki kami pŭrgi supaya kami sŭdiakan angkau makan pŭrjamuan hari raya langkah? Maka disurohkannya dua orang muridnya, sŭrta katanya kapadanya, Pŭrgilah angkau masok kŭdalam nŭgri, maka disana angkau akan bŭrtŭmu dŭngan sa’orang yang ada mŭngangkat sa’buah buyong ayer, ikotlah akan dia. Maka barang dimana iya masok, kata ulihmu kapada orang ampunya rumah itu, Guru tŭlah bŭrkata, dimanakah ada bilek jamu yang aku akan mŭmakan pŭrjamuan hari raya langkah dŭngan murid muridku? Maka iyalah kŭlak akan mŭnunjokkan kapadamu suatu bilek lapang diatas yang bŭrhias, dan tŭlah sŭdia, disanalah sŭdiakan bagie kita. Maka pŭrgilah murid muridnya itu lalu masok kŭdalam nŭgri, maka didapatinya spŭrti yang dikatakannya kapada marika itu, maka disŭdiakanlah ulih marika itu pŭrjamuan hari raya langkah itu. Maka pada pŭtang datanglah Isa bŭrsama sama dŭngan duablas orang muridnya. Maka apabila tŭngah marika itu makan, maka kata Isa, Sŭsungguhnya aku bŭrkata kapada kamu, sa’orang deripada kamu yang makan dŭngan aku akan mŭnyŭrahkan aku dŭngan tipu. Maka marika itu skalian pun mulielah bŭrduka chita, dan bŭrkata kapadanya sa’orang lŭpas sa’orang, Akukah? Maka kata yang lain, Akukah? Maka jawabnya sŭrta bŭrkata kapada marika itu, Iya itu sa’orang deripada dua blas yang mŭnchŭlopkan tangannya bŭrsama sama dŭngan aku dalam pinggan. Maka dŭngan sŭsungguhnya Anak manusia itu mŭnurot spŭrti ajalnya yang tŭlah tŭrtulis bagienya, akan tŭtapi karamlah bagie orang yang mŭnyŭrahkan dŭngan tipu akan Anak manusia itu, maka tŭrlebih baiklah bagie orang itu kalau iya tiada dipranakkan skali kali. ¶ Maka sŭtlah sudahlah marika itu makan, Isa mŭngambil roti, dibŭrkatinya, lalu dipŭchahkannya akan dia, sŭrta dibrikannya kapada marika itu, maka katanya, Ambillah makan, inilah tubohku. Maka diambilnya chawan maka sŭtlah sudah iya mŭnguchap shukor lalu dibrikannyalah itu kapada marika itu, maka skaliannya itupun minumlah akan dia. Maka katanya kapada marika itu, Inilah darahku, wasiat bahru yang tŭrtumpah sŭbab orang banyak. Maka sŭsungguhnya aku bŭrkata kapada kamu, tiadalah aku kŭlak mŭminum lagi ayer buah anggor ini sampielah pada hari yang aku mŭminum akan dia dalam kŭrajaan Allah. ¶ Maka apabila marika itu skalian sudah mŭnyanyi puji pujian, marika itu kluarlah pŭrgi kapada bukit Zieton.

MARKUS 14:12-26 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Pada hari pertama Perayaan Roti Tidak Beragi, ketika mereka menyembelih anak domba Paskah, para murid Yesus berkata kepada-Nya, “Di manakah Engkau mahu kami pergi menyediakan jamuan Paskah untuk-Mu?” Dia menghantar dua orang murid-Nya dan berkata kepada mereka, “Pergilah ke dalam kota. Seorang lelaki yang membawa sekendi air akan menemui kamu. Ikutlah dia. Di mana dia masuk, katakan kepada tuan rumah, ‘Guru berkata: Di manakah ruang tamu untuk Aku makan jamuan Paskah dengan murid-murid-Ku?’ Dia akan menunjukkan kepadamu sebuah ruang besar di tingkat atas, lengkap dengan perabot dan telah siap disediakan. Di situlah kamu membuat persiapan untuk kita.” Kedua-dua murid-Nya itu berangkat pergi ke kota, dan mendapati semua seperti yang telah dikatakan Yesus kepada mereka. Lalu mereka menyediakan jamuan Paskah. Pada waktu lewat petang, Dia datang bersama murid-murid-Nya yang dua belas itu. Sedang mereka duduk menikmati jamuan, Yesus berkata, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, seorang daripada kamu yang makan bersama-Ku akan mengkhianati-Ku.” Mereka mula berdukacita. Seorang demi seorang berkata kepada-Nya, “Akukah orang itu?” Yesus menjawab, “Dia seorang daripada dua belas yang mencecah roti bersama ke dalam bekas. Anak Manusia memanglah harus pergi, seperti yang tersurat tentang-Nya. Tetapi malanglah orang yang mengkhianati Anak Manusia! Lebih baik baginya jika dia tidak dilahirkan.” Ketika mereka sedang makan, Yesus mengambil roti, mengucap syukur lalu memecah-mecahkan dan memberikannya kepada murid-murid-Nya sambil berkata, “Ambillah, ini tubuh-Ku.” Kemudian Dia mengambil cawan air anggur, dan selepas mengucap syukur, Dia memberikannya kepada mereka, lalu mereka semua minum dari cawan itu. Dia berkata kepada mereka, “Ini darah perjanjian-Ku yang ditumpahkan untuk ramai orang. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, Aku tidak akan minum air anggur lagi hinggalah pada hari Aku minum yang baru dalam kerajaan Allah.” Setelah menyanyikan sebuah lagu suci, mereka pun beredar ke Bukit Zaitun.