1 TAWARIKH 21
21
Raja Daud Mengadakan Pembancian Penduduk
(2 Sam 24.1-25)
1Iblis hendak menyusahkan orang Israel; oleh itu dia membujuk Raja Daud supaya membanci penduduk Israel. 2Raja Daud memerintah Yoab dan pegawai-pegawainya yang lain, “Bancilah penduduk di seluruh pelosok Israel, kerana beta ingin tahu jumlah rakyat Israel.”
3Yoab menjawab, “Semoga TUHAN melipatgandakan bilangan rakyat Israel sampai seratus kali ganda daripada bilangan yang ada sekarang ini. Tuanku, tidakkah jelas bahawa mereka takluk kepada tuanku? Mengapa harus mengadakan pembancian? Nanti, kerana kesalahan itu, segenap bangsa akan menanggung akibatnya!” 4Namun raja tetap berpegang pada perintahnya, maka Yoab pergi ke seluruh pelosok Israel, kemudian kembali ke Yerusalem. 5Yoab melaporkan hasil pembancian itu kepada Raja Daud. Jumlah lelaki yang memenuhi syarat untuk masuk tentera adalah 1,100,000 orang di Israel dan 470,000 orang di Yehuda. 6Tetapi suku Lewi dan suku Benyamin tidak termasuk jumlah itu. Yoab tidak membanci mereka kerana dia tidak bersetuju dengan perintah raja itu.
7Allah murka kerana apa yang telah berlaku, maka Dia menghukum orang Israel. 8Kemudian Raja Daud berdoa kepada Allah, “Ya Allah, aku sudah melakukan dosa besar! Ampunilah aku, kerana tindakanku itu sangat bodoh.”
9Kemudian TUHAN berfirman kepada Gad, nabi yang berkhidmat kepada Raja Daud, 10“Pergilah beritahu Raja Daud bahawa Aku memberi dia tiga pilihan. Apa sahaja yang dipilihnya akan Kulakukan.”
11Gad menghadap Raja Daud dan menyampaikan firman TUHAN itu, katanya, “Yang mana satu pilihan tuanku? 12Negeri ini ditimpa bencana kebuluran selama tiga tahun, atau tuanku lari dikejar musuh selama tiga bulan, atau selama tiga hari seluruh negeri ini diserang oleh TUHAN dengan pedang-Nya yang berupa wabak dan malaikat-Nya membawa maut ke serata tempat. Jawapan apakah yang harus hamba sampaikan kepada TUHAN?”
13Raja Daud bertitah kepada Gad, “Keadaan beta sungguh terdesak! Janganlah manusia menghukum beta. Lebih baik TUHAN sendiri yang menghukum beta, kerana rahmat-Nya besar.”
14Oleh itu TUHAN mendatangkan wabak kepada orang Israel sehingga 70,000 orang antara mereka mati. 15Kemudian TUHAN mengutus satu malaikat untuk memusnahkan Yerusalem. Tetapi ketika malaikat itu berada dekat tempat mengirik gandum kepunyaan Arauna orang Yebusi, TUHAN mengubah keputusan-Nya untuk menghukum Yerusalem. Dia berfirman kepada malaikat itu, “Cukuplah! Berhenti!”
16Raja Daud nampak malaikat itu berdiri di antara langit dan bumi, sambil memegang pedang yang terhunus, sedia untuk memusnahkan Yerusalem. Maka Raja Daud dan para pemimpin, yang berpakaian kain guni sebagai tanda menyesal, sujud ke tanah. 17Raja Daud berdoa, “Ya Allah, akulah yang bersalah. Akulah yang menyuruh orang mengadakan pembancian itu. Apakah kesalahan bangsa ini? Ya TUHAN, Allahku, hukumlah aku dan keluargaku, tetapi jauhkanlah malapetaka ini daripada umat-Mu.”
18Kemudian malaikat TUHAN menyuruh Gad memberitahu Raja Daud supaya pergi ke tempat mengirik gandum kepunyaan Arauna dan mendirikan mazbah bagi TUHAN di situ. 19Oleh itu Raja Daud pergi menurut perintah TUHAN yang disampaikan oleh Gad kepadanya. 20Di tempat mengirik gandum, Arauna dan empat orang anak lelakinya sedang mengirik gandum. Apabila mereka nampak malaikat itu, keempat-empat orang anak Arauna lari menyembunyikan diri. 21Ketika Arauna nampak Raja Daud datang, dia menyambut baginda dan sujud di hadapan baginda. 22Raja Daud bertitah kepadanya, “Beta mahu mendirikan mazbah untuk TUHAN di tempat ini. Oleh itu juallah tanah ini kepada beta. Katakanlah berapa harganya, dan beta akan membayarnya.”
23“Tuanku, ambillah,” jawab Arauna, “lakukanlah segala kehendak tuanku. Ambillah lembu-lembu ini sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN, dan gunakanlah papan pengirik sebagai kayu api. Ambillah gandum untuk dipersembahkan sebagai korban bijirin. Hamba memberikan semuanya kepada tuanku. Tuanku tidak usah membayar harganya.”
24Tetapi raja menjawab, “Tidak, beta mahu membelinya dengan sepenuh harga. Beta tidak mahu mempersembahkan milik kamu kepada TUHAN, atau sesuatu yang beta dapat dengan percuma.” 25Kemudian Raja Daud membayar 600 keping wang emas kepada Arauna untuk tempat itu. 26Raja Daud membina sebuah mazbah bagi TUHAN di situ, lalu mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN dan korban untuk memohon berkat TUHAN. Kemudian baginda berdoa dan TUHAN mengabulkan doanya dengan menurunkan api dari langit untuk membakar korban-korban di atas mazbah itu.
27TUHAN menyuruh malaikat menyarungkan pedangnya, maka malaikat itu taat. 28Raja Daud melihat bahawa TUHAN telah mengabulkan doanya, maka baginda mempersembahkan korban di atas mazbah itu. 29Pada masa itu Khemah TUHAN yang dibuat oleh Musa di padang gurun, dan mazbah tempat mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN, masih di tempat ibadat di Gibeon. 30Tetapi Raja Daud tidak berani pergi ke sana untuk menyembah Allah, kerana baginda takut akan pedang malaikat TUHAN.
Terpilih Sekarang Ini:
1 TAWARIKH 21: BM
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.