YOHANES 20
20
Kubur yang Kosong
(Mat 28.1-8; Mrk 16.1-8; Luk 24.1-12)
1Pada pagi hari Minggu, semasa masih gelap, Maria Magdalena pergi ke kubur. Dia melihat batu penutup sudah digulingkan dari lubang kubur itu. 2Oleh itu, dia lari mencari Simon Petrus dan pengikut lain yang dikasihi oleh Yesus, lalu berkata kepada mereka, “Jenazah Tuhan telah diambil dari kubur dan kami tidak mengetahui tempat Dia diletakkan!”
3Lalu Petrus dan pengikut lain itu pergi ke kubur. 4Kedua-duanya berlari, tetapi pengikut lain itu mendahului Petrus dan tiba lebih awal di kubur. 5Dia menjenguk ke dalam dan nampak kain linen di situ, tetapi dia tidak masuk ke dalam kubur. 6Simon Petrus menyusul dari belakang; dia terus masuk ke dalam kubur itu. Dia nampak kain linen terletak di situ, 7dan juga kain yang diikatkan pada kepala Yesus. Tetapi kain pengikat kepala itu tergulung tersendiri. 8Kemudian pengikut lain itu yang lebih dahulu tiba di kubur, juga masuk. Dia melihat semuanya dan percaya. ( 9Meskipun demikian mereka masih belum memahami apa yang tertulis di dalam Alkitab bahawa Dia harus bangkit daripada kematian.) 10Kemudian pengikut-pengikut Yesus itu pulang.
Yesus Menampakkan Diri kepada Maria Magdalena
(Mat 28.9-10; Mrk 16.9-11)
11Maria berdiri sambil menangis di hadapan kubur. Sambil menangis dia menjenguk ke dalam kubur itu. 12Dia melihat dua malaikat berpakaian putih, duduk di tempat jenazah Yesus dibaringkan dahulu, satu malaikat pada sebelah kepala dan satu lagi pada sebelah kaki. 13Malaikat-malaikat ini bertanya kepadanya, “Puan, mengapa menangis?”
Maria menjawab, “Jenazah Tuhan saya telah diambil dan saya tidak mengetahui tempat Dia diletakkan!”
14Setelah berkata demikian, Maria berpaling dan nampak Yesus berdiri di situ. Tetapi Maria tidak tahu bahawa Dia Yesus. 15Yesus bertanya kepadanya, “Puan, mengapa menangis? Siapakah yang puan cari?”
Maria menyangka Dia itu tukang kebun. Oleh itu Maria berkata, “Tuan, jika tuan sudah memindahkan jenazah Yesus, beritahulah saya tempat tuan meletakkan jenazah-Nya, supaya saya boleh pergi mengambil jenazah-Nya.”
16Yesus berkata kepadanya, “Maria!”
Maria berpaling kepada Yesus lalu berkata dalam bahasa Ibrani, “Rabbuni!” (yang bererti “guru”).
17Tetapi Yesus berkata kepadanya, “Jangan pegang Aku, kerana Aku belum lagi kembali kepada Bapa. Pergilah kepada pengikut-pengikut-Ku dan beritahu mereka bahawa sekarang Aku sedang kembali kepada Bapa-Ku dan Bapamu, kepada Allah-Ku dan Allahmu.”
18Oleh itu, Maria pergi memberitahu pengikut-pengikut Yesus bahawa dia sudah melihat Tuhan dan bahawa Tuhan berkata demikian kepadanya.
Yesus Menampakkan Diri kepada Pengikut-Pengikut-Nya
(Mat 28.16-20; Mrk 16.14-18; Luk 24.36-49)
19Pada hari Minggu itu juga, apabila hari sudah petang, pengikut-pengikut Yesus berkumpul di sebuah rumah dengan pintu yang terkunci, kerana mereka takut akan para penguasa Yahudi. Kemudian Yesus datang berdiri di tengah-tengah mereka dan berkata, “Salam sejahtera!” 20Setelah berkata demikian, Dia menunjukkan tangan dan rusuk-Nya kepada mereka. Barulah mereka bersukacita melihat Tuhan. 21Yesus berkata kepada mereka lagi, “Salam sejahtera! Sebagaimana Bapa mengutus Aku, demikian juga Aku mengutus kamu.” 22Kemudian Yesus menghembuskan nafas-Nya kepada mereka dan berkata, “Terimalah Roh Allah. 23#Mat 16.19, 18.18 Sesiapa yang dosanya kamu ampunkan, orang itu diampuni oleh Allah. Sesiapa yang dosanya tidak kamu ampunkan, orang itu tidak diampuni oleh Allah.”
Yesus dan Tomas
24Tomas (yang disebut Si Kembar), seorang daripada dua belas orang pengikut Yesus, tidak bersama-sama mereka ketika Yesus datang. 25Oleh itu, pengikut-pengikut lain memberitahu Tomas, “Kami sudah melihat Tuhan!”
Tetapi Tomas menjawab, “Kecuali aku melihat bekas paku pada tangan-Nya dan meletakkan jariku pada bekas luka itu, serta meletakkan tanganku pada rusuk-Nya, aku tidak mahu percaya.”
26Seminggu kemudian, pengikut-pengikut Yesus berkumpul lagi di tempat itu dan Tomas hadir juga. Semua pintu terkunci, tetapi Yesus datang dan berdiri di tengah-tengah mereka lalu berkata, “Salam sejahtera!” 27Kemudian Yesus berkata kepada Tomas, “Letakkanlah jarimu di sini, dan lihatlah tangan-Ku. Hulurkanlah tanganmu dan letakkanlah pada rusuk-Ku. Janganlah ragu-ragu lagi, tetapi percayalah!”
28Tomas berkata kepada Yesus, “Ya Tuhanku! Ya Allahku!”
29Yesus berkata kepadanya, “Adakah kamu percaya kerana kamu sudah melihat Aku? Berbahagialah orang yang percaya meskipun tidak melihat Aku!”
Tujuan Kitab Ini
30Banyak lagi mukjizat lain yang dilakukan oleh Yesus di hadapan pengikut-pengikut-Nya, tetapi tidak ditulis di dalam kitab ini. 31Tetapi semua ini ditulis supaya kamu percaya bahawa Yesus Anak Allah, Penyelamat yang diutus oleh Allah, dan kerana kamu percaya kepada-Nya, kamu beroleh hidup sejati.
Terpilih Sekarang Ini:
YOHANES 20: BMDC
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.