Amsal 23
23
1Apabila engkau duduk makan dengan seorang penguasa,
perhatikanlah baik-baik apa yang ada di hadapanmu.
2Tempatkanlah pisau pada lehermu,
jika engkau seorang yang rakus.
3Jangan ingini makanannya yang sedap,
kerana makanan itu tipuan.
4Jangan bersusah payah untuk menjadi kaya,
jadilah bijaksana dan batalkan niat sedemikian.
5Jika kaupandang sekilas, kekayaan itu lenyap,
kerana pasti akan bersayap
lalu terbang ke langit seperti rajawali.
6Jangan makan roti orang yang kikir,
dan jangan ingini makanannya yang sedap-sedap,
7kerana dia seperti orang yang selalu menghitung-hitung dalam hati.
Katanya kepadamu, “Makanlah dan minumlah,”
tetapi hatinya tidak tulus terhadapmu.
8Sepotong yang telah kaumakan akan kaumuntahkan,
dan sia-sia sahaja kata pujianmu yang manis itu.
9Jangan berkata-kata di telinga orang bodoh,
kerana dia akan menghina kata-katamu yang bijaksana.
10Jangan pindahkan batas tanah lama,
dan jangan masuki ladang anak-anak yatim,
11kerana Penebus mereka kuat,
dan Dia akan membela perkara mereka melawanmu.
12Arahkanlah hatimu kepada didikan,
dan telingamu kepada kata-kata pengetahuan.
13Jangan enggan menertibkan anakmu,
walaupun engkau memukulnya dengan rotan, dia tidak akan mati.
14Engkau memukul dia dengan rotan,
dan rohnya engkau selamatkan daripada alam barzakh.
15Hai anakku, jika hatimu bijaksana,
hatiku juga gembira.
16Batinku pun bersuka ria
ketika bibirmu berkata perkara benar.
17Janganlah hatimu menaruh hasad dengki terhadap orang yang berdosa,
tetapi takutlah kepada TUHAN selalu,
18kerana sesungguhnya ada masa depan,
dan pengharapanmu tidak akan putus.
19Dengarlah, hai anakku, dan jadilah bijaksana,
tujukanlah hatimu ke jalan yang benar.
20Jangan berada bersama-sama pemabuk
atau orang yang rakus makan daging,
21kerana peminum dan orang yang rakus menjadi miskin,
dan rasa mengantuk membuat orang berpakaian compang-camping.
22Dengarlah ayahmu, dia yang berolehmu,
dan janganlah menghina ibumu pada masa tuanya.
23Belilah kebenaran dan jangan menjualnya,
peroleh juga kebijaksanaan, didikan, dan pengertian.
24Ayah orang benar akan sangat gembira. Orang yang memiliki anak bijaksana akan bersukacita kerananya.
25Biarlah ayah dan ibumu bersukacita,
dan biarlah dia yang melahirkanmu bersukacita.
26Hai anakku, berikanlah hatimu kepadaku,
dan biarlah matamu menyukai jalan-jalanku.
27Kerana mulut perempuan lucah adalah lubang yang dalam,
dan perempuan penzina ialah sumur yang sempit.
28Bahkan dia menunggu seperti penyamun,
dan menambah jumlah pengkhianat dalam kalangan manusia.
29Siapa sengsara? Siapa menderita?
Siapa berbantah-bantah? Siapa yang mengeluh?
Siapa luka tanpa sebab? Siapa yang merah matanya?
30Mereka yang berlengah-lengah dengan air anggur,
dan yang pergi mencari air anggur campuran.
31Jangan lirik air anggur ketika merah warnanya,
meskipun berkilau-kilauan di dalam gelas,
dan akan dengan lancar mengalir masuk.
32Pada akhirnya air anggur itu memagut seperti ular,
dan menyemburkan racun seperti ular berbisa.
33Matamu akan melihat hal-hal yang aneh,
dan fikiranmu mengutarakan hal-hal yang kacau.
34Engkau akan seperti orang yang berbaring di tengah laut,
seperti orang yang berbaring di puncak tiang kapal.
35Engkau akan berkata, “Orang memukulku, tetapi aku tidak kesakitan,
orang memalu aku, tetapi aku tidak merasakannya.
Bila aku akan bangun?
Aku akan mencari air anggur lagi.”
Terpilih Sekarang Ini:
Amsal 23: AVB
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Alkitab Versi Borneo
Hak cipta © 2015 Borneo Sabda Limited