AMSAL 17:1-28
AMSAL 17:1-28 Alkitab Berita Baik (BM)
Lebih baik makan sesuap makanan dengan fikiran yang tenang, daripada makan jamuan besar di rumah yang penuh dengan pertengkaran. Hamba yang bijak akan menguasai anak tuannya yang mendatangkan malu, dan mewarisi sebahagian hartanya. Emas dan perak diuji oleh api, tetapi hati orang diuji oleh TUHAN. Orang jahat menyambut cadangan jahat, dan pembohong suka mendengar kata-kata dusta. Sesiapa yang mentertawakan orang miskin, menghina Allah yang mencipta mereka. Sesiapa yang gembira kerana kemalangan orang lain akan dihukum. Orang tua bangga akan cucu seperti anak bangga akan ibu bapa. Orang berhormat tidak patut berdusta, dan orang bodoh tidak dapat mengatakan yang berfaedah. Ada orang berpendapat bahawa rasuah dapat membuat keajaiban; mereka percaya segalanya terlaksana dengan rasuah. Jika ingin disukai orang, maafkanlah kesalahan yang dilakukan mereka. Membangkit-bangkit kesalahan akan memutuskan persahabatan. Satu kali ditegur ajar lebih bererti bagi orang bijak, daripada seratus kali cambukan pada orang bodoh. Maut datang seperti utusan yang kejam kepada orang jahat yang selalu menimbulkan kekacauan. Lebih baik berjumpa dengan beruang betina yang kehilangan anaknya, daripada berjumpa dengan orang bodoh yang sibuk dengan kebodohannya. Orang yang membalas kebaikan dengan kejahatan, tidak dapat membanteras kejahatan dari rumahnya. Permulaan pertengkaran bagaikan retak pada empangan; cegahlah pertengkaran sebelum bermula. TUHAN membenci perbuatan melepaskan orang jahat dan perbuatan menyalahkan orang yang tidak bersalah. Sia-sia sahaja orang bodoh menghabiskan wang mencari hikmat, kerana dia tidak berakal. Sahabat sentiasa saling mengasihi, dan sanak keluarga saling menanggung kesusahan. Hanya orang yang tidak berakal mahu menanggung hutang orang lain. Orang yang suka akan dosa suka bertengkar. Orang yang selalu bercakap besar mencari kesusahan. Orang yang menipu tidak akan bahagia; orang yang bermulut jahat mendapat celaka. Anak yang melakukan perbuatan bodoh menyusahkan dan menyedihkan hati ibu bapanya. Hati yang gembira menyihatkan badan; hati yang sedih melemahkan semangat. Hakim yang curang menerima rasuah dengan diam-diam dan tidak menjalankan keadilan. Tujuan orang bijak adalah memperoleh hikmat, tetapi tujuan orang bodoh tidak menentu. Anak yang bodoh menyedihkan hati bapanya dan mengesalkan hati ibunya. Tidaklah patut mendenda orang yang tidak bersalah, dan tidaklah adil menghukum orang yang baik. Orang yang berpengetahuan tidak banyak bercakap. Orang yang berpengertian sentiasa tenang. Orang bodoh pun mungkin dianggap bijak dan pandai jika mereka berdiam diri dan menutup mulut.
AMSAL 17:1-28 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Lebih baik sepotong roti kering dengan kesentosaan daripada jamuan makan serumah penuh dengan perbalahan. Hamba yang bijaksana akan menguasai si anak yang membuat malu, dan akan mendapat bahagian warisan sebagai salah seorang saudara anak itu. Mangkuk pijar untuk perak dan relau untuk emas, tetapi TUHAN menguji hati. Orang yang berbuat jahat mematuhi ucapan bibir yang jahat, dan si pembohong memasang telinga kepada lidah yang bertutur jahat. Siapa mengolok-olokkan orang miskin, mencela Penciptanya, dan sesiapa yang gembira kerana sesuatu bencana, tidak terlepas daripada hukuman. Anak cucu mahkota bagi kalangan tua-tua, dan kemuliaan anak-anak adalah leluhur mereka. Bicara yang indah tidak patut bagi orang yang betul bendul, apatah lagi bicara dusta bagi orang yang mulia. Kepada pemberinya, rasuah itu bagaikan permata yang indah, ke mana-mana pun dia berpaling, dia beruntung jua. Sesiapa yang menutupi pelanggaran orang mengejar kasih, tetapi orang yang mengungkit-ungkit sesuatu hal menceraikan sahabat yang karib. Kesan sebuah herdikan lebih mendalam bagi orang yang berpengertian melebihi seratus pukulan atas orang yang bebal. Orang yang jahat memberontak hanya mencari kedurjanaan, maka utusan yang bengis akan dikirim kepadanya. Lebih baik bertemu dengan beruang yang kehilangan anak, daripada bertemu dengan orang yang betul bendul dengan kebodohannya. Bagi sesiapa yang membalas kebaikan dengan kejahatan, kejahatan tidak akan meninggalkan rumahnya. Permulaan pertengkaran adalah seperti membuka aliran air, sebab itu berhentilah sebelum perbalahan meledak. Membebaskan orang yang mungkar dan menyalahkan orang warak, kedua-duanya adalah kekejian bagi TUHAN. Apa gunanya wang di tangan orang bodoh, kerana dia tidak berniat untuk mendapat hikmah? Seorang sahabat menaruh kasih setiap waktu, dan seorang saudara lahir untuk masa menghadapi kesukaran. Orang yang tidak berakal budi membuat perjanjian menaja jamin, dan menjadi penjamin bagi jirannya. Orang yang menyukai pelanggaran suka juga kepada pertengkaran, dan orang yang meninggikan pintunya menempah kehancuran. Orang yang bengkok hatinya tidak akan mendapat kebajikan, dan orang yang lidahnya berdolak-dalik akan jatuh ke dalam bencana. Sesiapa yang mendapat anak yang bebal, mendapat duka, dan ayah kepada si tolol tidak akan bersukacita. Hati yang gembira adalah ubat yang baik, tetapi semangat yang patah mengeringkan tulang. Orang durjana menerima rasuah secara sembunyi-sembunyi untuk menyelewengkan jalan keadilan. Hikmah ada di hadapan orang yang berpengertian, tetapi mata orang bodoh melayang sampai ke hujung bumi. Anak yang bodoh mendukakan ayahnya, dan memahitkan hati ibu yang melahirkannya. Tidaklah baik menghukum orang benar, atau menyesah orang yang mulia kerana ketulusannya. Orang yang berpengetahuan mengawal kata-katanya, dan orang yang berpengertian tenang jiwanya. Orang bodoh pun disangka arif jika dia berdiam diri, dan disangka cerdas jika dia mengatupkan bibirnya.