1 YOHANES 5:1-12

1 YOHANES 5:1-12 BM

Sesiapa percaya bahawa Kristus Penyelamat yang diutus oleh Allah, orang itu anak Allah. Sesiapa yang mengasihi seorang bapa, mengasihi anak bapa itu juga. Inilah caranya kita tahu bahawa kita mengasihi anak-anak Allah: Kita mengasihi Allah dan kita mentaati perintah-Nya. Apabila kita mentaati perintah Allah, maka kita mengasihi Allah. Perintah-Nya pun tidak terlalu susah bagi kita, kerana setiap anak Allah dapat mengalahkan dunia ini. Kita mengalahkan dunia ini dengan iman kita. Siapakah dapat mengalahkan dunia ini? Hanya orang yang percaya bahawa Yesus Anak Allah. Yesus Kristuslah yang datang ke dunia dengan air baptisan-Nya dan dengan darah kematian-Nya. Dia datang bukan dengan air sahaja, tetapi dengan air dan darah. Roh Allah sendiri memberikan kesaksian bahawa hal itu benar, kerana Roh tidak pernah berdusta. Ada tiga saksi: Roh Allah, air dan darah; dan ketiga-tiganya memberikan kesaksian yang sama. Kita percaya kepada kesaksian manusia; tetapi kesaksian Allah lebih kuat lagi. Itulah kesaksian yang diberikan oleh Allah tentang Anak-Nya. Oleh itu, sesiapa yang percaya kepada Anak Allah, mempunyai kesaksian itu di dalam hatinya. Tetapi sesiapa yang tidak percaya kepada Allah, menjadikan Allah pendusta, kerana orang itu tidak percaya kepada apa yang difirmankan Allah tentang Anak-Nya. Inilah kesaksian itu: Allah sudah memberi kita hidup sejati dan kekal, dan hidup itu berasal daripada Anak-Nya. Sesiapa yang mempunyai Anak Allah, mempunyai hidup itu; dan sesiapa yang tidak mempunyai Anak Allah, tidak mempunyai hidup itu.