MAZMUR 17:1-15

MAZMUR 17:1-15 Alkitab Berita Baik (BM)

Doa Daud. Dengarlah rayuanku, ya TUHAN, permintaanku untuk keadilan. Perhatikanlah tangisanku, dengarkanlah doaku yang tulus. Engkau akan membela aku, kerana Engkau tahu apa yang benar. Engkau mengenal hatiku. Apabila Engkau datang kepadaku pada waktu malam, dan memeriksa aku dengan teliti, tidak akan Kaudapati niat yang jahat pada diriku. Aku tidak mengatakan yang jahat, seperti orang lain; aku mentaati perintah-Mu dan tidak melakukan keganasan. Aku selalu hidup menurut petunjuk-Mu dan tidak pernah menyeleweng. Aku berdoa kepada-Mu, ya Allah, kerana Engkau menjawab aku; oleh itu berpalinglah kepadaku dan dengarkanlah kata-kataku. Tunjukkanlah kasih-Mu yang mengagumkan, dan selamatkanlah orang yang berlindung kepada-Mu; di sisi-Mu, aku selamat daripada segala musuh. Lindungilah aku, seperti biji mata-Mu sendiri; sembunyikanlah aku di bawah naungan sayap-Mu, lindungilah aku daripada orang jahat yang menyerang aku. Musuh yang mengancam nyawaku mengelilingi aku; mereka bercakap sombong dan tidak berbelas kasihan. Mereka mengejar dan mengepung aku, mencari peluang untuk menjatuhkan aku. Mereka bagaikan singa yang menunggu hendak menyiat aku, seperti anak singa yang bersembunyi menantikan aku. Bangkitlah, ya TUHAN, lawanlah dan kalahkanlah musuhku! Selamatkanlah aku daripada orang jahat dengan pedang-Mu. Selamatkanlah aku daripada orang yang menimbun harta di dunia. Hukumlah mereka dengan penderitaan yang telah Engkau sediakan untuk mereka; biarlah anak cucu mereka dihukum juga. Aku akan melihat Engkau kerana aku tidak bersalah; dan apabila aku terjaga, hadirat-Mu membuat hatiku gembira.

MAZMUR 17:1-15 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Dengarlah rayuanku memohon keadilan, ya TUHAN; dengarlah rintihanku. Dengarlah doaku yang bukan daripada bibir dusta, Pertahankanlah kebenaranku dari hadirat-Mu; semoga mata-Mu melihat apa yang benar. Engkau telah menguji hatiku dan menelitiku pada waktu malam, Engkau telah mendugaku dan tidak menemui kecelaan; aku telah berazam memelihara lidahku daripada dosa. Perihal perbuatan manusia — menurut kata-kata yang Engkau ucapkan aku taat akan perintah-Mu; aku menjauhi segala jalan orang yang ganas. Langkahku tetap di jalan-Mu; dan kakiku tidak tergelincir. Aku menyeru-Mu kerana Engkau akan mendengarku, ya Allah; dengarlah, dengarlah kata-kataku ini. Tunjukkan kasih-Mu yang agung, dengan tangan kanan-Mu yang menyelamatkan semua yang bernaung kepada-Mu daripada mereka yang cuba meruntuhkan. Peliharakanlah aku sebagai kesayangan-Mu; lindungi aku di bawah naungan-Mu daripada orang zalim yang menyerangku, daripada musuh pemusnah yang mengepungku. Mereka telah menutup hati daripada kebaikan, mereka menuturkan kata-kata angkuh. Sekarang mereka mengepungku pada setiap langkah, mereka merenung sambil menjongkok di bumi. Seperti singa yang ingin mengoyak-ngoyak mangsa, seperti singa muda mengendap di tempat rahsia. Bangkitlah, ya TUHAN, hadapi dan tumbangkan musuhku; selamatkan nyawaku daripada orang zalim dengan pedang-Mu. Dengan tangan-Mu, selamatkan aku daripada manusia sebegitu, ya TUHAN, daripada manusia duniawi yang mengumpul harta dalam hidup ini. Kaukenyangkan perut mereka yang Kaupelihara; anak-anak mereka cukup puas, dan mereka meninggalkan pusaka kepada zuriat. Tetapi dalam perbenaran aku akan melihat wajah-Mu; aku akan bahagia sepenuhnya apabila terjaga di hadirat-Mu.