Amsal 15
15
1Jawapan yang lemah lembut meredakan murka,
tetapi perkataan yang tajam membangkitkan amarah.
2Lidah orang arif menjadikan pengetahuan menarik,
tetapi mulut orang bodoh meluahkan kebodohan.
3TUHAN melihat segala-segalanya di mana-mana sahaja,
memperhatikan yang jahat dan yang baik.
4Lidah yang menenangkan ialah pokok hayat,
tetapi lidah yang memutarbelitkan mematahkan semangat.
5Orang bodoh menolak didikan ayahnya,
tetapi orang yang mengendahkan teguran memang bijaksana.
6Ada banyak harta benda di dalam rumah orang benar,
tetapi penghasilan orang durjana membawa kesusahan.
7Bibir orang bijaksana menyebarkan pengetahuan,
tetapi hati orang bodoh tidak demikian.
8Korban sembelihan orang durjana adalah kekejian bagi TUHAN,
tetapi doa orang yang tulus memang keredaan-Nya.
9Jalan orang durjana adalah kekejian bagi TUHAN,
tetapi Dia mengasihi orang yang mengejar perbenaran. #15:9 Perbenaran: Perkataan ini merujuk kepada tingkah laku yang jujur, benar dan baik.
10Hukuman yang keras menanti sesiapa yang meninggalkan jalan yang benar,
dan orang yang membenci teguran akan mati.
11Alam barzakh dan neraka terbuka di depan TUHAN,
lebih-lebih lagi hati anak-anak manusia!
12Pencemuh tidak menyukai orang yang memberikan teguran;
dia tidak mahu pergi menemui orang bijaksana.
13Hati yang gembira membuat wajah berseri,
tetapi ketika hati berduka, patahlah semangat.
14Hati orang yang berpengertian mencari pengetahuan,
tetapi mulut orang yang bebal menelan kebodohan.
15Bagi orang yang tertindas hari-harinya buruk belaka,
tetapi hati yang riang sentiasa berpesta.
16Lebih baik sedikit harta disertai dengan takut kepada TUHAN
daripada banyak harta disertai kekacauan.
17Lebih baik hidangan sayur di tempat wujudnya kasih,
daripada hidangan lembu gemuk disertai kebencian.
18Orang yang pemarah membangkitkan pertengkaran,
tetapi orang yang panjang sabar menenangkan pertikaian.
19Jalan si pemalas ibarat pagar duri,
tetapi jalan orang yang lurus hati sebuah lebuh raya.
20Anak yang bijaksana menyukakan ayahnya,
tetapi orang bodoh menghina ibunya.
21Kebodohan menjadi kesukaan bagi orang yang tidak berakal budi,
tetapi orang yang berpengertian berjalan lurus.
22Rancangan gagal kerana tidak ada nasihat,
tetapi berhasil dengan ramai penasihat.
23Seseorang bergembira kerana jawapan yang diberikannya,
dan alangkah baiknya kata-kata yang diucap tepat pada waktunya!
24Jalan kehidupan orang bijaksana menuju ke atas,
supaya dia menjauhi alam barzakh di bawah.
25TUHAN membongkar rumah orang yang sombong,
tetapi Dia mempertahankan batas tanah seorang balu.
26Fikiran orang durjana adalah kekejian bagi TUHAN,
tetapi perkataan yang menyenangkan suci bagi-Nya.
27Orang yang tamak akan laba haram menyusahkan rumah tangganya sendiri,
tetapi orang yang membenci rasuah akan hidup.
28Hati orang benar mempertimbangkan jawapannya,
tetapi mulut orang durjana meluahkan hal-hal yang jahat.
29TUHAN jauh daripada orang yang durjana,
tetapi doa orang benar didengar-Nya.
30Mata yang bercahaya menyukakan hati,
dan khabar baik menyegarkan tulang.
31Orang yang mengendahkan teguran yang membawa pada kehidupan
akan tinggal dalam kalangan bijaksana.
32Sesiapa menolak didikan, menghina diri sendiri,
tetapi sesiapa yang mengendahkan teguran memperoleh pengertian.
33Takut kepada TUHAN adalah didikan yang mendatangkan hikmah,
dan di sebalik kehormatan terdapat kerendahan hati.
Terpilih Sekarang Ini:
Amsal 15: AVB
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Alkitab Versi Borneo
Hak cipta © 2015 Borneo Sabda Limited