Mazmur 17:1-15

Mazmur 17:1-15 AVB

Dengarlah rayuanku memohon keadilan, ya TUHAN; dengarlah rintihanku. Dengarlah doaku yang bukan daripada bibir dusta, Pertahankanlah kebenaranku dari hadirat-Mu; semoga mata-Mu melihat apa yang benar. Engkau telah menguji hatiku dan menelitiku pada waktu malam, Engkau telah mendugaku dan tidak menemui kecelaan; aku telah berazam memelihara lidahku daripada dosa. Perihal perbuatan manusia — menurut kata-kata yang Engkau ucapkan aku taat akan perintah-Mu; aku menjauhi segala jalan orang yang ganas. Langkahku tetap di jalan-Mu; dan kakiku tidak tergelincir. Aku menyeru-Mu kerana Engkau akan mendengarku, ya Allah; dengarlah, dengarlah kata-kataku ini. Tunjukkan kasih-Mu yang agung, dengan tangan kanan-Mu yang menyelamatkan semua yang bernaung kepada-Mu daripada mereka yang cuba meruntuhkan. Peliharakanlah aku sebagai kesayangan-Mu; lindungi aku di bawah naungan-Mu daripada orang zalim yang menyerangku, daripada musuh pemusnah yang mengepungku. Mereka telah menutup hati daripada kebaikan, mereka menuturkan kata-kata angkuh. Sekarang mereka mengepungku pada setiap langkah, mereka merenung sambil menjongkok di bumi. Seperti singa yang ingin mengoyak-ngoyak mangsa, seperti singa muda mengendap di tempat rahsia. Bangkitlah, ya TUHAN, hadapi dan tumbangkan musuhku; selamatkan nyawaku daripada orang zalim dengan pedang-Mu. Dengan tangan-Mu, selamatkan aku daripada manusia sebegitu, ya TUHAN, daripada manusia duniawi yang mengumpul harta dalam hidup ini. Kaukenyangkan perut mereka yang Kaupelihara; anak-anak mereka cukup puas, dan mereka meninggalkan pusaka kepada zuriat. Tetapi dalam perbenaran aku akan melihat wajah-Mu; aku akan bahagia sepenuhnya apabila terjaga di hadirat-Mu.