KEJADIAN 34

34
Dina Dirogol
1Pada suatu hari, Dina, anak perempuan Yakub dan Lea, mengunjungi beberapa orang wanita Kanaan. 2Apabila Sikhem nampak Dina, dia melarikan gadis itu lalu merogolnya. Sikhem ialah anak lelaki Hamor, orang Hewi yang menjadi pemerintah di wilayah itu. 3Tetapi Sikhem sangat tertarik kepada Dina sehingga jatuh cinta kepadanya. Dia berusaha supaya gadis itu mencintainya pula.#Dia berusaha supaya gadis itu mencintainya pula; atau menghiburnya. 4Sikhem berkata kepada bapanya, “Saya mohon supaya ayah berusaha mendapatkan gadis itu bagi saya. Saya ingin mengahwininya.”
5Yakub mendengar bahawa anak perempuannya sudah dicabul kehormatannya, tetapi anak-anak lelaki Yakub sedang menjaga ternakannya di padang. Oleh itu dia tidak dapat mengambil tindakan apa-apa sebelum mereka pulang.
6Hamor, bapa Sikhem, datang kepada Yakub untuk berunding dengan dia. 7Pada masa itu juga anak-anak lelaki Yakub pulang dari padang. Setelah mendengar peristiwa itu, mereka terkejut dan sangat marah kerana dengan merogol anak perempuan Yakub, Sikhem sudah menghina semua orang Israel. 8Hamor berkata kepada Yakub, “Sikhem, anak saya sudah jatuh cinta kepada anak perempuan tuan; saya mohon supaya tuan mengizinkan anak saya berkahwin dengan dia. 9Marilah kita membuat persetujuan bahawa bangsa tuan dan bangsa kami kahwin campur. 10Dengan demikian tuan boleh tinggal bersama dengan kami di negeri ini, di mana sahaja tuan suka. Tuan boleh berdagang dengan bebas dan memiliki harta benda.”
11Kemudian Sikhem berkata kepada bapa Dina serta abang-abangnya, “Penuhilah permintaan saya ini, maka saya akan memberikan apa yang saudara-saudara mahu. 12Katakanlah hadiah apa yang saudara-saudara inginkan, dan tentukanlah mas kahwinnya. Saya akan memberikan apa yang saudara-saudara minta, asal sahaja saudara-saudara membenarkan saya berkahwin dengan gadis itu.”
13Oleh sebab Sikhem sudah mencabul kehormatan Dina, adik mereka, anak-anak lelaki Yakub berbohong kepada Sikhem dan Hamor, bapanya. 14Mereka berkata kepada kedua-dua orang itu, “Kami malu membenarkan adik kami berkahwin dengan orang yang tidak bersunat. 15Kami hanya dapat menyetujui permintaanmu itu dengan satu syarat: kamu mesti menjadi seperti kami; semua orang lelaki di kalangan kamu mesti disunat. 16Setelah itu, kami akan menyetujui cadangan kamu tentang kahwin campur. Kami akan tinggal bersama dengan kamu, dan menjadi satu bangsa dengan kamu. 17Tetapi jika kamu tidak mahu menerima syarat kami, dan tidak mahu disunat, kami akan mengambil balik gadis itu, lalu pergi.”
18Hamor dan Sikhem berpendapat bahawa syarat itu berpatutan. 19Oleh itu Sikhem bersedia memenuhi syarat itu dengan segera kerana dia mencintai Dina. Di kalangan kaum keluarganya, Sikhemlah yang paling penting.
20Kemudian Hamor dan Sikhem pergi ke tempat pertemuan di pintu gerbang kota, lalu berkata kepada penduduk kota, 21“Orang Israel sahabat kita. Oleh itu biarlah mereka tinggal di negeri ini bersama dengan kita serta bebas pergi ke mana saja mereka suka. Negeri ini cukup luas bagi mereka juga. Kita boleh berkahwin dengan gadis-gadis mereka, dan mereka pun boleh berkahwin dengan gadis-gadis kita. 22Tetapi orang Israel hanya mahu tinggal bersama dengan kita dan menjadi satu bangsa dengan kita dengan satu syarat: Semua orang lelaki di kalangan kita harus disunat seperti mereka. 23Dengan itu semua kawanan binatang dan harta benda mereka akan menjadi kepunyaan kita. Marilah kita menyetujui permintaan mereka supaya mereka tinggal bersama dengan kita.” 24Semua penduduk kota yang berkumpul menyetujui cadangan Hamor dan Sikhem, lalu semua orang lelaki disunat.
25Tiga hari kemudian, ketika semua orang lelaki masih kesakitan kerana disunat, dua orang anak Yakub, iaitu abang Dina yang bernama Simeon dan Lewi, mengambil pedang mereka lalu dengan diam-diam masuk ke dalam kota. Mereka membunuh semua orang lelaki di situ, 26termasuk Hamor dan Sikhem. Kemudian mereka mengambil Dina dari rumah Sikhem, lalu pergi. 27Setelah pembunuhan itu, anak-anak lelaki Yakub yang lain merompak kota itu untuk membalas dendam kerana adik mereka sudah dicabul kehormatannya. 28Mereka merampas kawanan kambing dan domba, lembu, keldai dan segala yang ada di dalam kota dan di padang. 29Mereka mengambil segala barang yang berharga, menawan semua wanita dan anak-anak, serta merampas segala isi rumah di kota itu.
30Yakub berkata kepada Simeon dan Lewi, “Kamu menyusahkan aku. Sekarang orang Kanaan dan orang Feris serta semua penduduk negeri ini akan membenci aku. Orang kita tidak banyak; jika semua penduduk itu bersekutu untuk melawan dan menyerang aku, seluruh keluarga kita akan dibinasakan.”
31Tetapi mereka menjawab, “Kami tidak dapat membiarkan adik kami diperlakukan sebagai seorang pelacur.”

Terpilih Sekarang Ini:

KEJADIAN 34: BMDC

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk