AMSAL 17

17
1Lebih baik makan sesuap makanan dengan fikiran yang tenang, daripada makan jamuan besar di rumah yang penuh dengan pertengkaran.
2Hamba yang bijak akan menguasai anak tuannya yang mendatangkan malu, dan mewarisi sebahagian hartanya.
3Emas dan perak diuji oleh api, tetapi hati orang diuji oleh TUHAN.
4Orang jahat menyambut cadangan jahat, dan pembohong suka mendengar kata-kata dusta.
5Sesiapa yang mentertawakan orang miskin, menghina Allah yang mencipta mereka. Sesiapa yang gembira kerana kemalangan orang lain akan dihukum.
6Orang tua bangga akan cucu seperti anak bangga akan ibu bapa.
7Orang berhormat tidak patut berdusta, dan orang bodoh tidak dapat mengatakan yang berfaedah.
8Ada orang berpendapat bahawa rasuah dapat membuat keajaiban; mereka percaya segalanya terlaksana dengan rasuah.
9Jika ingin disukai orang, maafkanlah kesalahan yang dilakukan mereka. Membangkit-bangkit kesalahan akan memutuskan persahabatan.
10Satu kali ditegur ajar lebih bererti bagi orang bijak, daripada seratus kali cambukan pada orang bodoh.
11Maut datang seperti utusan yang kejam kepada orang jahat yang selalu menimbulkan kekacauan.
12Lebih baik berjumpa dengan beruang betina yang kehilangan anaknya, daripada berjumpa dengan orang bodoh yang sibuk dengan kebodohannya.
13Orang yang membalas kebaikan dengan kejahatan, tidak dapat membanteras kejahatan dari rumahnya.
14Permulaan pertengkaran bagaikan retak pada empangan; cegahlah pertengkaran sebelum bermula.
15TUHAN membenci perbuatan melepaskan orang jahat dan perbuatan menyalahkan orang yang tidak bersalah.
16Sia-sia sahaja orang bodoh menghabiskan wang mencari hikmat, kerana dia tidak berakal.
17Sahabat sentiasa saling mengasihi, dan sanak keluarga saling menanggung kesusahan.
18Hanya orang yang tidak berakal mahu menanggung hutang orang lain.
19Orang yang suka akan dosa suka bertengkar. Orang yang selalu bercakap besar mencari kesusahan.
20Orang yang menipu tidak akan bahagia; orang yang bermulut jahat mendapat celaka.
21Anak yang melakukan perbuatan bodoh menyusahkan dan menyedihkan hati ibu bapanya.
22Hati yang gembira menyihatkan badan; hati yang sedih melemahkan semangat.
23Hakim yang curang menerima rasuah dengan diam-diam dan tidak menjalankan keadilan.
24Tujuan orang bijak adalah memperoleh hikmat, tetapi tujuan orang bodoh tidak menentu.
25Anak yang bodoh menyedihkan hati bapanya dan mengesalkan hati ibunya.
26Tidaklah patut mendenda orang yang tidak bersalah, dan tidaklah adil menghukum orang yang baik.
27Orang yang berpengetahuan tidak banyak bercakap. Orang yang berpengertian sentiasa tenang. 28Orang bodoh pun mungkin dianggap bijak dan pandai jika mereka berdiam diri dan menutup mulut.

Terpilih Sekarang Ini:

AMSAL 17: BM

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk