Markus 3
3
1Kemudian Yesus masuk semula ke saumaah.#3:1 Saumaah: Tempat ibadat bani Israel. Juga dikenali sebagai rumah ibadat. Di situ ada seorang yang lumpuh sebelah tangannya. 2Ada beberapa orang cuba mencari alasan untuk menuduh Yesus. Oleh itu, mereka mengawasi Yesus sama ada Dia menyembuhkan orang itu pada hari Sabat. 3Yesus berkata kepada orang yang lumpuh sebelah tangannya itu, “Berdiri, marilah ke depan.” 4Kemudian Dia menyoal orang di situ, “Manakah yang boleh kita lakukan pada hari Sabat: berbuat baik atau berbuat jahat? Menyelamatkan atau membinasakan nyawa?” Tetapi semuanya berdiam diri.
5Yesus memandang orang di sekeliling-Nya dengan rasa marah dan amat dukacita dengan mereka yang begitu keras hati. Lalu Dia berkata kepada orang yang lumpuh sebelah tangannya itu, “Hulurkan tanganmu.” Orang itu pun menghulurkan tangannya yang lumpuh, lalu tangan itu terus sembuh. 6Orang Farisi keluar dari situ lalu segera berpakat dengan beberapa anggota golongan Herodes untuk membunuh Yesus.
Orang ramai mengikut Yesus
7Yesus beredar ke laut bersama murid-murid-Nya. Ramai orang Galilea datang kepada-Nya. Ada yang dari Yudea, 8Yerusalem, Idumea, seberang Sungai Yordan, dan sekitar Tirus dan Sidon. Mereka datang berduyun-duyun kerana mendengar segala yang telah dilakukan-Nya. 9#Mrk 4:1; Luk 5:1-3.Begitu ramainya orang sehingga Yesus menyuruh murid-Nya menyediakan perahu untuk-Nya supaya Dia tidak terhimpit. 10Ramai orang telah disembuhkan-Nya. Oleh itu, orang sakit berebut-rebut hendak menyentuh-Nya. 11Apabila orang yang dirasuk roh-roh jahat melihat-Nya, mereka sujud di hadapan-Nya lalu berseru, “Engkau Anak Allah.” 12Yesus melarang keras mereka mengatakan siapa Dia.
Yesus memanggil dua belas rasul
13Kemudian Yesus naik ke bukit. Dia memanggil semua orang yang dikehendaki-Nya lalu mereka datang kepada-Nya. 14Yesus memilih dua belas orang#3:14 Dua belas orang dikenali sebagai rasul. antara murid-Nya itu untuk menyertai-Nya dan untuk diutus-Nya memberitakan Injil 15serta dikurniai kuasa untuk menghalau roh-roh iblis.
16Dua belas orang yang dipilih-Nya itu ialah: Simon (yang juga diberi-Nya nama Petrus); 17Yakobus dan saudaranya Yohanes iaitu anak-anak Zebedeus (dua orang adik-beradik ini diberi-Nya nama Boanerges, yang bermakna Anak Petir); 18Andreas, Filipus, Bartolomeus, Matius, Tomas, Yakobus anak Alfeus, Tadeus, Simon orang Patriot 19dan juga Yudas Iskariot yang kelak mengkhianati-Nya.
Yesus dan Beelzebul
20Selepas itu, Yesus masuk ke sebuah rumah, tetapi begitu ramainya orang yang datang berkumpul semula sehingga Yesus dan murid-murid-Nya tidak sempat makan. 21Apabila keluarga Yesus mendengar perkara ini, mereka juga datang untuk mengambil-Nya apabila mendengar orang berkata, “Dia tidak siuman.”
22 # Mat 9:34; 10:25. Sebilangan ahli Taurat dari Yerusalem berkata, “Dia dirasuk Beelzebul! Dengan kuasa ketua roh iblis Dia menghalau roh-roh iblis.”
23Oleh itu, Yesus memanggil semua orang itu lalu bercakap melalui beberapa ibarat: “Bagaimana Iblis dapat menghalau Iblis? 24Kalau sebuah kerajaan berpecah belah, kerajaan itu tidak dapat bertahan. 25Dan jika sebuah keluarga#3:25 Keluarga merujuk kepada seisi rumah termasuk sanak saudara, pembantu rumah dan semua penghuni dalam rumah keluarga itu. berpecah belah, keluarga itu tidak dapat bertahan. 26Dan jika Iblis berontak melawan dirinya sendiri dan berpecah belah, dia tidak dapat bertahan; sudah sampailah saat kemusnahannya.
27Tiada siapa dapat memasuki rumah seorang yang gagah dan merampas harta bendanya, kecuali orang gagah itu dapat diikat dahulu.
28Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, segala dosa dan kata kufur manusia dapat diampunkan. 29#Luk 12:10.Tetapi sesiapa yang mengkufuri Roh Kudus tidak akan diampuni; dia bersalah kerana berbuat dosa kekal.” 30Yesus berkata demikian kerana ada orang berkata, “Dia dirasuk roh jahat.”
Yesus dan saudara-saudara-Nya
31Apabila ibu dan saudara-saudara Yesus tiba, mereka menanti di luar dan menyuruh orang memanggil-Nya. 32Pada waktu itu, orang ramai duduk di sekeliling Yesus berkata kepada-Nya, “Lihatlah! Ibu dan saudara-saudara-Mu ada di luar. Mereka hendak bertemu dengan-Mu.”
33Yesus menjawab, “Siapakah ibu-Ku? Siapakah saudara-saudara-Ku?” 34Dia memandang semua orang yang duduk di sekeliling-Nya lalu berkata, “Lihat, inilah ibu dan saudara-saudara-Ku! 35Sesiapa yang melakukan kehendak Allah, dialah saudara lelaki, saudara perempuan, dan ibu-Ku.”
Terpilih Sekarang Ini:
Markus 3: AVB
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Alkitab Versi Borneo
Hak cipta © 2015 Borneo Sabda Limited