KISAH RASUL-RASUL 18
18
Di Korintus
1Setelah itu Paulus meninggalkan Atena dan pergi ke Korintus. 2Di situ dia berjumpa dengan seorang Yahudi bernama Akwila, yang dilahirkan di negeri Pontus. Akwila baru sahaja datang dari Italia dengan isterinya, Priskila. Mereka datang ke Korintus kerana Kaisar Klaudius mengusir semua orang Yahudi dari Roma. Paulus pergi menjumpai Akwila dan Priskila, 3lalu tinggal dan bekerja bersama-sama mereka, kerana mereka dan Paulus sama-sama menyara hidup dengan membuat khemah. 4Setiap hari Sabat, Paulus mengadakan perbincangan dengan orang yang berkumpul di rumah ibadat untuk meyakinkan orang Yahudi mahupun orang Yunani tentang Yesus.
5Setelah Silas dan Timotius tiba dari Makedonia, Paulus menggunakan seluruh masanya untuk memberitakan perkhabaran daripada Allah. Dia memberikan kesaksian kepada orang Yahudi bahawa Yesus Penyelamat yang diutus oleh Allah. 6Tetapi mereka menentang dan menghina Paulus. Oleh itu Paulus mengebaskan debu daripada pakaiannya sebagai amaran kepada mereka dan berkata, “Jika kamu binasa, kamu sendiri yang bertanggungjawab. Aku tidak bertanggungjawab terhadap hal itu. Mulai sekarang aku akan pergi kepada orang bukan Yahudi.” 7Lalu Paulus meninggalkan mereka dan pergi tinggal di rumah seorang bukan Yahudi yang bernama Titius Yustus. Dia menyembah Allah, dan rumahnya di sebelah rumah ibadat itu. 8Krispus, ketua rumah ibadat itu dengan semua anggota keluarganya percaya kepada Tuhan Yesus. Banyak orang lain di Korintus juga mendengar berita daripada Allah, dan mereka percaya kepada Yesus lalu dibaptis.
9Pada suatu malam dalam suatu penglihatan, Tuhan berfirman kepada Paulus, “Janganlah takut! Berkata-katalah terus dan jangan berhenti, 10kerana Aku menyertai engkau. Tidak seorang pun dapat mencederakan engkau, kerana banyak orang di kota ini umat-Ku.” 11Oleh itu Paulus tinggal di Korintus selama setahun setengah, dan mengajarkan perkhabaran daripada Allah kepada orang di situ.
12Semasa Galio menjadi gabenor negeri Akhaya, orang Yahudi bersatu padu untuk menangkap Paulus dan membawa dia ke hadapan gabenor untuk diadili. 13Mereka mengajukan tuduhan ini, “Orang ini berusaha mempengaruhi orang ramai supaya menyembah Allah dengan cara yang bertentangan dengan hukum kami!”
14Apabila Paulus hendak menjawab, Galio berkata kepada orang Yahudi di situ, “Jika perkara ini tentang kesalahan atau perbuatan jenayah, bolehlah aku bersabar dan mendengarkan aduan kamu. 15Tetapi kamu bertengkar tentang kata dan nama serta hukum kamu sendiri. Oleh itu kamu harus menyelesaikan masalah itu sendiri. Aku tidak mahu mengadili perkara semacam ini!” 16Lalu Galio mengusir mereka ke luar. 17Kemudian mereka menangkap Sostenes, ketua rumah ibadat itu lalu memukul dia di hadapan mahkamah. Tetapi Galio sama sekali tidak mempedulikan hal itu.
Paulus Kembali ke Antiokhia
18 #
Bil 6.18
Paulus tinggal dengan pengikut Yesus di Korintus selama beberapa hari lagi. Kemudian dia meninggalkan mereka lalu belayar dengan Priskila dan Akwila ke Siria. Sebelum bertolak, Paulus mencukur rambutnya di Kengkrea kerana telah bernazar.#bernazar: Menurut kebiasaan Yahudi, mencukur rambut adalah tanda bahawa apa yang dijanjikan kepada Allah sudah dilakukan. 19Apabila mereka tiba di Efesus, Paulus meninggalkan Priskila dan Akwila. Kemudian dia masuk ke rumah ibadat dan mengadakan perbincangan dengan orang Yahudi. 20Mereka meminta supaya Paulus tinggal lebih lama di situ, tetapi Paulus tidak mahu. 21Pada waktu berangkat, Paulus berkata kepada mereka, “Jika diperkenankan oleh Allah, aku akan kembali.” Setelah itu dia belayar dari Efesus.
22Apabila dia tiba di Kaisarea, dia melanjutkan perjalanan ke Yerusalem untuk memberikan salam kepada jemaah di situ, lalu dia pergi ke Antiokhia. 23Setelah tinggal beberapa lama di Antiokhia dia mengunjungi daerah Galatia dan Frigia untuk meneguhkan iman semua pengikut Yesus di situ.
Apolos di Efesus dan Korintus
24Pada waktu itu seorang Yahudi bernama Apolos, yang lahir di Aleksandria, datang ke Efesus. Dia pandai berpidato dan sangat memahami isi Alkitab. 25Dia telah mendalami ajaran tentang Yesus. Dengan penuh kesungguhan, dia mengisytiharkan dan mengajarkan ajaran tentang Yesus dengan betul. Tetapi dia hanya mengetahui baptisan yang diajarkan oleh Yohanes. 26Dengan berani Apolos mula berkata-kata di rumah ibadat. Apabila Priskila dan Akwila mendengar dia, mereka membawa dia ke rumah. Mereka menerangkan penyelamatan Allah melalui Yesus dengan lebih tepat lagi. 27Kemudian Apolos mahu pergi ke Akhaya. Oleh itu pengikut Yesus di Efesus menolong dia dengan menulis sepucuk surat kepada pengikut Yesus di Akhaya, supaya mereka menyambut Apolos. Apabila Apolos tiba di situ, dia sangat menolong orang yang dengan rahmat Allah, percaya kepada Yesus. 28Dengan penuh wibawa Apolos mengalahkan orang Yahudi dalam perdebatan di hadapan umum. Dengan mengutip ayat-ayat Alkitab, dia membuktikan bahawa Yesus Penyelamat yang diutus oleh Allah.
Terpilih Sekarang Ini:
KISAH RASUL-RASUL 18: BMDC
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.