Lebih baik sepotong roti kering dengan kesentosaan
daripada jamuan makan serumah penuh dengan perbalahan.
Hamba yang bijaksana akan menguasai si anak yang membuat malu,
dan akan mendapat bahagian warisan sebagai salah seorang saudara anak itu.
Mangkuk pijar untuk perak dan relau untuk emas,
tetapi TUHAN menguji hati.
Orang yang berbuat jahat mematuhi ucapan bibir yang jahat,
dan si pembohong memasang telinga kepada lidah yang bertutur jahat.
Siapa mengolok-olokkan orang miskin, mencela Penciptanya,
dan sesiapa yang gembira kerana sesuatu bencana, tidak terlepas daripada hukuman.
Anak cucu mahkota bagi kalangan tua-tua,
dan kemuliaan anak-anak adalah leluhur mereka.
Bicara yang indah tidak patut bagi orang yang betul bendul,
apatah lagi bicara dusta bagi orang yang mulia.
Kepada pemberinya, rasuah itu bagaikan permata yang indah,
ke mana-mana pun dia berpaling, dia beruntung jua.
Sesiapa yang menutupi pelanggaran orang mengejar kasih,
tetapi orang yang mengungkit-ungkit sesuatu hal menceraikan sahabat yang karib.
Kesan sebuah herdikan lebih mendalam bagi orang yang berpengertian
melebihi seratus pukulan atas orang yang bebal.
Orang yang jahat memberontak hanya mencari kedurjanaan,
maka utusan yang bengis akan dikirim kepadanya.
Lebih baik bertemu dengan beruang yang kehilangan anak,
daripada bertemu dengan orang yang betul bendul dengan kebodohannya.
Bagi sesiapa yang membalas kebaikan dengan kejahatan,
kejahatan tidak akan meninggalkan rumahnya.
Permulaan pertengkaran adalah seperti membuka aliran air,
sebab itu berhentilah sebelum perbalahan meledak.
Membebaskan orang yang mungkar dan menyalahkan orang warak,
kedua-duanya adalah kekejian bagi TUHAN.
Apa gunanya wang di tangan orang bodoh,
kerana dia tidak berniat untuk mendapat hikmah?
Seorang sahabat menaruh kasih setiap waktu,
dan seorang saudara lahir untuk masa menghadapi kesukaran.
Orang yang tidak berakal budi membuat perjanjian menaja jamin,
dan menjadi penjamin bagi jirannya.
Orang yang menyukai pelanggaran suka juga kepada pertengkaran,
dan orang yang meninggikan pintunya menempah kehancuran.
Orang yang bengkok hatinya tidak akan mendapat kebajikan,
dan orang yang lidahnya berdolak-dalik akan jatuh ke dalam bencana.
Sesiapa yang mendapat anak yang bebal, mendapat duka,
dan ayah kepada si tolol tidak akan bersukacita.
Hati yang gembira adalah ubat yang baik,
tetapi semangat yang patah mengeringkan tulang.
Orang durjana menerima rasuah secara sembunyi-sembunyi
untuk menyelewengkan jalan keadilan.
Hikmah ada di hadapan orang yang berpengertian,
tetapi mata orang bodoh melayang sampai ke hujung bumi.
Anak yang bodoh mendukakan ayahnya,
dan memahitkan hati ibu yang melahirkannya.
Tidaklah baik menghukum orang benar,
atau menyesah orang yang mulia kerana ketulusannya.
Orang yang berpengetahuan mengawal kata-katanya,
dan orang yang berpengertian tenang jiwanya.
Orang bodoh pun disangka arif jika dia berdiam diri,
dan disangka cerdas jika dia mengatupkan bibirnya.