Mazmur 90

90
Doa Musa, pengikut Allah.
1Tuhan, Engkaulah tempat kami menetap turun-temurun.
2Sebelum gunung-ganang diwujudkan
atau Engkau membentuk bumi dan dunia, dari selama-lamanya hingga selama-lamanya, Engkau ialah Allah.
3Engkau memalingkan manusia terhadap pemusnahan, dan berkata,
“Pulanglah, hai anak-anak manusia.”
4 # 2Ptr 3:8. Kerana seribu tahun pada pandangan-Mu
ialah seperti satu hari yang berlalu, dan seperti sebahagian malam.
5Engkau membawa mereka pergi seperti banjir, mereka seperti tidur;
pada waktu pagi mereka seperti rumput yang tumbuh —
6pada waktu pagi ia subur dan tumbuh,
pada waktu petang ia ditebas dan layu.
7Kerana kami telah dibakar oleh kemarahan-Mu
dan kami ketakutan kerana kemurkaan-Mu.
8Engkau telah membentangkan dosa kami di hadapan-Mu,
segala kesalahan rahsia kami dalam pancaran sinar wajah-Mu.
9Hari demi hari kami lalui dalam kemurkaan-Mu;
tahun demi tahun kami akhiri dengan keluhan.
10 # Sir 18:8,9. Hidup kami hanyalah tujuh puluh tahun —
dan jika kerana kekuatan usia kami mencapai lapan puluh tahun;
tiada kemegahannya kecuali penat lelah dan sedih pilu,
kerana sebentar sahaja nyawa pun diragut lalu kami melayang pergi.
11Siapa yang tahu akan kuasa kemarahan-Mu?
Kerana seperti ketakutan kepada-Mu, demikianlah kemurkaan-Mu.
12Oleh itu, ajarlah kami menghitung hari kehidupan kami,
supaya hati kami bijaksana.
13Kembalilah, ya TUHAN! Berapa lama?
Berikanlah belas kasih kepada hamba-Mu.
14Segera limpahkan kasih setia-Mu kepada kami,
supaya kami bergembira dan bersukacita seumur hidup.
15Biarlah kami bersukacita sama panjangnya dengan masa kami Kauazabkan,
tahun-tahun kami menemui kedurjanaan.
16Biarlah perbuatan-Mu dilihat oleh hamba-hamba-Mu,
dan kemuliaan-Mu oleh anak-anak mereka.
17Dan biarlah berkat Tuhan, Allah kami, turun ke atas kami;
dan meneguhkan kerja tangan kami — ya, meneguhkan kerja tangan kita.

Terpilih Sekarang Ini:

Mazmur 90: AVB

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk